Tasik Buyut kami terpikat, tempat bercanda melepas rindu, Teluk Marudu nama mu tersemat, tenang di mata damai di kalbu.
Teluk Marudu
Isnin, 7 November 2011
CATATAN DI AIDIL ADHA
CATATAN DI AIDIL ADHA.
Selepas menunaikan Solat Sunat Aidil Adha, bergegas pulang ke kampung menjenguk sanak-saudara di sana. Kebiasaannya sanak-saudara khususnya yang bertugas di daerah lain akan mengambil kesempatan untuk bertemu sanak- saudara. Sejak dahulu, sudah menjadi kebiasaan kami tempat berkumpul di rumah Mak Long. Namun masa berlalu Mak Long yang berusia 82 tahun tidak lagi segagah dahulu melayani kami. Jadi peranan itu diambil alih oleh anak sulung beliau, Hj. Ahmat Ali.
Sambutan Aidil Adha dilaksanakan serba sederhana. Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan doa selamat kemudian diakhiri dengan jamuan makan. Kesempatan berjumpa sanak-saudara ternyata amat bermakna. Kegembiraan terpancar diwajah semua yang hadir dan diiringi oleh gelak ketawa lahir dari senda gurau sanak-saudara.
Namun ada cerita yang menarik perhatian kami. Menurut Hj. Ahmat Ali, kejadian mencuri getah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Harga getah yang mencecah RM 7 ke RM 8 ringgit sekilogram menjadikan komoditi itu menjadi sasaran pencuri. Bukan sahaja susu getah yang dicuri, malahan getah skrap, kentalan serta getah kepingan yang disimpan dalam stor turut menjadi sasaran pencuri.
Pencuri dengan mudah mengesan kedudukan getah berkenaan apatah lagi getah sememangnya mempunyai bau tersendiri yang memudahkan pencuri mengenalpasti lokasinya.
Cerita tentang getah tidak berkisar berkaitan bab pencuri sahaja tetapi turut menjalar ke topik berkaitan peluang keemasan untuk menjana pendapatan yang lebih. Hj Zainal menegaskan betapa mereka yang mempunyai kebun getah pasti memperolehi pendapatan tambahan hasil kenaikan harga getah yang berlipat ganda.
Namun menurut Hj Ahmat Ali, kakitangan kerajaan yang mempunyai kebun getah terpaksa berkongsi hasil jualan getah dengan pekerjanya. Ini kerana amalan dalam kalangan pemilik kebun sekarang ialah membahagikan pendapatan jualan getah secara sama rata, atau 50 – 50.
Hj Zainal kurang bersetuju dengan anggapan Hj Ahmat Ali kerana menurutnya ada juga pekerja yang tidak jujur. Pekerja yang menoreh pada waktu siang, hasil torehannya dapat dipantau oleh pemilik kebun tetapi ada juga pekerja yang menoreh pada awal malam kemudian memungut hasil dalam bentuk kentalan atau skrap. Menurut Hj Zainal kerakusan pekerja untuk memerah susu getah secara maksimum menyebabkan pokok getah menjadi stress dan memberi kesan jangka masa panjang pada pokok getah juga kepada pemilik.
Beliau turut menambah bahawa sepatutnya pokok-pokok getah diurus secara optimum untuk menjana penapatan yang lebih dan bukannya dikerah secara maksimum untuk mengeluarkan susu getah.
Nampaknya pokok getah turut menjadi korban dek kerakusan manusia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan