Teluk Marudu

Teluk Marudu

Isnin, 22 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan - Kasihan si Arud

Habis saja waktu persekolahan, pada sebelah petang biasanya ibu mengarahkan saya dan adik Sofian (Bito) mengutip buah kelapa. Caranya mudah saja. Si Arud (Kerbau betina kami) akan membantu. Buka ikatan si Arud. Tarik si Arud ke gayudan (alat khas untuk mengangkut buah kelapa), pasang gayudan dan kami dua beradik berganti-ganti menunggang si Arud. Jika saya yang menunggang si Arud, adik Sofian akan mengutip buah kelapa dan begitulah sebaliknya.

Banyak juga buah kelapa yang kami dapat. Setelah himpunan buah kelapa membukit, pada hujung minggu buah-buah kelapa itu akan dibelah dan dikeringkan. Jika musim kemarau kelapa itu hanya memerlukan tiga atau empat hari sahaja untuk kering. Jika pada musim hujan isi kelapa perlu dicungkil dan disalai. Terhasillah kopra (kelapa kering).

Kelapa kering itu akan dijual pada taukeh di pekan Tandek. Setelah dijual, saya dan adik tak dapat apa-apa gaji. Ibu sekadar membelikan kami roti. Itupun sudah memadai sebab setiap hari kami ke sekolah ibu tidak pernah lupa memberikan kami 30 sen sebagai belanja persekolahan. Si Arud pula dibenarkan berkubang di sungai Tingkalanon untuk menyejukkan badan.

Jasa si Arud begitu besar pada kami. Namun, ketika adik Sofian menduduki SPM, ibu terpaksa menjual si Arud kerana kekurangan wang untuk membayar yuran SPM adik. Kasihan si Arud.

JASA MU TETAP KAMI KENANG

Indahnya Zaman Persekolahan - Balak

Tahun 1979 ayahanda saya menghantar saya ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, KL untuk menyambung persekolahan di sana. Saya terus dibawa ke asrama sekolah tu dan berjumpa Ketua Pengawas Asrama, abang Zainal Abidin Dardi. Saya di tempatkan di Bilik 3. Abang Zainal menerangkan serba-serbi tentang peraturan-peraturan asrama.

Keesokan harinya saya mula bersekolah. Saya di tempatkan dalam kelas Tingkatan 2A. Sepatutnya saya di tingkatan 3, sebab tahun 1978 di Kota Marudu saya dalam tingkatan 2. tapi oleh kerana umur saya muda setahun, saya di tempatkan secara sementara di tingkatan 2.

Setelah seminggu, surat menyurat tentang persekolahan saya tiba dari Sabah. Saya dinaikkan ke tingkatan 3B. Saya berkenalan dengan ramai kenalan baru. Masing-masing mahu bercerita dengan saya kerana loghat saya seperti orang Indonesia.

Tiba waktu matapelajaran Geografi,maklumat tentang Sabah dihuraikan oleh guru matapelajaran.

"Sabah kaya dengan balak", kata Cikgu.

Saya tersenyum bangga.

Akhirnya kawan-kawan sekelas menggelar saya 'Balak' kerana saya dari Sabah yang kaya dengan balak.

Kawan-kawan yang agak nakal amat suka dengan nama baru saya. Tapi kawan-kawan yang lebih matang tidak begitu. Mereka tetap menyebut nama sebenar saya.

Rabu, 17 Mac 2010

Perjuangan Untuk Masyarakatku- Pertanian

Hujung minggu pulang ke kampung ziarah ayahanda saya yang sudah agak uzur. Walaupun tidak secergas dulu,ayahanda saya tidak betah duduk di rumah. Setiap hari beliau pasti sama ada ke Pekan Tandek atau Kota Marudu.Beliau tetap dengan rutinnya.

Dalam perjalanan menuju ke Tandek,sepekara yang menarik perhatian saya ialah perubahan sikap masyarakat saya terhadap tanah milik mereka. Di kiri dan kanan jalan tanah-tanah telah mula diusahakan. Ada yang menanam getah, kelapa sawit, padi, tebu malah ada juga yang menanam sayur-sayuran dalam skala besar.

Syukur atas perubahan minda masyarakat saya. Tanah-tanah tersebut seharusnya diushakan. Itulah tujuan kerajaan menghadiahkan tanah-tanah tersebut kepada masyarakat pribumi. Jika diusahakan bersungguh-sungguh, tanah-tanah tersebut akan memberikan pulangan yang lumayan.Pengusahanya pasti akan mendapat habuan setimpal dan dapat mengubah kehidupan mereka. Akhirnya mereka juga yang untung.

Cuba kita lihat rakan-rakan dari seberang, sama ada yang datang secara sah atau tidak. Mereka datang sehelai sepinggang. Mula-mula mereka menjadi tukang tombak sawit. Bila sudah ada sedikit modal, mereka mula menyewa tanah-tanah terbiar. Tanam cikui (tembikai), tanam sayur-sayuran dalam skala besar. Bukan setakat tanam dua tiga pokok di belakang rumah tapi besar-besaran.Dalam tempoh tiga bulan, cikui dan sayur-sayuran sudah boleh dipasarkan. Pendapatan mereka amat lumayan. Sekarang sudah ada yang berumah besar,kereta besar malah sudah sudah dua tiga kali menunaikan haji.

Kegigihan mereka seharusnya kita contohi.Usaha mereka sepatutnya kita buat sendiri sebab tanah ini tanah kita. Jika kita usahakan tanah tersebut, hasilnya pada kita juga. Jadi kenapa serahkan urusan mengusahakan tanah kepada mereka. Adakah kerana sewa tanah yang lebih kurang RM300 ke RM400 sebulan itu sudah memadai ?

Jabatan-jabatan kerajaan berkenaan seharusnya mengambil langkah proaktif. Ajarlah masyarakat saya bertani. Bukan setakat tanam sawit,tanam getah atau tanam padi. Tapi ajarlah mereka menanam apa juga jenis tanaman yang mendatangkan hasil. Ajarlah mereka dengan kaedah-kaedah tanaman moden. Didik mereka mengintergrasikan tanaman dalam kebun yang sama supaya masyarakat saya memperoleh pulangan yang lumayan.

Saya tidak kata masyarakat saya tidak pandai bertani. Mereka pandai bertani. Mereka memang petani. Mereka datang dari keluarga petani.Tetapi jika kita lihat betul-betul, cara bertani mereka ada perbezaan dengan cara bertani orang dari seberang.

Masyarakat saya tanam sayur lima enam batas sahaja sedangkan orang seberang tanam sayur berekar-ekar. Orang kita tanam cikui dua tiga pokok sahaja sedangkan orang seberang tanam berpuluh ribu. Sayur orang kita kurus-kurus belaka sedangkan sayur orang seberang gemuk-gemuk belaka.

Jadi, mahu tidak mahu kita harus berjuang.Masyarakat harus berjuang. Jabatan-jabatan kerajaan harus berjuang. Malahan kerajaan harus memperjuangkan nasib masyarakat. Didiklah masyarakat saya. Bantulah masyarakat saya. Bukalah mata masyarakat saya supaya mengusahakan tanah-tanah mereka semaksimum mungkin. Kita tidak mahu diketawakan oleh orang-orang dari seberang yang memandang sinis akan kemampuan kita sebagai petani. Barang diingat, orang-orang seberang sememangnya terlatih dalam pertanian sejak zaman berzaman. Sejak penjajahan Belanda yang mengamalkan Sistem Tanaman Paksa.

Ayuh masyarakat ku. Berjuanglah untuk mengubah kehidupan.

Isnin, 15 Mac 2010

Perjuangan Untuk Masyarakat ku- Pertanian 2

Agak menghairankan apabila orang kita tanam sayur, sayur yang dihasilkan kurus-kurus belaka. Kacang panjang kurus, timun kurus, terung kurus, sayur putih kurus, serba-serbi kurus. Akibatnya tanaman tersebut hanya layak dimakan sendiri. Tak boleh bersaing dengan sayur-sayuran yang ditanam oleh kawan-kawan dari seberang. Sayur-sayuran yang satu ni gemuk-gemuk belaka. Besar, panjang, malah colournya pun begitu mempersona mata yang memandang.Bila dipasarkan, yang gemuk-gemuklah menjadi pilihan pembeli.

Saya bertanya kepada orang-orang kita kenapa hal yang sedemikian boleh berlaku. Masing-masing menggeleng-gelengkan kepala. Masing-masing tidak faham. Tak tau kenapa. Mereka kata yang mereka bubuh baja juga. Baja yang sama jenis dengan yang digunakan oleh orang seberang.

"Mereka taruh baja organik, kamipun taruh. Mereka guna baja kimia, kamipun guna juga"
Kata seorang kawan tu.

"Tapi yang hairannya sayur kami kurus, sayur mereka gemuk" kata kawan tu lagi.

Saya ajukan masalah tersebut kepada seoang kawan yang berpengalaman tentang pertanian.

"Sayur-sayuran itu kena beri penjagaan yang lebih" kata si kawan.

"Bukan setakan membubuh baja saja" katanya lagi.

"Racun pun perlu juga" tambahnya lagi.

"Siang tengok, malam pun kena tengok juga. Sebab waktu malamlah banyak makhluk perosak keluar.Penyiraman pun perlu. Merumputpun perlu malah belaian pun perlu juga" katanya sambil ketawa-ketawa kecil.

Saya mula memahami maksud kawan saya. Tanam sayur bukan setakat tanam begitu sahaja. Prosesnya bermula dari A ke Z. Prosesnya perlu dipelajari. Perlu diikuti sepenuhnya. Dipraktikkan dan dilaksanakan mengikut kaedah-kaedah tertentu barulah hasilnya seperti yang dikehendaki. Betul kata Dr. Rusly, Tidak sama pencapaian orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu.

Ahad, 14 Mac 2010

Catatan sebagai guru 4- P. Ramlee n Dato K

"Siapa pernah menonton filem P. Ramlee?"

Semua anggota pangkat rendah kadet angkat tangan.

"Siapa pernah tonton Pendekar Bujang Lapuk?" tanya Tuan Komandan lagi.

Semua anggota mengangkat tangan lagi.

"Ok, apa yang kamu nampak dalam cerita itu?" Tuan Komandan cuba mencungkil.

Anggota-anggota kadet berpandang-pandangan. Malu untuk bersuara meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Ada yang berbisik-bisik sambil ketawa-ketawa kecil. Tiada yang cuba untuk menjawab soalan Tuan komandan.

"Kalau kamu nampak jenakanya, jenakalah kamu dapat. Tapi kalau kamu perhati betul-
betul, banyak mesej positif yang P. Ramlee bawa", tegas Tuan Komandan.

"Hei mambang api,mambang tanah, mambang air mambang angin, mambang segala mambang.
Berdampinglah dengan aku". Tuan Komandan mengulang kembali dialog P. Ramlee dalam filem itu.

Gelagat Tuan Komandan betul-betul macam P. Ramlee. Terkekeh-kekeh anggota kadet ketawa dibuatnya. Perwatakan Tuan Komandan yang tegas hilang seketika hanyut dibawa arus karisma seniman lagenda itu.

" Itu yang P. Ramlee kata. P. Ramlee tahu asal mula kita dari tanah dan tiga unsur lain. Keempat-empat unsur itu bergabung menjadi satu. Kita pun perlu macam tu. Kita perlu bersatu supaya menjadi kuat" seru Tuan Komandan.

"Ada yang kenal Dato K?", Tuan Komandan buka cerita baru.

Semua anggota kadet angkat tangan tanda mengenali Dato K.

Tuan Komandan beralih kepada anggota kadet perempuan lalu bertanya.

" Kamu suka Dato K ?" tanya Tuan Komandan.

Anggota kadet perempuan tersipu-sipu malu tanpa berkata apa-apa.

" Kita mesti suka 'k', tapi bukan Dato K suami Dato Siti Nurhaliza" tegas Tuan Komandan.

" 'K' bermaksud knowledge, kepimpinan, keupayaan , kerjasama, kepatuhan", Tuan Komandan menerangkan maksud 'K'.

Anggota-anggota kadet mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju. Terkebil-kebil mata para anggota kadet akan kebolehan Tun Komandan bersyarah. Mereka tidak menyangka bahawa Tuan Komandan bukan sahaja tegas malahan pandai berjenaka dalam syarahannya.

Audiens dan suasana berbeza, pendekatan dan kaedah penyampaian juga seharusnya berbeza.

Jumaat, 12 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan- Cili padi dan garam

Petang Jumaat,habis waktu persekolahan, matahari hampir melabuhkan tirai. Saya dan Fadilis Idaron rakan sebilik, stor Pejabat Yayasan Sabah (kami di tempatkan di situ buat sementara kerana asrama penuh)bercadang untuk pulang ke kampung masing-masing. Saya bercadang ke Tandek manakala Fadilis ke Kg Masolog.Malangnya kereta terakhir yang pulang ke kampung kami telahpun bertolak. Terpaksalah kami berpatah balik ke bilik sementara kami.

Sampai di bilik, tanpa berlengah kamipun mula menanak nasi. Sementara menunggu nasi masak Fadilis cadangkan saya tumis sayur. Saya tengok bekalan sayur kami dah kosong. Tiada apa-apa yang boleh dimasak. Hanya garam yang ada. Nak membeli sardin di pekan,duit tak cukup. Duit yang ada hanya cukup untuk tambang pulang sahaja.Fadilis teringat cili padi yang tumbuh di tepi Pejabat Yayasan Sabah. Fadilis bergegas memetik cili yang masih hijau. Malam tu kami makan berlaukkan garam dan cili padi hijau. Kenyang juga akhirnya.

Kata pepatah tiada rotan akarpun berguna.

Khamis, 11 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan- Nordin Ahmad

Tahun 1974 sungguh meriah bukan sahaja kepada kami adik beradik tapi kampung kami dan kampung-kampung berdekatan. Tahun ini ayah saya membeli sebuah televisyen hitam putih saiz 24 inci. Dengan bantuan generator sendiri, waktu malam kami diterangi oleh lampu pendafluor dan dihiasi oleh tayangan filem 50an, 60an dan Indonesia. Berduyun-duyun jiran-jiran sama-sama menyaksikan tayangan-tayngan filem yang menarik. Jarak rumah kami yang jauh dari rumah jiran terdekat dan kampung-kampung berhampiran tidak menghalang mereka berkunjung ke rumah kami.Malam-malam yang mendatang menjadi begitu meriah bila RTM menyiarkan tayangan yang dibintangi oleh Hero 'Nordin Ahmad' dalaman filem-filemnya seperti Seri Mersing, Tajul Ashikin, dan lain-lain. Filem-filem tersebut betul-betul menyemarakkan semangat saya dan kawan-kawan. Apa lagi, kamipun masing-masing membuat pedang, keris dari kayu. Kebetulan masa itu kami diajar mata pelajaran pertukangan oleh Cikgu Sina Pangayas. Setelah pedang dan keris kami siap, kami mempraktikkan apa yang kami tonton dalam TV. Tikam menikam menggunakan keris. Libas-melibas menggunakan pedang. Pada waktu rehat suasana sekolah hingar-bingar oleh keriuhan kami bertarung sesama sendiri. Melihat keadaan yang tidak terkawal, selepas waktu rehat kami dihimpunkan oleh cikgu Sina. Masing-masing dapat lima rotan di kedua belah tangan. Pedang dan keris kami turut dirampas. Betul kata pakar, Media Membawa pelbagai Pengaruh Kepada Pembaca atau Penontonnya.