Teluk Marudu

Teluk Marudu

Selasa, 13 April 2010

Kepimpinan Melalui Teladan

Walaupun baru 9.00 pagi, matahari memancar dengan teriknya. Tukang kebun mengesat-ngesat dahi dan leher yang dibasahi oleh peluh yang terus meleleh keluar. Tuala kecil yang digunakan oleh Nafi si tukang kebun basah kuyup.Enam tujuh langkah berjalan sambil menolak mesin pemotong rumput, dia mematikan langkah. Tolak lagi. Berhenti. Tolak lagi, berhenti. Tiba-tiba dia membelokkan mesin pemotong rumput ketepi padang.Terus berteduh di bawah rimbunan pokok akasia. Dia melibas-libaskan tuala kecilnya sambil bersiul-siul kecil memanggil angin.

"Nafi.......", tiba-tiba satu suara bergema memecah anyaman santai Nafi yang sedang dibelai angin sepoi-sepoi bahasa. Bahang dari gema suara itu lebih panas dari terik cahaya matahari menyalai dua kuping telinga Nafi.

Tempikan suara itu melontar jauh nikmat desahan lembut angin yang sedang membelai lembut tubuh gempal Nafi.Pantas saja Nafi menoleh ke arah suara tadi.Rupa-rupanya suara itu milik Sang Pengetua yang sedang berdiri sambil mencekak pinggang di seberang padang.

"Bawa sini mesin itu", laung Sang Pengetua lagi.

Tanpa berlengah Nafi menolak mesin rumput ke arah Pengetua.

"Kau duduk sini, kau tengok saya potong rumput. Lepas tu kau ikut cara saya", Pengetua tegas memberitahu Nafi.

Terkebil-kebil mata Nafi dengan tindakan Sang Pengetua. Tapi dia tidak menjawab walau sepatahpun.

Langkah Sang Pengetua pantas menjelajah seluruh pelusuk padang. Dalam tempoh setengah jam sahaja rumput bahagian utara padang habis dipotong oleh mesin rumput yang ditolak oleh Sang Pengetua.

"kau tengok Nafi,setengah jam saja besar sudah kawasan saya potong.Kalau satu jam habis satu padang.Kau buat kerja betul-betul. Ikut macam saya". Pengetua menegaskan kemahuannya.

Mulut Nafi bungkam.Dia tidak mampu menjawab walau sepatahpun.Dia tahu kata-kata Sang Pengetua benar belaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan