Teluk Marudu

Teluk Marudu

Selasa, 31 Mei 2011

BELUM SIAP




BELUM SIAP

Aku belum siap menyirat atap
jahitnya terserak sulamnya tersingkap
aku belum siap mengecat dinding
coraknya malap lusuh dan kering.

Aku belum siap memacak tiang
tegaknya ranap dimamah usang
aku belum siap mencantum lantai
lekapnya meratap diumpil badai

Aku belum siap memasang tingkap
dingin mendakap nafas ku kedap
aku belum siap menjunjung harap
langkah ku gagap tekad ku malap

Bila tiang berdiri tegap rumah ku pasti siap
niat pasti ku singkap, harap pasti ku garap
selangkah sederap menjunjung segala harap
manisnya kita dakap.


HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU

Daily Express
29 Mei 2011is 2011
04 D

MUSAFIR DI GURUN TAKDIR

MUSAFIR DI GURUN TAKDIR

Duhai kasih
takala ku kirim wahyu rindu
kala mimpi bertamu
kau dielus keliru
dalam desir waktu
kerana jemari kasih ku
hanya lembar rapuh
bukan berlian bermutu
dibalut restu.

Akupun menangis
tanpa nota lagu
kau juga keliru
sebak dan pilu
lalu kita pilih
jalan sendiri
merungkai misteri
dalam remang mimpi
cinta yang tak pasti.

Aku pasrah dan pasti
sebuah ketentuan Ilahi
biarlah misteri kasih
kita abadikan dalam ilusi

Pedihpun berdesir
lalu kita rebah
dibuai getir
derita yang terukir
bercambah bak butir pasir
deras mengalir
bunga-bunga cinta
hanyut tersingkir
musafir
di gurun takdir

HANAFIAH MZ
SULAMAN

New Sabah Times
29 Mei 2011

Khamis, 26 Mei 2011

SELOKA PEDOMAN HIDUP

Apa perlunya seperti ayam
Bertelur sebiji riuh sekampung
Lebih elok katak yang diam
Senyap sunyi di bawah tempurung.

Apa perlunya seperti murai
Tercabut ekor bising mengilai
Molek rasanya seperti padi
Makin tunduk makin menjadi.

Berlagak bagai si ayam jantan
Dalam kampung mendabik dada
Masuk bandar hilang pedoman
Bagai rusa masuk kota .

Bijak bersyarah bertalu-talu
Mendabik dada semahu-mahu
Cerita kosong tak kenal malu
Bagai tin kosong dipalu

Cerdik tak boleh tumpang
Bodoh tak boleh diajar
Pekung jangan dicanang
Busuk jangan disebar

Pintar Pandir kampung tergadai
Pintar Mat Jenin jatuh tersadai
Walau hidup diamuk badai
Menimba ilmu jangan diabai

Buah tak jatuh jangan ditunggu
Setia pungguk jangan ditiru
Senang kemudian, berusahalah dahulu
Rajin usaha negara maju

Sehari selembar benang
Lama-lama menjadi kain
Rajin usaha membanting tulang
Nikmat diraih dihari lain

Menanam tebu di tepi bibir
Habis manis sepah dibuang
Hidup tersepit bersulam getir
Rajin berusaha akhirnya senang.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

Isnin, 23 Mei 2011

JOSEPHSTANIS, AMIE KEKALKAN KEJUARAAN ACARA MENEMBAK

TAJUK : JOSEPHSTANIS, AMIE KEKALKAN KEJUARAAN ACARA MENEMBAK

Sipitang : Kopral kadet Josephstanis Gabriel dan Sarjan Kadet (w) Amie Gabra mengekalkan penguasaan empat tahun berturut-turut dalam acara menembak menggunakan senjata M16 dalam latihan menembak anggota Kor Kadet Polis SMK Badin di Lapang Sasar PDRM, Sipitang kelmarin.

Kopral Kadet Josephstanis berjaya memperoleh 66 mata meninggalkan Konstabal Kadet Dickzul dengan 43 mata ditempat kedua manakala Konstabal Kadet Nazrul mendapat 28 mata ditempat ketiga.

Bagi kategori wanita Sarjan Kadet (w) Amie Gabra berjaya memperoleh 41 mata ditempat pertama. Konstabal Kadet Sharifah Norfarahin Roslan ditempat kedua dengan 39 mata manakala Konstabal Kadet Effaliza mendapat tempat ketiga dengan 34 mata.

Seramai 88 orang anggota Kor Kadet Polis, Tuaran terlibat dalam latihan menembak pada Sabtu menggunakan senjata M16 yang merupakan acara tahunan pasukan berkenaan.

Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan oleh Pegawai Lapang Sasar, Inspektor V. Nares.

Sumber : Utusan Borneo, 23 Mei 2011. Hal.B2




Rabu, 18 Mei 2011

GURU PERLU SENTIASA SIAP SIAGA

TAJUK : GURU PERLU SENTIASA SIAP SIAGA

Tuaran : Guru perlu bersedia menjadi penjana transformasi pendidikan negara kata Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong. Berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru peringkat SMK Badin, kelmarin,
beliau berkata perkembangan pesat teknologi komunikasi dan internet (ICT) menuntut guru-guru sentiasa dalam keadaan siap siaga menerima arus perubahan tersebut seterusnya mengadaptasi perubahan-perubahan itu dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya selaras dengan tuntutan semasa, kata Lim.

“Guru-guru tidak boleh kekal ditakuk lama dalam melaksanakan tugasan bilik darjah. Kaedah ‘chalk and talk’ perlu ditambah nilai dengan penggunaan peralatan ICT supaya selaras dengan budaya pengajaran dan pembelajaran terkini”. Kata Lim lagi.

Guru-guru yang menghadapi masalah terutama yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran perlu tampil ke hadapan bersemuka dengan pihak pentadbiran supaya masalah yang dihadapi dapat diatasi manakala murid-murid dapat dielakkan dari menjadi mangsa keadaan, Lim menegaskan.

Beliau turut menyeru guru-guru supaya sentiasa menghayati dan mengamalkan Etika Keguruan supaya tidak tersasar dari landasan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Penolong Kanan Petang Encik Malik Ben menyampaikan perutusan khas dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Hari Guru peringkat SMK Badin seperti pertandingan bolasepak, bola jarring, bola tampar dan sukaneka. Pemenang program Badin Big Talent turut memeriahkan majlis dengan persembahan nyanyian.

Majlis sambutan Hari Guru dijayakan bersama oleh Badan Pengawas dan Persatuan Tingkatan Enam SMK Badin dengan Kelab Warga Pendidik bertindak sebagai penyelaras utama. Seramai 2000 orang pelajar dan 140 orang guru termasuk kakitangan bukan mengajar hadir memeriahkan majlis.

Sumber : Utusan Borneo, 18 Mei 2011. Hal. B4




Isnin, 16 Mei 2011

LILIN MEMBAKAR DIRI

LILIN MEMBAKAR DIRI
(Buat semua insan bergelar guru)

Tika kelibat neon menerangi laluan
anak-anak kota alpa kegembiraan
anak di desa terpegun kehairanan
lilin setia mula dilupa-lupakan
dicampak jauh dari sumur kehidupan
diperkotak-katik sebagai arkitek kemanusiaan
terpinggir sendirian di gubuk penghinaan
berteman sunyi berpanjangan.

Ketika bahtera nusa tersesat arah haluan
kemudi patah terlepas dari buritan
perut terburai oleh tusuk persengketaan
layar terkoyak dibadai racun permusuhan
lalu nakhoda kehilangan kompas kekuasaan
dirampas oleh amuk lanun perpecahan
engkau dipanggil menyulam koyak perpaduan
engkau diseru mencanang seruan persahabatan
engkau dirayu mengubati luka perpecahan
engkau dituntut menyebar salam persaudaraan
kerana mereka tahu
engkau kental menyahut cabaran
ke mana pun engkau patuh arahan
ke pulau, juga di rimba pedalaman
jejak kehidupan engkau corakkan
dengan warna-warni senyum kejayaan
hingga terpancar cahaya berkilauan
di wajah masyarakat yang kau tinggalkan
sedang engkau masih bergelumang perit kesakitan
membakar diri menerangi kehidupan
insan-insan yang dahaga kesempurnaan..

Hari ini
mereka canang mahkota pengiktirafan
pentauliahan atas tiap pengorbanan
yang kau curah atas nama kesempurnaan
untuk sebuah kehidupan yang mapan
namun, itu semua bukanlah jawapan
untuk menghilangkan parut kepayahan
yang kau lalui sepanjang jalan perjuangan
untuk menobat pembangunan tiap insan

Aku tahu apa yang kau impikan
kemenjadian insan di laman kehidupan.

HANAFIAH MZ
SULAMAN
16 Mei 2011






Ahad, 8 Mei 2011

NURASHIKIN JUARA BADIN GOT TALENT






Tuaran : Mempertaruhkan lagu Tak Ada Logika dan Hurt, Nurashikin Meddin berjaya menggondol hadiah utama dalam program ‘Badin Got Talent’ di dataran perhimpunan SMK Badin, kelmarin.

Walaupun tidak mempunyai kemantapan vokal dan kawalan suara yang hebat seperti Agnes Monica dan Christine Aguilera namun persembahan hebatnya cukup untuk menggamit hati juri professional dan juri awam untuk menobatkannya sebagai juara program Badin Got Talent siri pertama.

Pelajar tingkatan dua iaitu dua anak muda, Datu Kamarul dan Hakimi membawa sedikit kelainan dalam persembahan dengan mengetengahkan ‘Beat Box’ aliran baru dalam genre persembahan masa kini berjaya menggondol tempat kedua.

Nurul Sabrina Ghazali pula berjaya menggondol tempat ketiga dengan lagu Lagenda dan kalis Rindu. Walaupun mendapat pujian juri professional namun itu tidak cukup untuk mengangkat peserta bernombor tiga ini menggapai harapan sebagai juara.

Seramai lima orang peserta individu dan dua peserta berkumpulan berjaya memasuki peringkat akhir program Badin Got Talent. Dua orang peserta individu merupakan pelajar istimewa bermasalah penglihatan. Program ini menyerupai konsep Akademi Fantasia namun markah juri professional mewakili 75 peratus, manakala markah juri awam pula 25 peratus sahaja.

Menariknya, walaupun hanya sebuah program kecil dan dilaksanakan dalam lingkungan sekolah sahaja, program ini berjaya mendapat sambutan pelajar dan ibubapa. Malahan juri professional yang terdiri dari Zurain, penulis lirik era 80an, Dr. Ramzah Dambul ( Rem Dambul) Timbalan Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Sharifah Thani penggiat teater dan Ony Latifah Osman, penggiat sastera Sabah turut memberikan sumbangan secara sukarela.

Terdahulu Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong menyatakan bahawa program ‘Badin Got Talent’ berkonsepkan program realiti TV, Akademi Fantasia merupakan usaha pihak sekolah untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelajar-pelajar SMK Badin disamping membentuk ketrampilan diri yang positif.

Sumber : Utusan Borneo, 08/05/2011, hal/B14

Ahad, 1 Mei 2011

KELUARGA DERUS UNGGULI BADIN BIG RUN

TAJUK : KELUARGA DERUS UNGGULI ‘BADIN BIG RUN’

Tuaran : Badin ‘Big Run’ mendapat sambutan meriah oleh masyarakat daerah Tuaran yang dijalankan pada pagi Sabtu. Lebih kurang 1000 orang peserta yang terdiri daripada pelajar SMK Badin, pelajar dari sekolah menengah dan rendah sekitar Tuaran serta ibubapa dan masyarakat setempat mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam acara tersebut. Bagi kategori sekolah menengah (Lelaki ) johan disandang oleh Nasaruddin Derus dari SMK Badin. Adik Danisius dan Ervin Asnol dari SMK Tun Fuad mendapat tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori perempuan, tempat pertama,kedua dan ketiga digondol oleh peserta Tun Fuad yang terdiri dari Jecklyna Johny, Flora Gibon dan Stnelly.

Acara terbuka lelaki diungguli oleh Amiruddin Derus. Tempat kedua disandang oleh Azmi Masituh dan Mohd. Fariduddin memenangi tempat ketiga. Terbuka perempuan dimenangi oleh Celemente Janesa, kedua Jecklyn Yasang manakala Hasnah Hakim memenangi tempat ketiga.

Abdul Rahman Tanau pula menang tempat pertama bagi kategori veteran. Tempat kedua dimenangi oleh Amrin manakala tempat ketiga dimenangi oleh Zurin Usol Ghafli. Bagi kategori veteran wanita, tempat pertama diungguli oleh Noraya Kassim, Nuridah Shafie kedua manakalaJunaidah Timbun tempat ketiga.

Kategori sekolah rendah perempuan dimenangi oleh Nurulhafizah Derus (SK Kindu), tempat kedua Husnul Fatimah (SK. St. John) dan ketiga adik Natasha. Adik Izul Kamsah Roslan dari SK Pekan Tuaran menjuarai kategori lelaki sekolah rendah. Tempat kedua adik Mohd. Asri Yusri manakala tempat ketiga adik Mohd. Sazdid dari SK Kauluan.

Keluarga Derus dari Kampung Kindu mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori Lelaki Terbuka, kategori Lelaki sekolah menengah, kategori Perempuan sekolah rendah dan kategori veteren wanita.

Sumber : Utusan Borneo 01 Mei 2011







INOVASI MAMPU TINGKAT MUTU PENGAJARAN






TAJUK : INOVASI MAMPU TINGKATKAN MUTU PENGAJARAN

Tuaran : Inovasi dalam pendidikan perlu diaplikasi dalam bilik darjah supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kata Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong ketika diminta mengulas perlaksanaan aktiviti Karnival Pendidikan dan Kerjaya SMK Badin, di sini kelmarin.

Sambil menyifatkan perlaksanaan aktiviti tersebut sebagai berjaya serta dapat menyerlahkan kemampuan guru dan pelajar menghasilkan inovasi dan transformasi pendidikan dengan mengemukakan pelbagai bahan bantu mengajar yang menarik perhatian para pengunjung pameran.

Menurut Lim lagi, beberapa bahan yang dihasilkan amat menarik dan mengarahkan panitia berkenaan mendokumentasikan inovasi tersebut untuk tujuan penambahbaikan sebelum dikemukakan ke pihak atasan untuk penilaian selanjutnya.

Sebanyak 27 gerai pameran termasuk wakil dari Politeknik Kota Kinabalu dan Kolej Kejururawatan Masterskill mengambil bahagian dalam pameran mendapat sambutan diluar jangkaan oleh pengunjung yang terdiri dari pelajar-pelajar SMK Badin, ibubapa serta pelajar-pelajar sekolah rendah sekitar Tuaran.