Teluk Marudu

Teluk Marudu

Rabu, 23 Oktober 2013


TAJUK : SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN KE 56 SMK BADIN MERIAH

Tuaran: Warga SMK Badin menyambut bulan kemerdekaan kali ke 56 dengan penuh warna-warni. Pelbagai aktiviti seperti mencipta dan mendeklamasi sajak kemerdekaan, nyanyian lagu-lagu patriotik, sketsa kemerdekaan, dan kuiz kenegeraan dilaksana sebagai pengisian sepanjang bulan kemerdekaan dari 01 Ogos hingga 16 September.

Segenap pelosok sekolah dihiasi dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah menandakan kedaulatan negara terus terpelihara.

Pertandingan kelas patriotik turut dilaksana dengan setiap sudut pembelajaran kelas diisi dan dihias dengan gambar-gambar pejuang terdahulu seperti Mat Salleh, Rentap, Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut. Gambar-gambar pemimpin semasa turut mendapat tempat dalam ruang-ruang pameran berkenaan.

Para guru turut mengambil bahagian dengan memperagakan pakaian suku kaum yang terdapat di Malaysia sebagai tanda kepelbagaian penduduk yang hidup rukun dan aman damai dalam sebuah ssegara bertuah yang bernama Malaysia.

Pasukan Unit Uniform SMK Badin seperti Kor Kadet Polis, PKBM Darat dan PKBM Laut turut tidak melepaskan peluang mengikuti sambutan kemerdekan sama ada di peringkat sekolah, daerah dan negeri Sabah.

Sesungguhnya bulan kemerdekaan mengajak seluruh warga SMK Badin bersatu menyuburkan semangat perpaduan dan jati diri selaras dengan Tema Kemerdekaan tahun ini iaitu, “Malaysia ku berdaulat, Tanah Tumpah Darah ku”.

Sabtu, 13 Julai 2013

MSS SMK BADIN 2013

TAJUK: RUMAH TUN MUSTAPHA JUARA TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

Tuaran : Rumah Sukan Tun Mustapha muncul johan untuk tiga tahun berturut-turut dalam kejohanan sukan MSS SMK Badin, Tuaran selepas muncul juara dalam temasya sukan tersebut yang berlangsung selama tiga hari , di sini baru-baru ini.

Dengan mengutip 248 mata Rumah Sukan Tun Mustapha mengatasi pencabar terdekat Rumah Sukan Tun Hamdan di tempat kedua dengan 167 mata manakala Rumah Sukan Tun Fuad Stephen menduduki tempat ketiga dengan 87 mata. Rumah Sukan Tun Adnan Robert mengutip 87 mata ditempat keempat, manakala Rumah Sukan Tun Ahmad Rafaie menduduki tempat kelima apabila hanya mampu mengutip 80 mata.

Keupayaan Rumah Tun Mustapha muncul johan untuk tiga tahun berturut-turut diserikan lagi dengan kemenangan pasukan perbarisannya yang unggul dalam pertandingan perbarisan antara rumah-rumah sukan. Tempat kedua dimenangi oleh pasukan perbarisan Rumah Tun Hamdan. Tempat ketiga dimenangi oleh Rumah Tun Adnan Robert.

Pasukan Kadet Bersatu Darat pula muncul johan dalam pertandingan perbarisan unit uniform kategori (GO) dengan 153 mata mengatasi pemenang tahun lalu Kor Kadet Polis ditempat kedua dengan 148 mata. Tempat ketiga dirangkul oleh pasukan Kadet Bomba dengan 147 mata.

Bagi kategori NGO, pasukan Kadet Remaja Malaysia muncul johan. Tempat kedua dimenangi oleh Persatuan Bulan Sabit Merah manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Pandu Puteri.

Olahragawan Lelaki A dimenangi oleh adik Mohd. Nazir Pelincer dari Rumah Tun Hamdan dengan kutipan empat emas melalui acara 400 meter , 1500 meter, 4 x 400 meter yang kesemuanya mencatatkan rekod baru kejohanan serta acara 800 meter.

Adik Suufrie Mordin pula muncul sebagai olahragawan Lelaki B dengan kutipan dua emas melalui acara 400 meter dan lompat jauh yang kedua-duanya mencatat rekod baru kejohanan. Adik Suufrie yang mewakili rumah Tun Hamdan turut memenangi gangsa dalam acara 4x 100 meter dan 4 x 400 meter.

Olahragawati Perempuan A dimenangi oleh adik Nurhidayah Loyar dari Rumah Tun Mustapha dengan memenangi lima emas melalui acara 200 meter, Lompat Kijang, 4 x 400 meter dan 4 x 100 meter disamping perak dalam acara 100 meter.

Dengan empat emas dalam acara 100 meter, 200 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter serta satu perak dalam acara 400 meter, adik Syazwanie Yusni dari rumah Tun Mustapha dinobatkan sebagai olahragawati perempuan B.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong menyarankan agar aktiviti-aktiviti sukan dijadikan pemangkin semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat SMK Badin bagi membolehkan seluruh warga sekolah mengecapi kejayaan dalam apa jua aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.

Turut hadir Pengerusi PIBG SMK Badin, Tuan Haji Noorzain Haji Tawi.


Sumber: Utusan Borneo

PELAJAR WAJAR DIDEDAH DUNIA KEUSAHAWANAN


TAJUK: PELAJAR WAJAR DIDEDAH DENGAN DUNIA KEUSAHAWANAN

Tuaran: Pelajar wajar didedahkan dengan dunia keusahawanan supaya mereka berkeupayaan menceburi bidang ini setelah menamatkan dunia pendidikan kata Pengerusi PIBG SMK Badin, Haji Noorzain Haji Tawi semasa meramikan sambutan Hari Koperasi peringkat SMK Badin, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pendedahan kepada dunia keusahawanan mampu memberi impak positif yang seterusnya menarik minat pelajar berkenaan menjadi usahawan berjaya suatu masa kelak.
Menerusi kegiatan Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS), yang diusahakan oleh Koperasi SMK Badin, selain menjana kuntungan, aktiviti ini mendedahkan pelajar kepada tadbir urus pelancongan koperasi yang sistematik dan berkesan, tambah Noorzain.

Beliau turut memuji Koperasi SMK Badin dengan kerjasama pentadbiran sekolah menganjur dan melaksanakan program ‘Tamu Badin’ kerana melalui aktiviti seperti ini pelajar didedahkan kepada pelbagai cabang perniagaan yang berpotensi diusahakan oleh pelajar suatu masa kelak.

Sebanyak 52 gerai mengambil bahagian dalam program “Tamu Badin” yang menjana keuntungan sebanyak RM 13 000. Gerai kumpulan pelajar PRAU 2 Sejarah muncul sebagai kumpulan dengan keuntungan tertinggi iaitu sebanyak RM 1341 mendapat anugerah khas dari Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong.

Terdahulu penolong Kanan Kokurikulum encik Yahya Mustafa memaklumkan bahawa aktiviti pelancongan koperasi berjaya menjana keuntungan kepada Koperasi SMK Badin selain menjadi wadah kepada pembentukan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar yang seimbang.

Selain perniagaan runcit dan pelancongan koperasi, Koperasi SMK Badin turut membantu pihak sekolah menyelaras program penjagaan alam sekitar,kursus pengurusan koperasi, dan pertandingan petangqe, kata Yahya.

Dalam masa yang sama seramai 16 orang guru dan pelajar dari SMK Putera, Perlis sedang dalam rangka lawatan ke Sabah menerusi PKS SMK Badin diraikan dalam majlis berkenaan.

Harian Express. 13 Julai 2013. Hal.7

Jumaat, 12 Julai 2013

KRK SPM 2013

TAJUK: SEMUA PIHAK BERPERANAN LAHIR MURID BERKUALITI TINGGI


Tuaran: Adalah menjadi aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan setiap murid mencapai potensi yang ada pada diri mereka sepenuhnya, kata Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, encik Raisin Saidin semasa menyampaikan ucap utama dalam Majlis Perasmian Penutupan Kem Kecemerlangan Kelas Rancangan Khas (KRK) SPM di sini, kelmarin.

Untuk mencapai hasrat berkenaan setiap pemimpin di sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan, kata beliau lagi.

Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan pembangunan pembangunan murid secara menyeluruh dan seimbang telah diterjemahkan kepada enam elemen, iaitu penekanan kepada elemen pengetahuan dan kemahiran; membangunkan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam Dwibahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris); sahsiah dan nilai serta identiti nasional yang kuat dan berkualiti tinggi,kata Raisin.

Seramai 141 orang pelajar KRK SPM dari lima buah sekolah menengah terdiri dari SMK Badin sebagai tuan rumah, SMK Matunggong, Kudat, SMK Pekan II, Kota Belud, SMK Beaufort dan SMK Gunsanad II berkampung selama 4 hari 3 malam di Pusat Latihan Rela negeri Sabah di Gayang, Tuaran.

Raisin berharap kumpulan murid cemerlang ini yang tidak memilih untuk memasuki sekolah berasrama penuh menggunakan peluang yang diberikan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dari para penceramah khas yang terdiri dari guru-guru pakar dalam bidang masing-masing seterusnya mencipta kecemerlangan dalam SPM 2013.

Sumber: Utusan Borneo

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, encik Shamiun Salleh, Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong, wakil-wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Kota Belud, Keningau dan Beaufort.

Isnin, 13 Mei 2013


INTERGRITI PENTING MENTRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Tuaran : Dua ratus orang guru dari lima buah sekolah di daerah Tuaran menghadiri Seminar Intergriti Warga Pendidik peringkat “feeder School” SMK Badin yang dikelolakan bersama oleh Jabatan Pelajaran Tuaran dan SMK Badin, di sini kelmarin.

Seminar sehari yang disampaikan oleh Encik Suhaimi Abdullah, Guru Besar SK Togop, Tamparuli bermatlamat mencapai kualiti tinggi dalam sistem penyampaian, mengurangkan kesilapan guru-guru, mengurangkan masalah pelajar serta untuk mempastikan setiap kakitangan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap perkhidmatan mereka.

Terdahulu Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong yang juga Pengerusi Penganjur seminar tersebut menegaskan bahawa intergriti seorang guru penting dalam mentransformasi pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang.

Turut hadir dalam seminar tersebut Guru Besar SK Pekan Tuaran, SK Mengkabong, SK Berungis, SK Penimbawan dan SK Pendidikan Khas, Tuaran.

Utusan Borneo. 13.05.2013. Hal. B1


Khamis, 2 Mei 2013

KARNIVAL PENDIDIKAN, KERJAYA DAN KOKURIKULUM

Tajuk : SMK Badin Anjur Karnival Pendidikan

Tuaran : SMK Badin menganjur Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Kokurikulum bertujuan mendedahkan pelajar terhadap hala tuju kerjaya yang bakal mereka lalui pada masa hadapan di dataran perhimpunan sekolah, di sini kelmarin.

Empat bidang utama sekolah iaitu Bidang Bahasa, Bidang Sains dan Matematik, Bidang Kemanusiaan dan Bidang Vokasional dan Teknik dan disokong oleh panitia-panitia masing-masing menyediakan gerai pameran yang memaparkan hasil kerja pelajar serta kajian tindakan dan inovasi oleh guru-guru.

Turut melakukan pameran ialah pusat pengajian tinggi tempatan seperti Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan UiTM Kota Kinabalu .

Kolej-kolej swasta terdiri dari Kolej Kejururawatan MAHSA , Kolej PTPL, INTI College, Kolej Yayasan Sabah dan Saito College turut menyediakan gerai pameran.

Karnival Pendidikan , Kerjaya dan Kokurikulum turut menyediakan hadiah kepada peserta pertandingan yang menobatkan Bidang Kemanusiaan sebagai juara apabila memenangi hadiah utama dalam dua kategori iaitu kategori bahan pameran berkualiti dan persembahan terbaik yang diwakili oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Bidang Bahasa, Bidang Sains dan Matematik dan Pengurusan Tingkatan Enam masing-masing memenangi satu kategori. Bidang Bahasa memenangi kategori hasil rekaan pelajar terbaik. Bidang Sains dan Matematik memenangi kategori pengunjung terbanyak.

Dengan 15 kajian tindakan dan inovasi, Pengurusan Tingkatan Enam unggul dalam kategori ini.

Pertandingan mencipta dan melancarkan roket air, menobatkan adik Sainuddin Mantedan dari tingkatan 4 Sains 1 memenangi kategori ini apabila roket ciptaannya melonjak setinggi 35 meter ke udara. Kumpulan 5 Sains 1 pula memenangi kategori roket air paling kemas.

Pengusaha Taman Buaya Tuaran turut memeriahkan karnival ini apabila menyediakan pameran yang menarik berkaitan habitat buaya.

Seramai 1600 orang pelajar mengunjungi karnival berkenaan. Turut hadir pelajar dari SM St. James Tenghilan, SMK Tamparuli dan SMK Sri Nangka, Tuaran.

Utusan Borneo. 02.05.2013. Hal. A15

Isnin, 22 April 2013

ANUGERAH CEMERLANG KINABALU 2012

PELAJAR CEMERLANG DIRAI

Tuaran : Seramai 30 orang pelajar cemerlang SMK Badin bersama ibubapa masing-masing diraikan dalam satu majlis khas di sini kelmarin.

Majlis yang dikenali sebagai Majlis Anugerah Gemilang Kinabalu 2012 diadakan sebagai penghargaan dari pihak sekolah kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam dan kurikulum pada tahun 2012.

Seramai 17 orang calon PMR 2012 menerima sijil dan cenderamata dari pengerusi PIBG SMK Badin iaitu Tuan Haji Noorzain Hj. Tawi. Senarai penerima anugerah diketuai oleh adik Mohd. Faiz Mahmud yang mendapat 9A. Lima orang memperolehi 8A yang terdiri dari Mardhiatul Izzaty Mahmood, Noor Aisyah Salim, Noriswarah Karmin, Nurhazirah Noralim dan Umairah Balqis Adawiyah Zainuddin.

Turut menerima anugerah Mohammed Izzat Omar Salim, Nur Millatina Fasha Roslan Radzi Siamit, Nuri Aqilah Awang, Juliheni Yohanes, Azizul Aiman Manap.

Seorang pelajar Pendidikan Khas bermasalah penglihatan adik Nordiah Marikan turut menerima anugerah apabila Berjaya memperolehi 6A, 1B, 1D dalam PMR 2012
Penerima anugerah lain, Muhammad Haziq Ishak, Sainuddin Mantedan, Mohd. Dzulfitri Matin dan Mohd. Faiz Farizan Saidin.

Lima orang calon SPM 2012 turut menerima anugerah. Mereka terdiri dari Hizratul Edora Mokhtar 8A. Peneima lain Mohd. Faez Hadi, Dzulfadhlie Wasli, Yani Athira Saidur dan Nur Fadzilah Patrick.

Seramai enam orang calon STPM 2012 yang terdiri daro Ramlah Sarika, Sawati Uttu Diki, Era Erna Umar Mayah, Azai Lazimin, Lorannie Mahalingam dan Harizah Khalid Yunus turut menerima anugerah gemilang kinabalu atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan STPM 2012.

Dua orang pelajar, adik Bennie Irwan dan Amizah Amir turut menerima anugerah atas pencapaian cemerlang mereka dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tahun 2012.

Tidak ketinggalan seramai 21 orang guru yang melaksanakan kajian tindakan dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran turut menerima pengiktirafan dalam majlis berkenaan.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong menjelaskan bahawa kejayaan pelajar-pelajar berkenaan adalah atas usaha bersama antara pihak sekolah, PIBG, guru-guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

“Selain belajar dengan tekun pada sesi pembelajaran biasa waktu siang, dengan kerjasama semua pihak pembelajaran waktu malam turut dilaksanakan atas persetujuan bersama” kata Lim.

“Ketekunan pelajar, bimbingan guru dan kerjasama ibubapa telah memainkan peranan penting hingga keputusan peperiksaan awam SMK Badin menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun lalu” kata beliau lagi.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi PIBG SMK badin, Tuan Haji Norzain Hj. Tawi

Utusan Borneo. 22 April 2013.Hal. B4


Isnin, 15 April 2013

PERKHEMAHAN KADET POLIS 2013






Tajuk: Kokurikulum Landasan Membentuk Peribadi Pelajar

Tuaran: Aktiviti kokurikulum seperti perkhemhan unit beruniform adalah landasan untuk membentuk peribadi dan sosial pelajar. Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat negeri Sabah di Kem Malangang Kiulu, Tuaran hari ini.

Melalui kegiatan kokurikulum seperti perkhemahan , nilai-nilai murni, disiplin dan ketaatan kepada sekolah, persatuan dan negara dapat dipupuk tambah beliau lagi.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran Puan Tah Nia Hj. Jaman yang mewakili Pengarah Pelajaran Sabah menegaskan bahawa aktiviti perkhemahan Kor Kadet Polis merupakan perkongsian pintar antara Jabatan Pelajaran dan PDRM dalam membentuk generasi yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial selaras dengan kehendak dalam sistem pendidikan di negara ini.

Sebanyak enam zon yang melibatkan 186 anggota Kor Kadet Polis menyertai perkhemahan yang berlangsung selama lima hari empat malam di Tapak Perkhemahan Malangang, Kiulu Tuaran.

Zon Barat mengekalkan pencapaian apabila muncul sebagai johan untuk tahun kedua berturut-turut.

Sarjan platun terbaik disandang oleh Aldy Alexius dari zon Sandakan.

Turut hadir Pengetua SMK Sri Nangka dan SMK Tun Fuad Stephens, Wakil Pengetua SMK Badin, Ketua Polis Daerah Tuaran, Sandakan, Papar, Kota Belud dan Kudat.


Daily Express, 15.4.2013. Pg.5
Utusan Borneo. 16.4.2013. Hal.B8

Jumaat, 5 April 2013

PIBG SUMBANG RM 2500




PIBG SMK BADIN SUMBANG RM 2500 KEPADA TABUNG LAHAD DATU

Tuaran : Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Badin menyumbang RM 2500 kepada Tabung Wira Lahad Datu bagi mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan pejuang negara yang terlibat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Badin Awang Bungsu Ag.Matiasin menyampaikan sumbangan tersebut kepada Inspektor Nares Kumar dari IPD Tuaran yang mewakili PDRM dalam satu majlis ringkas di sini, kelmarin.

Awang Bungsu berharap sumbangan tersebut mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para pejuang negara dan mangsa yang terjejas ketika operasi tersebut berlangsung.

Turut hadir ahli majlis perancangan dan tindakan sekolah.



TAJUK : JADIKAN KECEMERLANGAN PENDIDIKAN AGENDA UTAMA SEKOLAH

Tuaran : PIBG dan pentadbiran sekolah perlu sentiasa bekerjasama dan menjadikan kecemerlangan pendidikan sebagai agenda utama . Demikian kata YB Datuk Haji Hajiji Hj Noor , Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah semasa menyampaikan ucap utama dalam Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung PIBG SMK Badin di sini kelmarin.
Beliau turut menggesa kedua-dua pihak memberi tumpuan untuk mencapai visi dan misi yang digariskan iaitu “ SMK Badin Cemerlang Menjelang 2014”. Dalam masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada pengurusan sekolah dan PIBG serta ibu bapa dan murid-murid kerana telah berjaya memastikan pencapaian akademik SMK Badin dalam peperiksaan awam iaitu PMR, SPM dan STPM terus meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Terdahulu dalam majis yang sama Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong memaklumkan bahawa sebanyak 14 program khusus dirangka oleh pihak sekolah dengan kerjasama PIBG bagi memastikan pencapaian SMK Badin terus meningkat. Antara program tersebut ialah “Kelas Malam” khusus untuk kelas-kelas peperiksaan yang turut mendapat sokongan positif dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid.

Selain Mesyuarat Agung PIBG, dua program lain iaitu Penyerahan Bantuan BRIM khusus untuk pelajar pendidikan khas dan Penyerahan Laporan Kemajuan Pelajar-pelajar tingkatan tiga, lima dan enam turut dilaksanakan.

Ahli yang hadir dalam Mesyuarat Agung membuat keputusan untuk mengekalkan AJK lama untuk terus menerajui kepimpinan PIBG SMK Badin untuk satu penggal lagi yang diketuai oleh Tuan Haji Norzain Hj Tawi sebagai Yang Dipertua. Encik Awang Bungsu Ag. Matiasin sebagai Timbalan Yang Dipertua manakala Puan Aini Sidek sebagai Setiausaha.
Seramai 606 orang ibu bapa hadir dalam mesyuarat tersebut.


Selasa, 19 Februari 2013

AKADEMIK CEMERLANG MAMPU BAWA PERUBAHAN



AKADEMIK CEMERLANG MAMPU BAWA PERUBAHAN


Tuaran : Pelajar harus belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah taraf hidup keluarga, kata Pengerusi PIBG SMK Badin, Tuan Haji Noorzain Hj. Tawi ketika merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang SMK Badin di sini kelmarin.

Hanya melalui kecemerlangan akademik pelajar-pelajar mampu membawa perubahan kehidupan keluarga masing-masing ke tahap yang lebih baik, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyeru semua ibubapa agar memberi kerjasama kepada pihak sekolah dengan berganding bahu melonjakkan pencapaian akademik para pelajar di sekolah ini.

Beliau percaya dengan kerjasama yang jitu pencapaian akademik pelajar akan melonjak ke tahap yang semua pihak inginkan.

Beliau turut mengingatkan semua pelajar agar mengambil kesempatan yang terhidang dengan tidak mensia-siakan usaha pihak sekolah yang menjalankan pelbagai aktiviti kecemerlangan akademik .

Seramai 75 orang pelajar dari tingakatan satu, dua,empat dan enam rendah menerima sijil dan piala masing-masing menerusi pencapaian mereka dalam peperiksaan akhir tahun 2012.

Turut hadir AJK PIBG SMK Badin, guru-guru serta 1780 orang pelajar.

Harian Express, 19 Feb. 2013. Hal.6