Teluk Marudu

Teluk Marudu

Jumaat, 5 April 2013



TAJUK : JADIKAN KECEMERLANGAN PENDIDIKAN AGENDA UTAMA SEKOLAH

Tuaran : PIBG dan pentadbiran sekolah perlu sentiasa bekerjasama dan menjadikan kecemerlangan pendidikan sebagai agenda utama . Demikian kata YB Datuk Haji Hajiji Hj Noor , Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah semasa menyampaikan ucap utama dalam Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung PIBG SMK Badin di sini kelmarin.
Beliau turut menggesa kedua-dua pihak memberi tumpuan untuk mencapai visi dan misi yang digariskan iaitu “ SMK Badin Cemerlang Menjelang 2014”. Dalam masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada pengurusan sekolah dan PIBG serta ibu bapa dan murid-murid kerana telah berjaya memastikan pencapaian akademik SMK Badin dalam peperiksaan awam iaitu PMR, SPM dan STPM terus meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Terdahulu dalam majis yang sama Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong memaklumkan bahawa sebanyak 14 program khusus dirangka oleh pihak sekolah dengan kerjasama PIBG bagi memastikan pencapaian SMK Badin terus meningkat. Antara program tersebut ialah “Kelas Malam” khusus untuk kelas-kelas peperiksaan yang turut mendapat sokongan positif dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid.

Selain Mesyuarat Agung PIBG, dua program lain iaitu Penyerahan Bantuan BRIM khusus untuk pelajar pendidikan khas dan Penyerahan Laporan Kemajuan Pelajar-pelajar tingkatan tiga, lima dan enam turut dilaksanakan.

Ahli yang hadir dalam Mesyuarat Agung membuat keputusan untuk mengekalkan AJK lama untuk terus menerajui kepimpinan PIBG SMK Badin untuk satu penggal lagi yang diketuai oleh Tuan Haji Norzain Hj Tawi sebagai Yang Dipertua. Encik Awang Bungsu Ag. Matiasin sebagai Timbalan Yang Dipertua manakala Puan Aini Sidek sebagai Setiausaha.
Seramai 606 orang ibu bapa hadir dalam mesyuarat tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan