Teluk Marudu

Teluk Marudu

Rabu, 20 April 2011

25 PELAJAR KRK TANDATANGANI SURAT AKU JANJI

TAJUK : 25 PELAJAR KRK TANDATANGANI SURAT AKU JANJI

Tuaran : Seramai 25 orang pelajar dari Kelas Rancangan Khas (KRK) SMK Badin menandatangani ‘Surat Aku Janji’ untuk mencapai kecemerlangan dengan mencapai 8A atau 9A dalam Penilaian Menengah Rendah 2011, di sini kelmarin.

Majlis menandatangani ‘Surat Aku Janji’ disaksikan oleh ibubapa pelajar-pelajar berkenaan turut dihadiri oleh Pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong dan Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Tah Nia Haji Jaman, ibu bapa serta guru-guru mata pelajaran kelas KRK.

Menurut Lim Lai Hong, majlis itu dilaksanakan semata-mata untuk memastikan komitmen berterusan pelajar terhadap tanggung jawab mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah pada Oktober 2011.

Pelajar-pelajar dalam kelas KRK merupakan pelajar terpilih berdasarkan keputusan UPSR mereka dan sewajarnya mereka mampu mencapai 8A atau 9A dalam PMR kelak, kata Lim.

Mengimbas sejarah kewujudan kelas KRK, Lim menyatakan bahawa KRK merupakan Projek Jabatan Pelajaran Sabah yang dilancarkan pada 2009 dengan lapan buah sekolah sebagai perintis termasuk SMK Badin. Pengambilan pertama melibatkan 142 orang pelajar dengan 25 orang di tempatkan di SMK Badin.

Pelbagai program telah dirangka oleh pihak sekolah bagi memastikan pelajar-pelajar kelas KRK mampu mencapai keputusan seperti yang diharapkan oleh Jabatan Pelajaran, oleh itu tidak ada sebab mereka tidak boleh mengukir kejayaan, tegas Lim.

Dalam majlis yang sama Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Haji Jaman menyeru ibu bapa dan guru supaya menggembleng tenaga bagi mencapai visi dan misi kelas KRK seperti yang telah ditetapkan.

Beliau turut menyeru pelajar-pelajar mengamalkan empat teras utama untuk mencapai kejayaan iaitu menimba pengetahuan sebanyak mungkin, melakukan latihan berterusan, berusaha bersungguh-sungguh dan menggunakan segala kesempatan dan peluang yang ada untuk mencipta kegemilangan dalam PMR 2011.

Utusan Borneo, 20 April 2011. Hal. B4





Tiada ulasan:

Catat Ulasan