Musim pokok bulunu berbuah amat dinanti-nantikan oleh masyarakat kampung.Apabila buah sudah matang,pokok mula menggugurkan buahnya. Saat inilah yang ditunggu-tunggu oleh kami. Tidak kira tua, muda, berkeluarga ataupun kanak-kanak, masing-masing akan menjadi penunggu setia pokok bulunu sementara waktu.Bukan apa, kami hanya menunggu buah yang gugur sendiri dan bergilir-gilir mendapatkan habuan masing-masing.
Begitulah harmoninya budaya masyarakat kampung.Walaupun pokok bulunu itu tumbuh membesar dalam tanah milik si Fulan katakan, tetapi si Fulan tidak menganggap pokok tersebut miliknya seorang.Sebaliknya beranggapan pokok tersebut milik bersama masyarakat kampung.
"Pokok ni di tanam oleh moyang kita orang 100 tahun yang lalu. Moyang kita orang ada lapan adik beradik. Kita semua ni cucu dialah. Jadi pokok ini milik kita bersama. Kalau ada buah kita orang punya buahlah. Jadi kita mesti bergilir-gilir ambil itu buah, jangan berebut-rebut", pesan Pakcik Sasangi.
Pokok bulunu sebesar dua setengah pemeluk tersergam megah tumbuh di tanah milik Pakcik Sasangi. Dalam kawasan yang sama ada dua tiga pokok bulunu yang turut berbuah.Apa lagi,suasana begitu meriah di bawah pokok bulunu. Golongan tua menghiasi suasana dengan pelbagai cerita. Tema cerita dari hal-hal rumahtangga, pertanian,perpaduan dan sebagainya. Hal-hal politik jarang mendapat tempat kerana masyarakat kampung ketika itu belum lagi dicemari oleh budaya politik kepartian.
Satu yang kurang selesa bagi kami golongan kanak-kanak, pabila menjelang senja cerita-cerita berkaitan hantu,polong,pontianak,balan-balan, hantu tutumolong (hantu yang menyesatkan orang dalam hutan),barau (hantu nakal), mula kedengaran. Bila saja cerita-cerita itu mula berkumandang seorang demi seorang kanak-kanak mula beransur-ansur balik ke rumah.
Saya bisik pada adik agar bersiap-siap untuk pulang. Lagipun ibu sudah berpesan agar kami balik awal.
"Tunggulah kejap. Tengok bakul kita baru ada dua biji buah", kata adik.
Betul juga. Kami baru dapat dua biji buah bulunu. Kalau ramai yang sudah pulang tentu kami akan dapat buah lagi. Lagipun banyak bakul yang kami bawa. Tekiding ada (bakul dari rotan), bakul plastik yang tersisip di pinggang pun ada. Kalau kami pulang awal dengan dua biji buah tentu ibu tidak akan membenarkan kami menunggu buah jatuh lain kali kerana anggapannya itu hanya membuang masa.Akhirnya kami ambil keputusan untuk turut berada di situ.
"Ha... pulanglah kita", kata Pakcik Sasangi.
"Pukul satu pagi sudah ni" tegasnya lagi
Tanpa bersuara, kami akur dengan arahan Pakcik Sasangi. Lagipun hanya tinggal kami bertiga di situ. Pakcik Sasangi menuju ke hulu arah ke rumahnya, kami menyusuri sungai ke arah bertentangan.
Supaya cepat sampai kami sepakat mengikut jalan pintas walaupun agak jalan agak semak ditumbuhi semak-samun renek.
Tiba-tiba adik menyentap baju saya.
"Berhenti....dengar dulu" kata adik berbisik.
Saya memasang telinga, mengamati suasana sekeliling. Tiada apa yang saya dengar kecuali nyanyian riang unggas malam.
Kami melangkah berhati-hati.
"Ha....ada bunyi....", adik berbisik lagi.
Kali ini saya turut mendengarnya. Kami mempercepatkan langkah. Bunyi tu turut bergerak pantas. Kami perlahan, bunyi tu turut perlahan seolah-olah mengiringi perjalanan kami. Apa lagi, kami mengorak langkah seribu. Memecut sekuat tenaga lagipun cahaya lampu dari rumah sudah kelihatan.
Adik tertinggal di belakang. Bunyi tu sudah tidak kedengaran lagi.
"Tunggu.....tunggu....", adik melaung-laung dari belakang.
Saya tersedar. Rupanya adik jauh di belakang.
Serta merta saya berhenti. Lagipun ibu yang terdengar laungan adik menyuluh lampu picit ke arah kami. Saya mendapatkan adik yang jatuh tersungkur. Beg plastik yang saya sisip di pinggang saya rupanya terlepas lalu menutup muka adik menyebabkan dia hilang arah lalu jatuh. Pantas saja adik menanggalkan beg plastik dari mukanya.
"Inilah yang berbunyi tu", adik menjelaskan.
Rupa-rupanya ketika kami bergerak,beg plastik yang saya sisip di pinggang tersentuh ranting-ranting semak-samun lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan kami. Otak kami yang dimomok-momokkan dengan cerita hantu pada awal petang tidak dapat mentafsir bunyi tu dengan betul. Bunyi ganjil saja semuanya datang dari hantu.
Hari berikutnya kami tidak lagi mahu menunggu buah bulunu jatuh hingga jauh malam. Malam semalam hantu plastik yang menakut-nakutkan kami. Malam-malam yang akan datang mungkin hantu betul-betul yang keluar.
Takut....... .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan