Teluk Marudu

Teluk Marudu

Jumaat, 13 Januari 2012

TERPENGARUH, JIWA KOSONG, KURANG BIMBINGAN AGAMA PUNCA JENAYAH

TERPENGARUH, JIWA KOSONG, KURANG BIMBINGAN AGAMA PUNCA JENAYAH

Tuaran : Terpengaruh, kosong jiwa dan kurang bimbingan agama antara faktor utama yang menyebabkan pelajar terlibat dalam aktiviti jenayah.

Selain itu, Pegawai Perhubungan Polis SMK Badin, Inspektor Nares berkata pengaruh media sosial dan elektronik dikenalpasti sebagai penyumbang kepada berlakunya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Pembentukan Sahsiah Unggul, di SMK Badin, dekat sini kelmarin.

“ Faktor ini akan diburukkan lagi jika pelajar-pelajar terlibat mengalami kekosongan yang disebabkan oleh kurangnya kasih-sayang dan perhatian daripada ibubapa serta tiada bimbingan agama sewajarnya”, katanya.

Beliau seterusnya menyeru pelajar supaya melibatkan diri dalam kegiatan berfaedah seperti aktiviti berpersatuan serta sukan disamping sentiasa bersikap positif dan mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Seramai 150 orang pelajar terlibat dalam Program Pembentukan Sahsiah Unggul yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Badin.

Oleh : Hanafiah MZ

Utusan Borneo, 13 Jan. 2012, hal: B7





Ahad, 8 Januari 2012

SEMUDAH ABC ?



Ada yang membandingkan keberhasilan golongan makan gaji dengan golongan peniaga. Ada yang mengatakan golongan makan gaji menikmati kehidupan yang lebih baik dari segi perolehan wang kerana dikatakan tidak perlu bersusah payah bekerja, goyang-goyang kaki di pejabat ,cukup bulan dapat gaji . Tahun berikutnya naik gaji lagi. Sampai masa, kerajaan pula buat pelarasan gaji, SSB lah, SSM lah dan kini SBPA. Hingga ada kakitangan kerajaan yang senyumnya tidak kuncup-kuncup dek kerana terlalu girang menerima berita pelarasan gaji yang diluar jangkaan itu hingga sudah ada dalam kalangan mereka yang berkira-kira menggali lubang baru untuk tutup lubang lama ataupun memohon ADVANCE di mana-mana institusi kewangan untuk sepuluh tahun akan datang bagi menampung pelbagai kegunaan hari ini.

Kata yang memulakan cerita, hal yang sama tidak berlaku kepada golongan peniaga khususnya golongan kontraktor yang dikatakan terpaksa melalui dunia persaingan serta bertungkus-lumus membanting tulang empat karat , mengejar peluang, mencari peluang, merebut peluang mahupun mencipta suatu peluang baru untuk memperolehi rezeki. Malah ada dalam kalangan mereka yang dikatakan tidak pernah memperolehi kontrak kerajaan walaupun telah bertahun-tahun memegang lesen kontraktor.


Sudah menjadi lumrah kehidupan, tiap manusia pasti berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan dalam mengejar sesuatu matlamat atau impian. Pasti pelbagai rintangan sedia menghadang atau menghalang laluan ke arah impian yang diidam-idamkan itu sebelum berjaya memperoleh apa yang diimpikan.

Untuk memperolehi sesuatu bukanlah semudah mengucapkan abjad A, B, C atau menyebut angka 1, 2, 3. Malahan, menyebut abjad atau angka tersebutpun bukanlah suatu yang mudah. Cuba kita renung kembali ketika mula mengenal alam persekolahan dan mula dikenalkan dengan abjad dan angka-angka tersebut. Berbulan-bulan guru melatih kita mengenal dan menyebut abjad-abjad tersebut barulah lidah menjadi lancar untuk menyebutnya. Ada juga yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca dan mengira tersebut walaupun bertungkus-lumus mentelaah selama enam tahun di sekolah rendah.

Pelajar-pelajar bermasalah ini kemudiannya dimasukkan ke dalam program pemulihan supaya mereka boleh menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Ada yang berjaya dipulihkan dan ada juga yang langsung tidak dapat menguasai kemahiran asas tersebut. Namun proses pendidikan tidak berakhir di situ. Pelajar-pelajar ini dikelaskan semula melalui dignostik yang perlu dilaksanakan oleh pegawai perubatan. Dapatan melalui diagnostik yang dilaksanakan itu akan menentukan hala tuju proses pendidikan yang perlu dilalui oleh pelajar berkenaan.

Demikianlah juga halangan atau rintangan yang selalu menghambat kelancaran perjalanan seseorang dalam mengejar sesuatu impian. Halangan dan rintangan akan mewarnai coretan perjuangan mencapai impian tiap individu. Mengejar impian bukanlah semudah yang disangka. Bukan juga semudah membaca A,B, C atau 1, 2, 3. Bukan juga semudah menghafal atau mengikut skrip sesebuah cerita.

Guru-guru sering berhadapan dengan murid-murid yang menghadapai masalah penguasaan 3M dan ini bermakna proses menguasai kemahiran asas tersebut bukanlah suatu yang mudah. Menghafal sesuatu skrip juga bukanlah semudah yang disangka. Mengikuti dan menghayati skrip juga bukanlah suatu proses yang mudah.

Jika proses mengikut dan menghayati skrip itu suatu yang mudah, pasti dunia perfileman negara kita akan dapat melahirkan seniman dan seniwati yang bukan sahaja gah di negara sendiri malah boleh pula mengharumkan nama negara di mata dunia. Namun, hanya segelintir sahaja dalam kalangan seniman dan seniwati di negara kita yang boleh dikategorikan sebagai berjaya dalam dunia yang mereka ceburi. Selebihnya hanya menjadi penyeri di tepian dunia berkenaan.

Begitu juga halnya dengan dunia penulisan kreatif. Tidak semua orang berkemampuan menulis dengan baik sama ada penulisan novel, cerpen, puisi atau apa juga cabang penulisan. Halangan untuk menulis pasti ada di mana-mana. Ini sama ada berkaitan dengan bakat, ketahanan, pengalaman ataupun himpunan idea yang memungkinkan seseorang penulis itu menghasilkan sesuatu bahan penulisan bermutu.

Semasa mengikuti Perkampungan Sasterawan pada 18 dan 19 Jun 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, salah seorang pembentang kertas kerja, Dr. Chacho Hj. Bula menegaskan bahawa hanya ada 144 orang penulis yang boleh dikategorikan sebagai aktif dalam dunia penulisan di Sabah. Suatu jumlah yang amat kecil berbanding jumlah penduduk negeri ini sekitar 3 juta orang.

Ini menunjukkan bahawa menulis bukanlah suatu yang mudah. Menghasilkan suatu penulisan sama ada cerpen,novel, skrip drama atau filem bukannya mudah. Apakah mengikut skrip lebih mudah berbanding menulis ?

Sesungguhnya mengikut skrip juga bukanlah mudah. Seseorang pelakon perlu membaca,menghafal,menghayati serta menggayakan seperti kehendak skrip juga kehendak pengarah. Hanya penghayatan yang jitu dapat menghasilkan gaya lakonan yang berkesan. Jadi mengikut skrip sememangnya bukan suatu kerja yang mudah seperti sangkaan sesetengah orang.

Hakikatnya tiada suatupun yang boleh kita capai dengan mudah tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, seperti kata pepatah, yang pepeh tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pokok pangkalnya, hanya dengan usaha barulah suatu kejayaan itu dapat dicapai serta dikecapi.

Oleh : Hanafiah MZ.

Isnin, 26 Disember 2011

REUNION PENGHUNI ASRAMA SABKL 2011


TAJUK : BEKAS PENGHUNI ASRAMA SMK AMINUDDIN BAKI, KUALA LUMPUR BERTEMU DI SABAH

Kota Kinabalu: Kenangan indah zaman persekolahan dan ditambah dengan keunikan teknologi komunikasi dan internet melalui facebook membawa kepada pertemuan semula bekas penghungi asrama SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur bertempat di negeri di bawah bayu.

Manisnya, pertemuan ini melibatkan 20 orang pelajar bekas tajaan Yayasan Sabah yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur 30 tahun yang lalu serta 16 orang rakan seasrama yang berkunjumg ke Kota Kinabalu untuk sama-sama meraikan majlis tersebut.

Antara pengisian program ialah majlis makan malam di salah sebuah restoran terkemuka di Kota Kinabalu. Keesokan harinya bekas penghuni asrama SMK Aminuddin Baki sama-sama bergerak ke Ranau sebuah daerah pelancongan terkemuka Sabah untuk menjejaki bekas pelajar SM Aminuddin Baki yang bermastautin di daerah berkenaan.

Ahli rombongan turut berkesempatan mengunjungi Kampung Luanti yang terkenal dengan spa ikan air tawar, Taman Negara Kinabalu, pekan Kundasang yang terkenal dengan sayuran sebelum menjamu selera di Damai Eco Ranch di kampung Lohan yang turut dihadiri oleh dua orang lagi bekas pelajar tajaan Yayasan Sabah dari Ranau, saudara Kamaruddin dan Jamiri.

Salah seorang ahli rombongan, Khir Johari dari Pulau Pinang melahirkan kegembiraan dan amat bersyukur dengan penganjuran program seperti ini yang bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia ketika zaman persekolahan tetapi juga dapat menyambung semula silaturrahim yang terputus sejak 30 tahun lalu.

“Wang ringgit boleh dicari, tetapi nilai sebuah persahabatan sejati tidak mampu dibeli walau dengan segunung emas” kata beliau sebelum bertolak pulang ke Pulau Pinang pada Ahad.





PELAJAR CEMERLANG PMR SMK BADIN





Sabtu, 24 Disember 2011

9 PELAJAR SMK BADIN CAPAI 'A' DALAM SEMUA MATA PELAJARAN



TAJUK : 9 PELAJAR SMK BADIN CAPAI ‘A’ DALAM SEMUA MATA
PELAJARAN

Tuaran : Seramai 09 orang pelajar SMK Badin mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam Penilaian Menengah Rendah 2011, demikian kata Pengetua sekolah berkenaan Puan Lim Lai Hong di sini pada Rabu.

Masniati Mustafa dari kelas aliran Bahasa Arab mendahului senarai pelajar cemerlang sekolah berkenaan dengan pencapaian 9A. Manakala tujuh yang lain mendapat 8A dan seorang mencapai 7A. Antara pelajar yang berjaya mendapat 8A ialah Maryam binti Sarkauvi, Awang Ku Muiz Ag. Mumin, Mohd. Faiz Saibol, Nur Idayu Aldin, Shahidah Masri, Wendy Chong May Shia dan Muhd. Nizam Nasip manakala Florisca Aldina Godulus mendapat 7A.

Empat orang berjaya mencapai 7A 1B, enam mencapai 6A 2B manakala sembilan yang lain berjaya mendapat 5A.

Menurut Lim, pencapaian SMK Badin kali ini merupakan peningkatan kualiti dengan bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran seramai sembilan orang meningkat sebanyak 2.6 peratus berbanding hanya seorang atau 0.35 peratus sahaja pada tahun 2010. Manakala mata pelajaran Kemahiran Hidup Teknikal dan Bahasa Arab berjaya mencapai keputusan seratus peratus.

Utusan Borneo 24 Dis 2011





is. 2011

Khamis, 17 November 2011

KADET POLIS SMK BADIN LAWAT PGA BRIGED SABAH

TAJUK: KADET POLIS SMK BADIN LAWAT PGA BRIGED SABAH.

Papar : Seramai 22 orang anggota dan tiga pegawai Kor Kadet Polis SMK Badin, Tuaran melakukan lawatan sambil belajar ke Formasi Pasukan Gerakan Am di sini pada Khamis. Lawatan ke formasi polis merupakan antara program tahunan yang dirancang untuk memberi pendedahan kepada anggota kor kadet polis untuk mengenali dengan lebih mendalam kemudahan-kemudahan yang dimiliki oleh Kontinjen Polis Sabah kelmarin.

Ketibaan anggota Kor Kadet Polis SMK Badin disambut oleh ASP Salim serta anggota Pasukan Gerakan AM briged Sabah dan anggota PGA batalion 16 di formasi PGA Briged Sabah, Kinarut, Papar.

Anggota Kor Kadet SMK Badin diberi taklimat berkaitan sejarah awal penubuhan Pasukan Gerakan Am serta peranan pasukan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia yang disampaikan oleh Cif Inspektor Shaifulnizam Mohd. Din.

Shaifulnizam menggesa semua anggota kadet mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan menghargai serta memanfaatkan peluang menganggotai pasukan kadet polis sepenuhnya.

Anggota Kadet turut berpeluang melawat pameran peralatan perkhemahan, senjata serta peralatan komunikasi yang disediakan khusus untuk program ini.

Beberapa orang anggota kadet turut berpeluang menggunakan peralatan komunikasi pasukan polis.


Sumber : Utusan Borneo, 15 Nov. 2011



Isnin, 7 November 2011

CATATAN DI AIDIL ADHA


CATATAN DI AIDIL ADHA.

Selepas menunaikan Solat Sunat Aidil Adha, bergegas pulang ke kampung menjenguk sanak-saudara di sana. Kebiasaannya sanak-saudara khususnya yang bertugas di daerah lain akan mengambil kesempatan untuk bertemu sanak- saudara. Sejak dahulu, sudah menjadi kebiasaan kami tempat berkumpul di rumah Mak Long. Namun masa berlalu Mak Long yang berusia 82 tahun tidak lagi segagah dahulu melayani kami. Jadi peranan itu diambil alih oleh anak sulung beliau, Hj. Ahmat Ali.

Sambutan Aidil Adha dilaksanakan serba sederhana. Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan doa selamat kemudian diakhiri dengan jamuan makan. Kesempatan berjumpa sanak-saudara ternyata amat bermakna. Kegembiraan terpancar diwajah semua yang hadir dan diiringi oleh gelak ketawa lahir dari senda gurau sanak-saudara.

Namun ada cerita yang menarik perhatian kami. Menurut Hj. Ahmat Ali, kejadian mencuri getah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Harga getah yang mencecah RM 7 ke RM 8 ringgit sekilogram menjadikan komoditi itu menjadi sasaran pencuri. Bukan sahaja susu getah yang dicuri, malahan getah skrap, kentalan serta getah kepingan yang disimpan dalam stor turut menjadi sasaran pencuri.
Pencuri dengan mudah mengesan kedudukan getah berkenaan apatah lagi getah sememangnya mempunyai bau tersendiri yang memudahkan pencuri mengenalpasti lokasinya.

Cerita tentang getah tidak berkisar berkaitan bab pencuri sahaja tetapi turut menjalar ke topik berkaitan peluang keemasan untuk menjana pendapatan yang lebih. Hj Zainal menegaskan betapa mereka yang mempunyai kebun getah pasti memperolehi pendapatan tambahan hasil kenaikan harga getah yang berlipat ganda.

Namun menurut Hj Ahmat Ali, kakitangan kerajaan yang mempunyai kebun getah terpaksa berkongsi hasil jualan getah dengan pekerjanya. Ini kerana amalan dalam kalangan pemilik kebun sekarang ialah membahagikan pendapatan jualan getah secara sama rata, atau 50 – 50.

Hj Zainal kurang bersetuju dengan anggapan Hj Ahmat Ali kerana menurutnya ada juga pekerja yang tidak jujur. Pekerja yang menoreh pada waktu siang, hasil torehannya dapat dipantau oleh pemilik kebun tetapi ada juga pekerja yang menoreh pada awal malam kemudian memungut hasil dalam bentuk kentalan atau skrap. Menurut Hj Zainal kerakusan pekerja untuk memerah susu getah secara maksimum menyebabkan pokok getah menjadi stress dan memberi kesan jangka masa panjang pada pokok getah juga kepada pemilik.

Beliau turut menambah bahawa sepatutnya pokok-pokok getah diurus secara optimum untuk menjana penapatan yang lebih dan bukannya dikerah secara maksimum untuk mengeluarkan susu getah.
Nampaknya pokok getah turut menjadi korban dek kerakusan manusia.