Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 17 November 2011

KADET POLIS SMK BADIN LAWAT PGA BRIGED SABAH

TAJUK: KADET POLIS SMK BADIN LAWAT PGA BRIGED SABAH.

Papar : Seramai 22 orang anggota dan tiga pegawai Kor Kadet Polis SMK Badin, Tuaran melakukan lawatan sambil belajar ke Formasi Pasukan Gerakan Am di sini pada Khamis. Lawatan ke formasi polis merupakan antara program tahunan yang dirancang untuk memberi pendedahan kepada anggota kor kadet polis untuk mengenali dengan lebih mendalam kemudahan-kemudahan yang dimiliki oleh Kontinjen Polis Sabah kelmarin.

Ketibaan anggota Kor Kadet Polis SMK Badin disambut oleh ASP Salim serta anggota Pasukan Gerakan AM briged Sabah dan anggota PGA batalion 16 di formasi PGA Briged Sabah, Kinarut, Papar.

Anggota Kor Kadet SMK Badin diberi taklimat berkaitan sejarah awal penubuhan Pasukan Gerakan Am serta peranan pasukan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia yang disampaikan oleh Cif Inspektor Shaifulnizam Mohd. Din.

Shaifulnizam menggesa semua anggota kadet mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan menghargai serta memanfaatkan peluang menganggotai pasukan kadet polis sepenuhnya.

Anggota Kadet turut berpeluang melawat pameran peralatan perkhemahan, senjata serta peralatan komunikasi yang disediakan khusus untuk program ini.

Beberapa orang anggota kadet turut berpeluang menggunakan peralatan komunikasi pasukan polis.


Sumber : Utusan Borneo, 15 Nov. 2011



Isnin, 7 November 2011

CATATAN DI AIDIL ADHA


CATATAN DI AIDIL ADHA.

Selepas menunaikan Solat Sunat Aidil Adha, bergegas pulang ke kampung menjenguk sanak-saudara di sana. Kebiasaannya sanak-saudara khususnya yang bertugas di daerah lain akan mengambil kesempatan untuk bertemu sanak- saudara. Sejak dahulu, sudah menjadi kebiasaan kami tempat berkumpul di rumah Mak Long. Namun masa berlalu Mak Long yang berusia 82 tahun tidak lagi segagah dahulu melayani kami. Jadi peranan itu diambil alih oleh anak sulung beliau, Hj. Ahmat Ali.

Sambutan Aidil Adha dilaksanakan serba sederhana. Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan doa selamat kemudian diakhiri dengan jamuan makan. Kesempatan berjumpa sanak-saudara ternyata amat bermakna. Kegembiraan terpancar diwajah semua yang hadir dan diiringi oleh gelak ketawa lahir dari senda gurau sanak-saudara.

Namun ada cerita yang menarik perhatian kami. Menurut Hj. Ahmat Ali, kejadian mencuri getah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Harga getah yang mencecah RM 7 ke RM 8 ringgit sekilogram menjadikan komoditi itu menjadi sasaran pencuri. Bukan sahaja susu getah yang dicuri, malahan getah skrap, kentalan serta getah kepingan yang disimpan dalam stor turut menjadi sasaran pencuri.
Pencuri dengan mudah mengesan kedudukan getah berkenaan apatah lagi getah sememangnya mempunyai bau tersendiri yang memudahkan pencuri mengenalpasti lokasinya.

Cerita tentang getah tidak berkisar berkaitan bab pencuri sahaja tetapi turut menjalar ke topik berkaitan peluang keemasan untuk menjana pendapatan yang lebih. Hj Zainal menegaskan betapa mereka yang mempunyai kebun getah pasti memperolehi pendapatan tambahan hasil kenaikan harga getah yang berlipat ganda.

Namun menurut Hj Ahmat Ali, kakitangan kerajaan yang mempunyai kebun getah terpaksa berkongsi hasil jualan getah dengan pekerjanya. Ini kerana amalan dalam kalangan pemilik kebun sekarang ialah membahagikan pendapatan jualan getah secara sama rata, atau 50 – 50.

Hj Zainal kurang bersetuju dengan anggapan Hj Ahmat Ali kerana menurutnya ada juga pekerja yang tidak jujur. Pekerja yang menoreh pada waktu siang, hasil torehannya dapat dipantau oleh pemilik kebun tetapi ada juga pekerja yang menoreh pada awal malam kemudian memungut hasil dalam bentuk kentalan atau skrap. Menurut Hj Zainal kerakusan pekerja untuk memerah susu getah secara maksimum menyebabkan pokok getah menjadi stress dan memberi kesan jangka masa panjang pada pokok getah juga kepada pemilik.

Beliau turut menambah bahawa sepatutnya pokok-pokok getah diurus secara optimum untuk menjana penapatan yang lebih dan bukannya dikerah secara maksimum untuk mengeluarkan susu getah.
Nampaknya pokok getah turut menjadi korban dek kerakusan manusia.