Zaman kanak-kanak memang indah. Ketika itu persekitaran rumah ditumbuhi dengan pelbagai pokok berbunga yang menjadi kegemaran lebah untuk tumpang berteduh barang semusim berbulan madu. Lebah jenis ini agak kecil. Saiz kawanannya yang melekat pada dahan pokok hanya sebesar segenggam penumbuk orang dewasa. Ini membuat saya dan adik tidak takut mengusik lebah madu yang kami kenali sebagai tompipiris semata-mata untuk mendapatkan madunya.
Ayah dan ibu membiarkan sahaja gelagat kami. Lagipun tompipiris tidaklah bahaya berbanding lebah madu pokok Tualang atau lebah pomosuon yang bersarang dalam lubang kayu.
Untuk mendapatkan madunya mudah sahaja. Cara pertama, panjat pokok, patahkan dahan tempat lebah melekat, terjun dan terus berlari sejauh mungkin sehingga lebah berhenti mengejar.
Cara kedua; ambil daun kelapa yang telah kering, ikat baik-baik, bakar hujungnya dan halakan api pada lebah.Pasti lebah akan jatuh satu persatu. Setelah semuanya selamat barulah ambil madunya.
Cara ketiga; himpunkan daun kering, bakar, bila terbakar, asap keluar, panjat pokok,bergayut pada dahan di mana lebah melekat. Halakan ke unggun api, patahkan dahan, terjun dan terus berlari sejauh mungkin.
Apapun ketiga-tiga cara itu tetap tidak menjamin diri dari disengat lebah.Adakala seekor dua lebah berjaya menyengat juga. Jika bahagian mata yang disengat alamat akan menjadi bahan ketawa kawan-kawan di sekolah keesokan harinya. Apa tidaknya, sebelah atau kedua-dua belah mata bengkak serta menjadi sepet sesepet-sepetnya......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan