Teluk Marudu

Teluk Marudu

Rabu, 18 Mei 2011

GURU PERLU SENTIASA SIAP SIAGA

TAJUK : GURU PERLU SENTIASA SIAP SIAGA

Tuaran : Guru perlu bersedia menjadi penjana transformasi pendidikan negara kata Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong. Berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru peringkat SMK Badin, kelmarin,
beliau berkata perkembangan pesat teknologi komunikasi dan internet (ICT) menuntut guru-guru sentiasa dalam keadaan siap siaga menerima arus perubahan tersebut seterusnya mengadaptasi perubahan-perubahan itu dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya selaras dengan tuntutan semasa, kata Lim.

“Guru-guru tidak boleh kekal ditakuk lama dalam melaksanakan tugasan bilik darjah. Kaedah ‘chalk and talk’ perlu ditambah nilai dengan penggunaan peralatan ICT supaya selaras dengan budaya pengajaran dan pembelajaran terkini”. Kata Lim lagi.

Guru-guru yang menghadapi masalah terutama yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran perlu tampil ke hadapan bersemuka dengan pihak pentadbiran supaya masalah yang dihadapi dapat diatasi manakala murid-murid dapat dielakkan dari menjadi mangsa keadaan, Lim menegaskan.

Beliau turut menyeru guru-guru supaya sentiasa menghayati dan mengamalkan Etika Keguruan supaya tidak tersasar dari landasan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Penolong Kanan Petang Encik Malik Ben menyampaikan perutusan khas dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Hari Guru peringkat SMK Badin seperti pertandingan bolasepak, bola jarring, bola tampar dan sukaneka. Pemenang program Badin Big Talent turut memeriahkan majlis dengan persembahan nyanyian.

Majlis sambutan Hari Guru dijayakan bersama oleh Badan Pengawas dan Persatuan Tingkatan Enam SMK Badin dengan Kelab Warga Pendidik bertindak sebagai penyelaras utama. Seramai 2000 orang pelajar dan 140 orang guru termasuk kakitangan bukan mengajar hadir memeriahkan majlis.

Sumber : Utusan Borneo, 18 Mei 2011. Hal. B4




Tiada ulasan:

Catat Ulasan