Teluk Marudu

Teluk Marudu

Isnin, 22 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan - Kasihan si Arud

Habis saja waktu persekolahan, pada sebelah petang biasanya ibu mengarahkan saya dan adik Sofian (Bito) mengutip buah kelapa. Caranya mudah saja. Si Arud (Kerbau betina kami) akan membantu. Buka ikatan si Arud. Tarik si Arud ke gayudan (alat khas untuk mengangkut buah kelapa), pasang gayudan dan kami dua beradik berganti-ganti menunggang si Arud. Jika saya yang menunggang si Arud, adik Sofian akan mengutip buah kelapa dan begitulah sebaliknya.

Banyak juga buah kelapa yang kami dapat. Setelah himpunan buah kelapa membukit, pada hujung minggu buah-buah kelapa itu akan dibelah dan dikeringkan. Jika musim kemarau kelapa itu hanya memerlukan tiga atau empat hari sahaja untuk kering. Jika pada musim hujan isi kelapa perlu dicungkil dan disalai. Terhasillah kopra (kelapa kering).

Kelapa kering itu akan dijual pada taukeh di pekan Tandek. Setelah dijual, saya dan adik tak dapat apa-apa gaji. Ibu sekadar membelikan kami roti. Itupun sudah memadai sebab setiap hari kami ke sekolah ibu tidak pernah lupa memberikan kami 30 sen sebagai belanja persekolahan. Si Arud pula dibenarkan berkubang di sungai Tingkalanon untuk menyejukkan badan.

Jasa si Arud begitu besar pada kami. Namun, ketika adik Sofian menduduki SPM, ibu terpaksa menjual si Arud kerana kekurangan wang untuk membayar yuran SPM adik. Kasihan si Arud.

JASA MU TETAP KAMI KENANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan