PELAJAR KRK IKUTI KEM KECEMERLANGAN PMR
Tuaran : Seramai 97 orang pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK) dari lima daerah di Pantai Barat Sabah berkampung di SMK Badin selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad. Pelajar-pelajar yang dikategorikan sebagai cemerlang ini memulakan siri pertama Kem Kecemerlangan PMR sebagai persiapan menghadapi Penilaian Menengah Rendah pada Oktober 2011.
Menurut Pengarah Pelajaran Sabah, pelajar-pelajar KRK merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR namun tidak mendapat tempat dalam sekolah-sekolah berasrama penuh atas faktor kekurangan tempat atau tidak berminat memasuki sekolah-sekolah berkenaan.
“Menyedari keupayaan pelajar-pelajar berkenaan, Jabatan Pelajaran Sabah mengambil inisiatif menubuhkan Kelas Rancangan Khas dengan lapan buah sekolah sebagai perintis program pada 2009. Kini ada 18 buah sekolah terlibat dalam program ini”. Kata Muhiddin lagi.
Melalui program ini diharap pelajar-pelajar berkenaan mampu mencapai kecemerlangan dalam PMR 2011 seterusnya meningkatkan peratus kelulusan serta gred purata sekolah maing-masing dan KPI PMR negeri Sabah, kata Pengarah Pelajaran Sabah, Dr.Hj.Muhiddin Yusin semasa menyampaikan ucap utama dalam majlis berkenaan.
Dr.Hj.Muhiddin juga menyeru ibubapa supaya tidak melepaskan tanggung jawab mendidik anak-anak di bahu guru-guru semata-mata sebaliknya saling bekerjasama dan lengkap melengkapi menggalas tanggung jawab berkenaan.
Beliau turut mengingatkan guru-guru agar sentiasa bersedia menjadi pelaksana transformasi pendidikan negara supaya sejajar dengan aspirasi negara yang sedang mengatur langkah ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Terdahulu dalam majlis yang sama, Pegawai Pelajaran Tuaran selaku Pengerusi Pengelola, Puan Tah Nia Haji Jaman mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sehingga Kem Kecemerlangan PMR 2011 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Turut hadir Pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong, Pengetua SMK Pekan II Kota Belud, Datu Matlan Datu Unjong, Pengetua SMK Gunsanad II Keningau, Johari Sabin, wakil Pengetua SMK Matunggung, wakil Pengetua SMK Beaufort, serta wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, Kudat, Beaufort dan Keningau.
Sumber : Utusan Borneo, 18/7/2011, hal. A4
Tiada ulasan:
Catat Ulasan