Teluk Marudu

Teluk Marudu

Selasa, 20 April 2010

Hantu Pokok

Musim pokok bulunu berbuah amat dinanti-nantikan oleh masyarakat kampung.Apabila buah sudah matang,pokok mula menggugurkan buahnya. Saat inilah yang ditunggu-tunggu oleh kami. Tidak kira tua, muda, berkeluarga ataupun kanak-kanak, masing-masing akan menjadi penunggu setia pokok bulunu sementara waktu.Bukan apa, kami hanya menunggu buah yang gugur sendiri dan bergilir-gilir mendapatkan habuan masing-masing.

Begitulah harmoninya budaya masyarakat kampung.Walaupun pokok bulunu itu tumbuh membesar dalam tanah milik si Fulan katakan, tetapi si Fulan tidak menganggap pokok tersebut miliknya seorang.Sebaliknya beranggapan pokok tersebut milik bersama masyarakat kampung.

"Pokok ni di tanam oleh moyang kita orang 100 tahun yang lalu. Moyang kita orang ada lapan adik beradik. Kita semua ni cucu dialah. Jadi pokok ini milik kita bersama. Kalau ada buah kita orang punya buahlah. Jadi kita mesti bergilir-gilir ambil itu buah, jangan berebut-rebut", pesan Pakcik Sasangi.

Pokok bulunu sebesar dua setengah pemeluk tersergam megah tumbuh di tanah milik Pakcik Sasangi. Dalam kawasan yang sama ada dua tiga pokok bulunu yang turut berbuah.Apa lagi,suasana begitu meriah di bawah pokok bulunu. Golongan tua menghiasi suasana dengan pelbagai cerita. Tema cerita dari hal-hal rumahtangga, pertanian,perpaduan dan sebagainya. Hal-hal politik jarang mendapat tempat kerana masyarakat kampung ketika itu belum lagi dicemari oleh budaya politik kepartian.

Satu yang kurang selesa bagi kami golongan kanak-kanak, pabila menjelang senja cerita-cerita berkaitan hantu,polong,pontianak,balan-balan, hantu tutumolong (hantu yang menyesatkan orang dalam hutan),barau (hantu nakal), mula kedengaran. Bila saja cerita-cerita itu mula berkumandang seorang demi seorang kanak-kanak mula beransur-ansur balik ke rumah.

Saya bisik pada adik agar bersiap-siap untuk pulang. Lagipun ibu sudah berpesan agar kami balik awal.

"Tunggulah kejap. Tengok bakul kita baru ada dua biji buah", kata adik.

Betul juga. Kami baru dapat dua biji buah bulunu. Kalau ramai yang sudah pulang tentu kami akan dapat buah lagi. Lagipun banyak bakul yang kami bawa. Tekiding ada (bakul dari rotan), bakul plastik yang tersisip di pinggang pun ada. Kalau kami pulang awal dengan dua biji buah tentu ibu tidak akan membenarkan kami menunggu buah jatuh lain kali kerana anggapannya itu hanya membuang masa.Akhirnya kami ambil keputusan untuk turut berada di situ.

"Ha... pulanglah kita", kata Pakcik Sasangi.
"Pukul satu pagi sudah ni" tegasnya lagi

Tanpa bersuara, kami akur dengan arahan Pakcik Sasangi. Lagipun hanya tinggal kami bertiga di situ. Pakcik Sasangi menuju ke hulu arah ke rumahnya, kami menyusuri sungai ke arah bertentangan.

Supaya cepat sampai kami sepakat mengikut jalan pintas walaupun agak jalan agak semak ditumbuhi semak-samun renek.

Tiba-tiba adik menyentap baju saya.

"Berhenti....dengar dulu" kata adik berbisik.

Saya memasang telinga, mengamati suasana sekeliling. Tiada apa yang saya dengar kecuali nyanyian riang unggas malam.

Kami melangkah berhati-hati.

"Ha....ada bunyi....", adik berbisik lagi.

Kali ini saya turut mendengarnya. Kami mempercepatkan langkah. Bunyi tu turut bergerak pantas. Kami perlahan, bunyi tu turut perlahan seolah-olah mengiringi perjalanan kami. Apa lagi, kami mengorak langkah seribu. Memecut sekuat tenaga lagipun cahaya lampu dari rumah sudah kelihatan.

Adik tertinggal di belakang. Bunyi tu sudah tidak kedengaran lagi.

"Tunggu.....tunggu....", adik melaung-laung dari belakang.

Saya tersedar. Rupanya adik jauh di belakang.

Serta merta saya berhenti. Lagipun ibu yang terdengar laungan adik menyuluh lampu picit ke arah kami. Saya mendapatkan adik yang jatuh tersungkur. Beg plastik yang saya sisip di pinggang saya rupanya terlepas lalu menutup muka adik menyebabkan dia hilang arah lalu jatuh. Pantas saja adik menanggalkan beg plastik dari mukanya.

"Inilah yang berbunyi tu", adik menjelaskan.

Rupa-rupanya ketika kami bergerak,beg plastik yang saya sisip di pinggang tersentuh ranting-ranting semak-samun lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan kami. Otak kami yang dimomok-momokkan dengan cerita hantu pada awal petang tidak dapat mentafsir bunyi tu dengan betul. Bunyi ganjil saja semuanya datang dari hantu.

Hari berikutnya kami tidak lagi mahu menunggu buah bulunu jatuh hingga jauh malam. Malam semalam hantu plastik yang menakut-nakutkan kami. Malam-malam yang akan datang mungkin hantu betul-betul yang keluar.

Takut....... .

Selasa, 13 April 2010

Kepimpinan Melalui Teladan

Walaupun baru 9.00 pagi, matahari memancar dengan teriknya. Tukang kebun mengesat-ngesat dahi dan leher yang dibasahi oleh peluh yang terus meleleh keluar. Tuala kecil yang digunakan oleh Nafi si tukang kebun basah kuyup.Enam tujuh langkah berjalan sambil menolak mesin pemotong rumput, dia mematikan langkah. Tolak lagi. Berhenti. Tolak lagi, berhenti. Tiba-tiba dia membelokkan mesin pemotong rumput ketepi padang.Terus berteduh di bawah rimbunan pokok akasia. Dia melibas-libaskan tuala kecilnya sambil bersiul-siul kecil memanggil angin.

"Nafi.......", tiba-tiba satu suara bergema memecah anyaman santai Nafi yang sedang dibelai angin sepoi-sepoi bahasa. Bahang dari gema suara itu lebih panas dari terik cahaya matahari menyalai dua kuping telinga Nafi.

Tempikan suara itu melontar jauh nikmat desahan lembut angin yang sedang membelai lembut tubuh gempal Nafi.Pantas saja Nafi menoleh ke arah suara tadi.Rupa-rupanya suara itu milik Sang Pengetua yang sedang berdiri sambil mencekak pinggang di seberang padang.

"Bawa sini mesin itu", laung Sang Pengetua lagi.

Tanpa berlengah Nafi menolak mesin rumput ke arah Pengetua.

"Kau duduk sini, kau tengok saya potong rumput. Lepas tu kau ikut cara saya", Pengetua tegas memberitahu Nafi.

Terkebil-kebil mata Nafi dengan tindakan Sang Pengetua. Tapi dia tidak menjawab walau sepatahpun.

Langkah Sang Pengetua pantas menjelajah seluruh pelusuk padang. Dalam tempoh setengah jam sahaja rumput bahagian utara padang habis dipotong oleh mesin rumput yang ditolak oleh Sang Pengetua.

"kau tengok Nafi,setengah jam saja besar sudah kawasan saya potong.Kalau satu jam habis satu padang.Kau buat kerja betul-betul. Ikut macam saya". Pengetua menegaskan kemahuannya.

Mulut Nafi bungkam.Dia tidak mampu menjawab walau sepatahpun.Dia tahu kata-kata Sang Pengetua benar belaka.

Isnin, 12 April 2010

free counters

Manisnya Tompipiris

Zaman kanak-kanak memang indah. Ketika itu persekitaran rumah ditumbuhi dengan pelbagai pokok berbunga yang menjadi kegemaran lebah untuk tumpang berteduh barang semusim berbulan madu. Lebah jenis ini agak kecil. Saiz kawanannya yang melekat pada dahan pokok hanya sebesar segenggam penumbuk orang dewasa. Ini membuat saya dan adik tidak takut mengusik lebah madu yang kami kenali sebagai tompipiris semata-mata untuk mendapatkan madunya.

Ayah dan ibu membiarkan sahaja gelagat kami. Lagipun tompipiris tidaklah bahaya berbanding lebah madu pokok Tualang atau lebah pomosuon yang bersarang dalam lubang kayu.

Untuk mendapatkan madunya mudah sahaja. Cara pertama, panjat pokok, patahkan dahan tempat lebah melekat, terjun dan terus berlari sejauh mungkin sehingga lebah berhenti mengejar.

Cara kedua; ambil daun kelapa yang telah kering, ikat baik-baik, bakar hujungnya dan halakan api pada lebah.Pasti lebah akan jatuh satu persatu. Setelah semuanya selamat barulah ambil madunya.

Cara ketiga; himpunkan daun kering, bakar, bila terbakar, asap keluar, panjat pokok,bergayut pada dahan di mana lebah melekat. Halakan ke unggun api, patahkan dahan, terjun dan terus berlari sejauh mungkin.

Apapun ketiga-tiga cara itu tetap tidak menjamin diri dari disengat lebah.Adakala seekor dua lebah berjaya menyengat juga. Jika bahagian mata yang disengat alamat akan menjadi bahan ketawa kawan-kawan di sekolah keesokan harinya. Apa tidaknya, sebelah atau kedua-dua belah mata bengkak serta menjadi sepet sesepet-sepetnya......

Jumaat, 9 April 2010

Senapang Patah Charles Bronson

Kisah ini berlaku sekitar tahun 70an. Seawal 6 pagi, seorang lelaki lebih separuh abad bergelar Aman bergegas ke stesyen bas sambil membimbit senapang patah miliknya. Tujuannya hanya satu iaitu mahu cepat ke stesyen itu takut kalau-kalau ketinggalan bas menuju ke bandaraya. Dia perlu sampai sebelum tengahari di bandaraya untuk memperbaharui lesen senjata apinya.

Aman berjaya naik bas pertama ke bandaraya. Malangnya pergerakan bas itu agak lambat kerana bas itu hampir sama baya dengan si Aman. Akhirnya bas itu tiba juga ke destinasinya namun terlambat sejam dari masa yang dijangka oleh si Aman.

Jam menunjukkan 12.30 hari. Jika ke Balai, ambil masa 15 minit untuk sampai ke situ.

"Pasti pejabat sudah tutup", bisik hati si Aman.

Akhirnya si Aman ambil keputusan menonton wayang dulu. Kebetulan ceritanya dibintangi oleh Koboi terkenal Charles Bronson, bintang pujaan si Aman. Aman penuh khusyuk menonton wayang.

Tiba-tiba hero Charles Bronson dikepung oleh musuh. Hero pujaan si Aman tidak ada ruang untuk melarikan diri. Aman tergamam. Dia perlu buat sesuatu menyelamatkan heronya.

"Hanya ada satu cara", kata Aman

Aman keluarkan senapangnya. Isi dengan sebutir peluru nombor 4. Aman mengacukan senapangnya ke arah musuh di belakang Charles Bronson.

"BANGGGGGGGGGGG..............." dentuman senapang Aman memecah keasyikan penonton dalam panggung.

Skrin koyak rabak. Penonton bertempiaran lari. Hero dan musuh turut lenyap dari skrin. Puas hati si Aman.

"Kenapa kau tembak tu panggung Aman ?" tanya Pegawai Polis.

"Saya mau kasi salamat itu staring ba Tuan. Kalau saya tidak buat begitu, matilah itu staring. Salah kah Tuan?" jawab si Aman.

Pegawai Polis menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sabtu, 3 April 2010

Lintah ajaib

Tahun 70an musim menanam padi di kampung bermula pada bulan Oktober. Kami turut sibuk menyelenggara sawah yang baru ayah beli dari seorang saudara dekat. Oleh kerana sawah ni baru, cabarannya pun banyak. Kayu ara yang membiak segar perlu disiang.Usaha menyiang kayu ara suatu yang amat mencabar. Selain terpaksa berhadapan dengan cerita-cerita mitos yang telah berakar umbi dalam minda masyarakat saya, keadaan air sawah yang melaut luas serta dalam menyukarkan kami meneroka sawah tersebut. Patutlah saudara dekat ni menjual tanah tu.

Setelah sawah siap dibajak, aktiviti menanam padi secara bergotong-royong pun bermula. Meriah sungguh ketika itu. Sewaktu menanam, golongan dewasa akan bercerita cerita-cerita dongeng. Kami yang remaja asyik mendengar dengan penuh khusuk. Tiba-tiba seorang kawan merungut-rungut kecil.

"Apa yang gatal ni?", rungutnya sendiri sambil berpusing ke arah bertentangan dan meninjau-ninjau apa yang menganggu dicelah kelengkangnya.

"Celaka punya lintah" katanya sambil menarik sang lintah keluar.

Sidang yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat si kawan.

Anehnya kaum hawa jarang diganggu lintah. Kalau diganggupun hanya dibetis sahaja. Jarang sampai ke situ. Banyak pendinding kot.

Lintah bukanlah makhluk perosak tanaman tetapi penganggu ketenteraman pesawah. Pelbagai usaha dibuat untuk memusnahkan habitat lintah. Selang beberapa tahun lintah tidak lagi menghuni sawah kami.

Anehnya abad 21 ini, lintah tidak lagi dimusnahkan sebaliknya diternak secara besar-besaran untuk tujuan komersial.Betul kata pujangga, kehidupan di dunia ibarat roda yang berputar, sekejap di bawah, sekejap di atas.