Teluk Marudu

Teluk Marudu

Isnin, 16 Mei 2011

LILIN MEMBAKAR DIRI

LILIN MEMBAKAR DIRI
(Buat semua insan bergelar guru)

Tika kelibat neon menerangi laluan
anak-anak kota alpa kegembiraan
anak di desa terpegun kehairanan
lilin setia mula dilupa-lupakan
dicampak jauh dari sumur kehidupan
diperkotak-katik sebagai arkitek kemanusiaan
terpinggir sendirian di gubuk penghinaan
berteman sunyi berpanjangan.

Ketika bahtera nusa tersesat arah haluan
kemudi patah terlepas dari buritan
perut terburai oleh tusuk persengketaan
layar terkoyak dibadai racun permusuhan
lalu nakhoda kehilangan kompas kekuasaan
dirampas oleh amuk lanun perpecahan
engkau dipanggil menyulam koyak perpaduan
engkau diseru mencanang seruan persahabatan
engkau dirayu mengubati luka perpecahan
engkau dituntut menyebar salam persaudaraan
kerana mereka tahu
engkau kental menyahut cabaran
ke mana pun engkau patuh arahan
ke pulau, juga di rimba pedalaman
jejak kehidupan engkau corakkan
dengan warna-warni senyum kejayaan
hingga terpancar cahaya berkilauan
di wajah masyarakat yang kau tinggalkan
sedang engkau masih bergelumang perit kesakitan
membakar diri menerangi kehidupan
insan-insan yang dahaga kesempurnaan..

Hari ini
mereka canang mahkota pengiktirafan
pentauliahan atas tiap pengorbanan
yang kau curah atas nama kesempurnaan
untuk sebuah kehidupan yang mapan
namun, itu semua bukanlah jawapan
untuk menghilangkan parut kepayahan
yang kau lalui sepanjang jalan perjuangan
untuk menobat pembangunan tiap insan

Aku tahu apa yang kau impikan
kemenjadian insan di laman kehidupan.

HANAFIAH MZ
SULAMAN
16 Mei 2011






Tiada ulasan:

Catat Ulasan