Zaman persekolahan tidak akan lengkap kalau tidak dihiasi dengan aktiviti permainan kanak-kanak. Dalam kalangan kami murid-murid SK Pekan Tandek pada tahun 70an turut tidak terkecuali. main batu seremban, ting-ting, guli, serta main gasing. Bila tiba musim main gasing, masing-masing murid lelaki ada gasing dalam beg sekolah. Sebelum masuk kelas, waktu rehat serta selepas waktu persekolahan diisi dengan permainan gasing. Pelbagai cara pertandingan untuk permainan gasing. Pertandingan gasing mana paling lama berputar dan pertandingan memangkah gasing yang paling popular. Dalam bahasa kami, pertandingan paling lama berputar disebut 'mianggan' manakala pertandingan memangkah gasing dikenali sebagai 'mitimbag'. . Bila keadaan sudah agak melampau atau mungkin guru-guru kami rasa aktiviti itu patut dibendung, guru-guru kami akan merampas gasing-gasing tersebut lalu dicampak ke dalam lubang tandas (tandas kampung). Terencat seketika permainan gasing kami.
Anehnya selepas saya pula menjadi guru, Jabatan Pelajaran memanggil guru-guru sekolah rendah mengikuti kursus tentang permainan gasing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan