Teluk Marudu

Teluk Marudu

Jumaat, 10 Jun 2011

KOPERASI SMK KIDURONG LAWAT SMK BADIN

KOPERASI SMK KIDURONG LAWAT SMK BADIN

Tuaran : Ahli Jawatankuasa Koperasi SMK Kidurong, Bintulu, Sarawak yang terdiri dari 13 orang murid dan enam orang guru melakukan lawatan sambil belajar ke SMK Badin,Tuaran, kelmarin.

Lawatan tersebut bertujuan mempelajari dan menimba pengalaman Koperasi SMK Badin yang aktif dalam aktiviti koperasi pelancongan untuk dikongsi bersama dengan ahli-ahli koperasi SMK Kidurong yang turut berminat menceburi bidang berkenaan.

“Kami berminat menceburi bidang koperasi pelancongan dan mendapati Koperasi SMK Badin merupakan antara sekolah yang terkehadapan dalam bidang ini”, kata ketua rombongan SMK Kidurong, Puan Wan Juliana Wan Mohd. Zain.

“Kami berminat mendalami selok-belok pengurusan, penglibatan murid serta pembahagian masa berkesan antara tugas sebagai guru atau murid dan penglibatan dalam pengurusan perniagaan pelancongan”, kata Wan Juliana lagi.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Penyelaras Koperasi Pelancongn SMK Badin Puan Mazian Mohammad menyatakan bahawa SMK Badin telah terlibat dalam bidang ini sejak 2008 dan mendapati bidang ini memberikan pulangan yang menguntungkan koperasi serta dapat melatih ahli-ahlinya mendalami selok-belok perniagaan pelancongan.

Koperasi Pelancongan SMK Badin menawarkan layanan bertaraf tiga bintang atau mana-mana yang bersesuaian dengan kemampuan pelanggan, kata Mazian.

Beliau juga menasihatkan koperasi yang ingin menceburi bidang ini supaya sentiasa berhubung dengan pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) untuk mendapatkan khidmat nasihat dan latihan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Badin, Puan Noryusni Mohd Yusof dan Penolong Kanan Tingkatan Enam, Mohd. Hanafi Awg. Radin turut hadir dalam majlis tersebut.

Oleh : Hanafiah Mzulkifly
Sumber: Utusan Borneo 11 Jun 2011



Tiada ulasan:

Catat Ulasan