Teluk Marudu

Teluk Marudu

Jumaat, 27 April 2012

PDRM,JABATAN PELAJARAN BEKERJASAMA BENTUK MODAL INSAN

Kota Belud: Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pelajaran Sabah saling bekerjasama membentuk modal insan dengan menggiatkan hubungan, saling berinteraksi, bersama menanamkan semangat patriotik khususnya dalam kalangan anggota kadet polis supaya menjadi ‘role model’ kepada masyarakat khususnya remaja.

Demikian kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamzah Taib ketika merasmikan majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat negeri Sabah di Padang SK Tambulion, Kota Belud kelmarin.

Beliau turut menyeru semua anggota Kor Kadet Polis supaya menjadi mata dan telinga PDRM dalam membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat melalui Rakan Cop atau melalui pegawai atau anggota PDRM di daerah masing-masing.

Seramai 275 anggota Kor kadet Polis dari enam zon terlibat dalam perkhemahan tahunan peringkat negeri Sabah pasukan berkenaan.

Zon Barat yang menggabungkan Tuaran, Ranau, Penampang dan Kota Kinabalu muncul sebagai johan keseluruhan dengan memenangi acara menembak , ronda pandu arah, mara lasak dan acara kebudayaan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Sarjan Kadet terbaik dimenangi oleh Sarjan Kadet Mahrup Nurjimar dari SMK Badin, Tuaran. Kategori wanita dimenangi oleh Sarjan Kadet Suhana Fung dari SM Stella Maris, Kota Kinabalu. Kedua-duanya mewakili zon Barat. Acara kawad kaki lelaki dimenangi oleh pasukan zon Sandakan manakala zon memenangi acara kawad kaki perempuan.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Hj. Yusin, Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah, SAC II Datuk Syed Ahmad Syed Hassan,Ketua Polis Daerah Kota Belud DSP Mohan A/L. Nadesan serta Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud Abd. Bakhrin Mohd. Yusof

Utusan Borneo. 28.4.2012. Hal.B6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan