Teluk Marudu

Teluk Marudu

Sabtu, 15 Januari 2011






TAJUK : GURU BERTANGGUNG JAWAB MEMBANGUNKAN MODAL INSAN
(Utusan Borneo,16/01/2011, hal.2)


Tuaran, 15 Mac : Guru bertanggung jawab membangunkan modal insan agar menjadi manusia yang berketrampilan untuk menjadi khalifah di muka bumi kata Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Hj. Muhiddin Hj. Yusin semasa Majlis Penutupan Program Sunshine di SMK Badin, Tuaran hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa guru merupakan pemimpin serta pembimbing kepada pelajar. Justeru itu, guru harus memahami kejadian manusia daripada pelbagai unsur yang mempengaruhi pembentukan sikap anak-anak manusia itu sendiri. Beliau menambah bahawa pemafahaman yang mantap terhadap unsur kejadian manusia akan dapat membantu guru-guru memahami seterusnya membentuk sikap anak murid ke arah yang positif.

“Sebagai pemimpin, guru harus tahu arah tuju yang betul yang perlu dilalui oleh anak murid, merintis laluan, mengurang serta membuang halangan dan membantu anak murid mengharungi cabaran yang mendatang supaya anak murid tidak terpesong dari laluan yang sepatutnya mereka ikuti ”. kata beliau lagi.

Selaku pemimpin, Muhiddin menyarankan agar guru-guru bertindak sebagai payung terhadap anak murid. Dengan cara itu akan dapat membantu menghilangkan keresahan ibu bapa terutama mereka yang mempunyai anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran ataupun masalah sahsiah.

“ Guru juga perlu menjadi lampu atau lilin untuk menerangi jalan yang akan dilalui oleh anak murid supaya mereka tidak tersungkur bila berhadapan dengan halangan”, kata beliau lagi.

“ Akhirnya guru juga mesti bertindak sebagai loceng penggera untuk menyedarkan murid yang tersasar dari haluan sebenar atau terleka dalam melaksanakan tanggung jawab mereka sebagai murid”. Tambah Muhiddin lagi.

Muhiddin turut mengingatkan guru-guru supaya sentiasa peka serta bijak mengesan dan menonjolkan potensi yang ada pada diri setiap murid. Dengan cara itu, beliau percaya penonjolan potensi murid boleh menjadi pemangkin kecemerlangan murid-murid berkenaan.

Terdahulu, dalam majlis yang sama Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong menyatakan bahawa Program Sunshine seumpama cahaya matahari yang sentiasa memancar menerangi laluan manusia supaya mudah menuju ke arah kecemerlangan.

Lim turut menegaskan bahawa anak murid yang terpilih menyertai program berkenaan amat bertuah kerana mereka mendapat perhatian yang berterusan serta diberi bimbingan untuk memahami hala tuju diri masing-masing demi kepentingan mereka sendiri, masyarakat dan negara.


Sambil mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas sokongan yang padu terhadap program berkenaan, Lim mengingatkan pelajar bahawa program berkenaan merupakan tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pihak sekolah terhadap anak murid yang sentiasa mahu melihat kejayaan anak murid khususnya di SMK Badin.

Lim menyifatkan Program Sunshine seumpama kata pepatah , “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, yang membawa maksud, perlu ada usaha yang berterusan dan pasti akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Tuaran, Tah Nia Hj. Jaman, Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu dan Bapa dan Guru SMK Badin, Awang Bungsu Hj. Ag. Matiasin serta kira-kira tiga ratus orang ibu bapa dan seratus empat puluh orang guru dan KTBM SMK Badin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan