Teluk Marudu

Teluk Marudu

Ahad, 8 Januari 2012

SEMUDAH ABC ?



Ada yang membandingkan keberhasilan golongan makan gaji dengan golongan peniaga. Ada yang mengatakan golongan makan gaji menikmati kehidupan yang lebih baik dari segi perolehan wang kerana dikatakan tidak perlu bersusah payah bekerja, goyang-goyang kaki di pejabat ,cukup bulan dapat gaji . Tahun berikutnya naik gaji lagi. Sampai masa, kerajaan pula buat pelarasan gaji, SSB lah, SSM lah dan kini SBPA. Hingga ada kakitangan kerajaan yang senyumnya tidak kuncup-kuncup dek kerana terlalu girang menerima berita pelarasan gaji yang diluar jangkaan itu hingga sudah ada dalam kalangan mereka yang berkira-kira menggali lubang baru untuk tutup lubang lama ataupun memohon ADVANCE di mana-mana institusi kewangan untuk sepuluh tahun akan datang bagi menampung pelbagai kegunaan hari ini.

Kata yang memulakan cerita, hal yang sama tidak berlaku kepada golongan peniaga khususnya golongan kontraktor yang dikatakan terpaksa melalui dunia persaingan serta bertungkus-lumus membanting tulang empat karat , mengejar peluang, mencari peluang, merebut peluang mahupun mencipta suatu peluang baru untuk memperolehi rezeki. Malah ada dalam kalangan mereka yang dikatakan tidak pernah memperolehi kontrak kerajaan walaupun telah bertahun-tahun memegang lesen kontraktor.


Sudah menjadi lumrah kehidupan, tiap manusia pasti berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan dalam mengejar sesuatu matlamat atau impian. Pasti pelbagai rintangan sedia menghadang atau menghalang laluan ke arah impian yang diidam-idamkan itu sebelum berjaya memperoleh apa yang diimpikan.

Untuk memperolehi sesuatu bukanlah semudah mengucapkan abjad A, B, C atau menyebut angka 1, 2, 3. Malahan, menyebut abjad atau angka tersebutpun bukanlah suatu yang mudah. Cuba kita renung kembali ketika mula mengenal alam persekolahan dan mula dikenalkan dengan abjad dan angka-angka tersebut. Berbulan-bulan guru melatih kita mengenal dan menyebut abjad-abjad tersebut barulah lidah menjadi lancar untuk menyebutnya. Ada juga yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca dan mengira tersebut walaupun bertungkus-lumus mentelaah selama enam tahun di sekolah rendah.

Pelajar-pelajar bermasalah ini kemudiannya dimasukkan ke dalam program pemulihan supaya mereka boleh menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Ada yang berjaya dipulihkan dan ada juga yang langsung tidak dapat menguasai kemahiran asas tersebut. Namun proses pendidikan tidak berakhir di situ. Pelajar-pelajar ini dikelaskan semula melalui dignostik yang perlu dilaksanakan oleh pegawai perubatan. Dapatan melalui diagnostik yang dilaksanakan itu akan menentukan hala tuju proses pendidikan yang perlu dilalui oleh pelajar berkenaan.

Demikianlah juga halangan atau rintangan yang selalu menghambat kelancaran perjalanan seseorang dalam mengejar sesuatu impian. Halangan dan rintangan akan mewarnai coretan perjuangan mencapai impian tiap individu. Mengejar impian bukanlah semudah yang disangka. Bukan juga semudah membaca A,B, C atau 1, 2, 3. Bukan juga semudah menghafal atau mengikut skrip sesebuah cerita.

Guru-guru sering berhadapan dengan murid-murid yang menghadapai masalah penguasaan 3M dan ini bermakna proses menguasai kemahiran asas tersebut bukanlah suatu yang mudah. Menghafal sesuatu skrip juga bukanlah semudah yang disangka. Mengikuti dan menghayati skrip juga bukanlah suatu proses yang mudah.

Jika proses mengikut dan menghayati skrip itu suatu yang mudah, pasti dunia perfileman negara kita akan dapat melahirkan seniman dan seniwati yang bukan sahaja gah di negara sendiri malah boleh pula mengharumkan nama negara di mata dunia. Namun, hanya segelintir sahaja dalam kalangan seniman dan seniwati di negara kita yang boleh dikategorikan sebagai berjaya dalam dunia yang mereka ceburi. Selebihnya hanya menjadi penyeri di tepian dunia berkenaan.

Begitu juga halnya dengan dunia penulisan kreatif. Tidak semua orang berkemampuan menulis dengan baik sama ada penulisan novel, cerpen, puisi atau apa juga cabang penulisan. Halangan untuk menulis pasti ada di mana-mana. Ini sama ada berkaitan dengan bakat, ketahanan, pengalaman ataupun himpunan idea yang memungkinkan seseorang penulis itu menghasilkan sesuatu bahan penulisan bermutu.

Semasa mengikuti Perkampungan Sasterawan pada 18 dan 19 Jun 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, salah seorang pembentang kertas kerja, Dr. Chacho Hj. Bula menegaskan bahawa hanya ada 144 orang penulis yang boleh dikategorikan sebagai aktif dalam dunia penulisan di Sabah. Suatu jumlah yang amat kecil berbanding jumlah penduduk negeri ini sekitar 3 juta orang.

Ini menunjukkan bahawa menulis bukanlah suatu yang mudah. Menghasilkan suatu penulisan sama ada cerpen,novel, skrip drama atau filem bukannya mudah. Apakah mengikut skrip lebih mudah berbanding menulis ?

Sesungguhnya mengikut skrip juga bukanlah mudah. Seseorang pelakon perlu membaca,menghafal,menghayati serta menggayakan seperti kehendak skrip juga kehendak pengarah. Hanya penghayatan yang jitu dapat menghasilkan gaya lakonan yang berkesan. Jadi mengikut skrip sememangnya bukan suatu kerja yang mudah seperti sangkaan sesetengah orang.

Hakikatnya tiada suatupun yang boleh kita capai dengan mudah tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, seperti kata pepatah, yang pepeh tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pokok pangkalnya, hanya dengan usaha barulah suatu kejayaan itu dapat dicapai serta dikecapi.

Oleh : Hanafiah MZ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan