Tuaran 01 Mei: Cuti Hari Pekerja jatuh pada Sabtu memberi peluang kepada saya pulang ke kampung. Tanpa membawa keluarga, saya bergerak sendiri dari Tuaran melalui Jalan Tuaran - Kota Belud. Sebaik keluar dari susur masuk ke pekan Tuaran, saya melintasi Jambatan Baru Sungai Tuaran dengan kelajuan sederhana di bawah paras had laju maksimum yang dibenarkan. Saya bergerak tenang.
Belum sampai lima minit saya bergerak, suasana tenang pemanduan saya diragut oleh dua buah kenderaan pacuan empat roda yang kejar mengejar di atas jalanraya. Potong-memotong berlaku. Ada saja ruang, kedua kenderaan itu pasti mencelah dan memotong kenderaan lain. Pacuan empat roda yang di hadapan hampir bertembung dengan kereta 4WD saya. Mujur saya sempat mengelak dan kereta 4WD itu juga pantas mencelah masuk di antara dua buah kereta. Saya marah dalam hati....... .
Selepas 10 minit bergerak, saya dikejutkan lagi oleh sebuah 4WD pikap yang pantas memotong saya seolah-olah sedang dikejar hantu. Ya....ya....ya....4WD pikap itu memang sedang dikejar tetapi bukan dikejar hantu tetapi oleh seekor kancil buatan Malaysia. Rupanya di belakang kancil ada seekor gajah berkekuatan lebih 4000cc bergerak lebih pantas. Dengan mudah gajah 4000cc memotong kancil dan 4WD pikap. Tidak sampai dua minit ketiga-tiga kenderaan itu lesap dari pandangan mata saya.
Saya terkulat-kulat memikirkan sikap pemandu kenderaan-kenderaan tersebut. jaguh Formula One pasti tidak akan memandu laju kenderaan di atas jalanraya melainkan di atas litar lumba. Yang lebih menggerunkan pemandu kancil seolah-oleh lupa diri. Tidak sedar saiznya yang kecil jika bertembung dengan kenderaan lain pasti mendatangkan kecelakaan ibarat kata pepatah; Ibarat mentimun dengan durian menggolek luka, digolekpun luka. Ingatlah, jika gajah sama gajah berjuang,kancil lari ke tepi nanti mati terhimpit di tengah-tengah.
Jadilah pemandu yang berhemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan