Teluk Marudu

Teluk Marudu

Ahad, 8 Mei 2011

NURASHIKIN JUARA BADIN GOT TALENT






Tuaran : Mempertaruhkan lagu Tak Ada Logika dan Hurt, Nurashikin Meddin berjaya menggondol hadiah utama dalam program ‘Badin Got Talent’ di dataran perhimpunan SMK Badin, kelmarin.

Walaupun tidak mempunyai kemantapan vokal dan kawalan suara yang hebat seperti Agnes Monica dan Christine Aguilera namun persembahan hebatnya cukup untuk menggamit hati juri professional dan juri awam untuk menobatkannya sebagai juara program Badin Got Talent siri pertama.

Pelajar tingkatan dua iaitu dua anak muda, Datu Kamarul dan Hakimi membawa sedikit kelainan dalam persembahan dengan mengetengahkan ‘Beat Box’ aliran baru dalam genre persembahan masa kini berjaya menggondol tempat kedua.

Nurul Sabrina Ghazali pula berjaya menggondol tempat ketiga dengan lagu Lagenda dan kalis Rindu. Walaupun mendapat pujian juri professional namun itu tidak cukup untuk mengangkat peserta bernombor tiga ini menggapai harapan sebagai juara.

Seramai lima orang peserta individu dan dua peserta berkumpulan berjaya memasuki peringkat akhir program Badin Got Talent. Dua orang peserta individu merupakan pelajar istimewa bermasalah penglihatan. Program ini menyerupai konsep Akademi Fantasia namun markah juri professional mewakili 75 peratus, manakala markah juri awam pula 25 peratus sahaja.

Menariknya, walaupun hanya sebuah program kecil dan dilaksanakan dalam lingkungan sekolah sahaja, program ini berjaya mendapat sambutan pelajar dan ibubapa. Malahan juri professional yang terdiri dari Zurain, penulis lirik era 80an, Dr. Ramzah Dambul ( Rem Dambul) Timbalan Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Sharifah Thani penggiat teater dan Ony Latifah Osman, penggiat sastera Sabah turut memberikan sumbangan secara sukarela.

Terdahulu Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong menyatakan bahawa program ‘Badin Got Talent’ berkonsepkan program realiti TV, Akademi Fantasia merupakan usaha pihak sekolah untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelajar-pelajar SMK Badin disamping membentuk ketrampilan diri yang positif.

Sumber : Utusan Borneo, 08/05/2011, hal/B14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan