Tahun 1979 ayahanda saya menghantar saya ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, KL untuk menyambung persekolahan di sana. Saya terus dibawa ke asrama sekolah tu dan berjumpa Ketua Pengawas Asrama, abang Zainal Abidin Dardi. Saya di tempatkan di Bilik 3. Abang Zainal menerangkan serba-serbi tentang peraturan-peraturan asrama.
Keesokan harinya saya mula bersekolah. Saya di tempatkan dalam kelas Tingkatan 2A. Sepatutnya saya di tingkatan 3, sebab tahun 1978 di Kota Marudu saya dalam tingkatan 2. tapi oleh kerana umur saya muda setahun, saya di tempatkan secara sementara di tingkatan 2.
Setelah seminggu, surat menyurat tentang persekolahan saya tiba dari Sabah. Saya dinaikkan ke tingkatan 3B. Saya berkenalan dengan ramai kenalan baru. Masing-masing mahu bercerita dengan saya kerana loghat saya seperti orang Indonesia.
Tiba waktu matapelajaran Geografi,maklumat tentang Sabah dihuraikan oleh guru matapelajaran.
"Sabah kaya dengan balak", kata Cikgu.
Saya tersenyum bangga.
Akhirnya kawan-kawan sekelas menggelar saya 'Balak' kerana saya dari Sabah yang kaya dengan balak.
Kawan-kawan yang agak nakal amat suka dengan nama baru saya. Tapi kawan-kawan yang lebih matang tidak begitu. Mereka tetap menyebut nama sebenar saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan