Mula bersekolah di SK Tandek pada tahun 1971. Pada ketika itu tidak ramai kawan yang dikenali kerana baru sahaja berpindah ke Tandek. Seorang sepupu, Mailon Saiwah dalam darjah 4, banyak membantu menjelajah seluruh pelusuk sekolah.Setelah beberapa ketika mula dapat kawan baru. Antara yang saya masih ingat ialah Jolodon dan Jairus. Untuk ke sekolah terpaksa berjalan kaki sejauh 4 batu kerana rumah kami di Kg. Tingkalanon (Tongkungon). Walaupun begitu, ini tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang menimba ilmu pengetahuan. Malahan jarak sekolah yang agak jauh membolehkan saya dan kawan-kawan menjadi lebih tabah dan dapat melatih diri kami cekal menghadapi cabaran. Selepas waktu persekolahan, kami selalu singgah mandi-manda di Sungai Tandek. Ini amat melekakan dan kami sering pulang lewat. Akibatnya rotan ibu sering singgah di punggung saya. Ketika musim menanam padi, sawah lah tempat saya dan adik Bito berkubang bersama kerbau kesayangan kami si Arud. Lumpur dan lintah menjadi permainan. Sekali-sekala mencari ikan karuk dan sepat dijadikan juadah malam. Walaupun bapa seorang Pegawai yayasan Sabah, ini tidak membezakan kami dengan rakan-rakan sekampung. Kami dilatih untuk hidup dengan usaha sendiri, cari makan sendiri,cari kayu api sendiri,cari buah kelapa untuk dibelah,jemur untuk dijadikan kopra dan jual kepada Taukeh Olian atau Taukeh Angie. Ini membolehkan kami mahir dalam selok belok kehidupan di kampung, di hutan dan sebagainya.
Kami mahir buat jerat burung keruak,burung pimpid, burung tekukur. Kami mahir buat subol (jerat tupai). Kami juga mahir menangkap burung serindit.Walaupun bapa agak jarang menjenguk kami di rimba Tongkungon kerana sibuk dengan tugas-tugas sebagai Pegawai, kami tetap hidup seperti biasa malah gembira kerana aktiviti-aktiviti sedemikian yang dapat mengisi masa kami
Tiada ulasan:
Catat Ulasan