Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 2 Mei 2013

KARNIVAL PENDIDIKAN, KERJAYA DAN KOKURIKULUM

Tajuk : SMK Badin Anjur Karnival Pendidikan

Tuaran : SMK Badin menganjur Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Kokurikulum bertujuan mendedahkan pelajar terhadap hala tuju kerjaya yang bakal mereka lalui pada masa hadapan di dataran perhimpunan sekolah, di sini kelmarin.

Empat bidang utama sekolah iaitu Bidang Bahasa, Bidang Sains dan Matematik, Bidang Kemanusiaan dan Bidang Vokasional dan Teknik dan disokong oleh panitia-panitia masing-masing menyediakan gerai pameran yang memaparkan hasil kerja pelajar serta kajian tindakan dan inovasi oleh guru-guru.

Turut melakukan pameran ialah pusat pengajian tinggi tempatan seperti Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan UiTM Kota Kinabalu .

Kolej-kolej swasta terdiri dari Kolej Kejururawatan MAHSA , Kolej PTPL, INTI College, Kolej Yayasan Sabah dan Saito College turut menyediakan gerai pameran.

Karnival Pendidikan , Kerjaya dan Kokurikulum turut menyediakan hadiah kepada peserta pertandingan yang menobatkan Bidang Kemanusiaan sebagai juara apabila memenangi hadiah utama dalam dua kategori iaitu kategori bahan pameran berkualiti dan persembahan terbaik yang diwakili oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Bidang Bahasa, Bidang Sains dan Matematik dan Pengurusan Tingkatan Enam masing-masing memenangi satu kategori. Bidang Bahasa memenangi kategori hasil rekaan pelajar terbaik. Bidang Sains dan Matematik memenangi kategori pengunjung terbanyak.

Dengan 15 kajian tindakan dan inovasi, Pengurusan Tingkatan Enam unggul dalam kategori ini.

Pertandingan mencipta dan melancarkan roket air, menobatkan adik Sainuddin Mantedan dari tingkatan 4 Sains 1 memenangi kategori ini apabila roket ciptaannya melonjak setinggi 35 meter ke udara. Kumpulan 5 Sains 1 pula memenangi kategori roket air paling kemas.

Pengusaha Taman Buaya Tuaran turut memeriahkan karnival ini apabila menyediakan pameran yang menarik berkaitan habitat buaya.

Seramai 1600 orang pelajar mengunjungi karnival berkenaan. Turut hadir pelajar dari SM St. James Tenghilan, SMK Tamparuli dan SMK Sri Nangka, Tuaran.

Utusan Borneo. 02.05.2013. Hal. A15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan