Teluk Marudu

Teluk Marudu

Sabtu, 9 April 2011

BERITA - IBUBAPA SANJUNG KEIKHLASAN GURU

TAJUK: IBUBAPA SANJUNG KEIKHLASAN GURU

Tuaran, 09 April : Ibubapa amat menyanjung keikhlasan dan komitmen guru yang tidak berbelah-bahagi dalam membangunkan modal insan, kata Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru SMK Badin, Tuan Haji Norzain Haji Tawi semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Anugerah Gemilang Kinabalu, di Dataran SMK Badin, Tuaran kelmarin.

Tanpa mengira penat lelah dan masa guru-guru sanggup bersusah-payah malah sanggup pula mengeluarkan wang ringgit sendiri semata-mata untuk memastikan kejayaan anak murid yang merupakan aset negara yang tidak ternilai pada masa hadapan. Ini terbukti dengan perlaksanaan beberapa program seperti Perkampungan PMR,SPM dan STPM yang telah membuahkan hasil yang membanggakan, kata Norzain lagi.

“Selaku wakil kepada ibubapa, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima-kasih atas keikhlasan dan komitmen guru-guru yang tidak berbelah-bahagi dalam menyampaikan ilmu serta didikan yang sempurna kepada anak-anak kami”, tegas Haji Norzain.

Sambil mengucapkan tahniah kepada tiga orang penerima anugerah dari Unit Pendidikan Khas Masalah Penglihatan,Norzain turut mencabar pelajar-pelajar lain supaya membuktikan kemampuan sebenar mereka kerana dalam era globalisasi tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Beliau turut menyeru para ibubapa supaya tidak bersikap emosional jika mendapati anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin kerana itu merupakan suatu proses pendidikan yang perlu dilalui oleh pelajar yang tersasar dari landasan yang diharapkan. Beliau menegaskan bahawa tindakan disiplin merupakan salah satu cara untuk membantu pelajar membentuk nilai-nilai positif dalam diri.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong menyatakan bahawa Majlis Anugerah Gemilang Kinabalu dilaksanakan semata-mata untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar SMK Badin dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM bagi tahu 2010 disamping menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh guru-guru dan anggota sokongan sekolah.

Lim turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih atas sumbangan PIBG, guru-guru serta anggota sokongan sekolah atas dedikasi mereka sehingga pelajar dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

“Anugerah yang disampaikan kepada pelajar merupakan bukti kemenjadian sahsiah dalam kalangan pelajar SMK Badin dan pencapaian cemerlang itu datangnya dari persefahaman yang jitu antara guru-guru dan ibubapa yang diterjemahkan oleh pelajar dalam bentuk pencapaian cemerlang dalam peperiksaan” kata Lim Lai Hong.

Seramai 26 orang pelajar menerima anugerah mengikut kategori masing-masing.
Adik Hizrahtul Edora Mokhtar mendahalui senarai penerima anugerah kategori PMR dengan pencapaian 8A dalam PMR 2010. Diikuti oleh adik Dzulfadlie Wasli (7A 1B), dan Mohd. Nashrul Ibrahim (6A,2B). Penerima lain Abi Zarin Habibullah, Norfatin Nabila, Yani Athirah Saidur, Mohd. Nasrul Hamdan, Fernilah Eviannie Aldrin, Rondy Azhar dan Anastasia Rasiah.

Dalam kategori SPM aliran sains adik Nur Ain Fatteni Rusli mendahului penerima anugerah dengan pencapaian 6A, 2B diikuti oleh Medin Mantedan, Fionalisa Evelin, Nur Rohazirah Roslan dan Siti Amalina Ibrahim. Aliran sastera diunguli oleh Hazirah Khalid Yunus yang merupakan pelajar penddikan khas dengan pencpaian 6A,1B,1C. Adik Rehan Ramlan 6A,1B, 1C dan Andrew Ronald Eden 5A,1B,1C.

Kategori STPM turut menampilkan penguasaan pelajar pendidikan khas masalah penglihatan apabila adik Mohd Aziz Abidin menggondol anugerah utama dengan pencapaian 3.58 CGPA. Diikuti oleh adik Eliza Mohd. Said 3.50 CGPA. Penerima lain Nuraida Kadir, Mohd. Radzwan Madjaim, Janecarr Yado, Deyffy David, Noraidah Amir dan Hafiyan Lali (pendidikan khas).

Harian Express, 09 April 2011





Tiada ulasan:

Catat Ulasan