Teluk Marudu

Teluk Marudu

Isnin, 9 April 2012

SAMBUTAN HARI KOR KADET POLIS DAERAH TUARAN 2012

TAJUK : PENYERTAAN PELAJAR DALAM KOR KADET POLIS MENINGKAT

Tuaran, 08 April: Kor Kadet Polis semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar dengan keanggotaan mencecah 170 ribu orang di seluruh negara ketika ini kata Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Zaharuddin Rasip semasa menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Kor Kadet Polis kali ke-42 peringkat Daerah Tuaran di sini kelmarin.

Penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum seperti Kor Kadet Polis bukan sahaja dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap penularan fenomena sosial dalam kalangan remaja masa kini malah turut membantu pihak polis mencapai sasaran dalam mengurangkan jenayah jalanan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, kata beliau.

“Penyertaan yang begitu ramai membuktikan betapa pelajar-pelajar berminat dengan organisasi kepolisian yang sememangnya terkenal dengan tahap disiplin yang tinggi dalam menguatkuasakan undang-undang negara”, tambah beliau lagi.

Ketegasan dan tahap disiplin yang tinggi membolehkan PDRM mencapai sasaran dalam mengurangkan jenayah jalanan di negara ini seperti yang dinyatakan dalam laporan kajian oleh The World of Justice yang meletakkan Malaysia di tangga ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika, tempat pertama di Asia Tenggara dan tempat kedua di Asia. Pencapaian ini membolehkan Malaysia mendapat kepercayaan pelabur dengan menerima sebanyak RM 33 bilion pelaburan dari pelabur luar, jelas beliau.

Zaharudin turut mengingatkan anggota kadet agar terus mengekalkan tahap disiplin yang tinggi kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga PDRM serta boleh memainkan peranan sebagai mata dan telinga PDRM dengan penyaluran maklumat berguna dalam memerangi jenayah yang berlaku di persekitaran mereka.

Seramai 500 orang anggota kadet polis dari lapan buah sekolah menengah di daerah Tuaran terlibat dalam perhimpunan khas sempena sambutan hari ulang tahun badan beruniform berkenaan. Turut hadir pegawai-pegawai kanan PDRM , pegawai kanan Kor Kadet Polis, wakil Pegawai Pelajaran Daerah serta wakil Pengetua dari sekolah-sekolah menengah daerah Tuaran.

Daily Express, 10 April, pg.05

Utusan Borneo, 12 April 2012







Tiada ulasan:

Catat Ulasan