Teluk Marudu

Teluk Marudu

Sabtu, 9 April 2011

PUISI - BAYU PERPADUAN


BAYU PERPADUAN

Wahai kawan
kita pernah berganding tangan
menyemai senyum di taman impian
benih muafakat semangat kesetiaan
kau baja dengan keringat persaudaraan
kau pagari dengan kota kesepakatan
tiang-tiang yang kau pacak
utuh megah berdiri segak
teguh unggul tegak lasak
menunjangi taman hati.

Tiang yang kau namakan PASAK
kayu terpilih jati diri
tak lapuk dalam sehari
tak lekang walau berzaman
unggul menyahut cabaran.

Wahai kawan
taman indah setiakawan
pesonanya melimpasi awan
di cakrawala ia gemerlapan
subur rimbun bintang harapan
walau kilaunya mempersonakan
dongak ke langit terkehel perasaan
mengadu domba menyala permusuhan
tak mahu memijak bumi persahabatan.

Wahai kawan
kita di laman kedewasaan
pengalaman kematangan jadi pegangan
interaksi, komunikasi kita suburkan
mesej diteliti butiran diamati
perasaan diawasi, lisan dikuliti
kerana yang datang
perlu ditimbang-timbang
kadang betul senyum memantul
kadang curang mengundang berang
kadang mata lebih dipercayaai
walau tidak berkata-kata
lari bila dusta dicerna
tak mahu menganjur sengketa.

Wahai kawan
tabahlah menghadapi dugaan
kerana kita adalah bumbung harapan
pada anak-anak yang kehausan
yang giat mengumpul
bekal kehidupan.


Wahai kawan
cekallah menempuh cabaran
laluilah onak kehidupan
dengan mahabah
pada tiap insan
moga jalan mu lurus
ke arah tujuan
berselimut desiran
bayu perpaduan.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

Utusan Borneo, 20 Mac 2011.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan