Hujung minggu pulang ke kampung ziarah ayahanda saya yang sudah agak uzur. Walaupun tidak secergas dulu,ayahanda saya tidak betah duduk di rumah. Setiap hari beliau pasti sama ada ke Pekan Tandek atau Kota Marudu.Beliau tetap dengan rutinnya.
Dalam perjalanan menuju ke Tandek,sepekara yang menarik perhatian saya ialah perubahan sikap masyarakat saya terhadap tanah milik mereka. Di kiri dan kanan jalan tanah-tanah telah mula diusahakan. Ada yang menanam getah, kelapa sawit, padi, tebu malah ada juga yang menanam sayur-sayuran dalam skala besar.
Syukur atas perubahan minda masyarakat saya. Tanah-tanah tersebut seharusnya diushakan. Itulah tujuan kerajaan menghadiahkan tanah-tanah tersebut kepada masyarakat pribumi. Jika diusahakan bersungguh-sungguh, tanah-tanah tersebut akan memberikan pulangan yang lumayan.Pengusahanya pasti akan mendapat habuan setimpal dan dapat mengubah kehidupan mereka. Akhirnya mereka juga yang untung.
Cuba kita lihat rakan-rakan dari seberang, sama ada yang datang secara sah atau tidak. Mereka datang sehelai sepinggang. Mula-mula mereka menjadi tukang tombak sawit. Bila sudah ada sedikit modal, mereka mula menyewa tanah-tanah terbiar. Tanam cikui (tembikai), tanam sayur-sayuran dalam skala besar. Bukan setakat tanam dua tiga pokok di belakang rumah tapi besar-besaran.Dalam tempoh tiga bulan, cikui dan sayur-sayuran sudah boleh dipasarkan. Pendapatan mereka amat lumayan. Sekarang sudah ada yang berumah besar,kereta besar malah sudah sudah dua tiga kali menunaikan haji.
Kegigihan mereka seharusnya kita contohi.Usaha mereka sepatutnya kita buat sendiri sebab tanah ini tanah kita. Jika kita usahakan tanah tersebut, hasilnya pada kita juga. Jadi kenapa serahkan urusan mengusahakan tanah kepada mereka. Adakah kerana sewa tanah yang lebih kurang RM300 ke RM400 sebulan itu sudah memadai ?
Jabatan-jabatan kerajaan berkenaan seharusnya mengambil langkah proaktif. Ajarlah masyarakat saya bertani. Bukan setakat tanam sawit,tanam getah atau tanam padi. Tapi ajarlah mereka menanam apa juga jenis tanaman yang mendatangkan hasil. Ajarlah mereka dengan kaedah-kaedah tanaman moden. Didik mereka mengintergrasikan tanaman dalam kebun yang sama supaya masyarakat saya memperoleh pulangan yang lumayan.
Saya tidak kata masyarakat saya tidak pandai bertani. Mereka pandai bertani. Mereka memang petani. Mereka datang dari keluarga petani.Tetapi jika kita lihat betul-betul, cara bertani mereka ada perbezaan dengan cara bertani orang dari seberang.
Masyarakat saya tanam sayur lima enam batas sahaja sedangkan orang seberang tanam sayur berekar-ekar. Orang kita tanam cikui dua tiga pokok sahaja sedangkan orang seberang tanam berpuluh ribu. Sayur orang kita kurus-kurus belaka sedangkan sayur orang seberang gemuk-gemuk belaka.
Jadi, mahu tidak mahu kita harus berjuang.Masyarakat harus berjuang. Jabatan-jabatan kerajaan harus berjuang. Malahan kerajaan harus memperjuangkan nasib masyarakat. Didiklah masyarakat saya. Bantulah masyarakat saya. Bukalah mata masyarakat saya supaya mengusahakan tanah-tanah mereka semaksimum mungkin. Kita tidak mahu diketawakan oleh orang-orang dari seberang yang memandang sinis akan kemampuan kita sebagai petani. Barang diingat, orang-orang seberang sememangnya terlatih dalam pertanian sejak zaman berzaman. Sejak penjajahan Belanda yang mengamalkan Sistem Tanaman Paksa.
Ayuh masyarakat ku. Berjuanglah untuk mengubah kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan