Kisah ini berlaku sekitar tahun 70an. Seawal 6 pagi, seorang lelaki lebih separuh abad bergelar Aman bergegas ke stesyen bas sambil membimbit senapang patah miliknya. Tujuannya hanya satu iaitu mahu cepat ke stesyen itu takut kalau-kalau ketinggalan bas menuju ke bandaraya. Dia perlu sampai sebelum tengahari di bandaraya untuk memperbaharui lesen senjata apinya.
Aman berjaya naik bas pertama ke bandaraya. Malangnya pergerakan bas itu agak lambat kerana bas itu hampir sama baya dengan si Aman. Akhirnya bas itu tiba juga ke destinasinya namun terlambat sejam dari masa yang dijangka oleh si Aman.
Jam menunjukkan 12.30 hari. Jika ke Balai, ambil masa 15 minit untuk sampai ke situ.
"Pasti pejabat sudah tutup", bisik hati si Aman.
Akhirnya si Aman ambil keputusan menonton wayang dulu. Kebetulan ceritanya dibintangi oleh Koboi terkenal Charles Bronson, bintang pujaan si Aman. Aman penuh khusyuk menonton wayang.
Tiba-tiba hero Charles Bronson dikepung oleh musuh. Hero pujaan si Aman tidak ada ruang untuk melarikan diri. Aman tergamam. Dia perlu buat sesuatu menyelamatkan heronya.
"Hanya ada satu cara", kata Aman
Aman keluarkan senapangnya. Isi dengan sebutir peluru nombor 4. Aman mengacukan senapangnya ke arah musuh di belakang Charles Bronson.
"BANGGGGGGGGGGG..............." dentuman senapang Aman memecah keasyikan penonton dalam panggung.
Skrin koyak rabak. Penonton bertempiaran lari. Hero dan musuh turut lenyap dari skrin. Puas hati si Aman.
"Kenapa kau tembak tu panggung Aman ?" tanya Pegawai Polis.
"Saya mau kasi salamat itu staring ba Tuan. Kalau saya tidak buat begitu, matilah itu staring. Salah kah Tuan?" jawab si Aman.
Pegawai Polis menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan