Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 24 Februari 2011

PUISI - CINTA DARJAH SATU

CINTA DARJAH SATU

Mengalir rindu di penjuru mata
lihat senyum ranum menyala
mengalir rindu berbisik cinta
hati meronta rindu membara.

Bagaimana hendak ku mula
bagaimana hendak ku nyata
perdu cinta ku yang menyala
bergema di buana dada
gelombang membadai rasa
resah, mahabah bersengketa
tak terungkap kata
tak lena semalaman
kenyang berpanjangan.

Hendak ku utus warkah
baru mengenal nokhta,
hendak ku rangkai madah
baru mengenal alif, ba, ta…

Ah…..
biar ku bubuh bedak asmara
pada kertas putih cinta
aroma cakrawala
lalu ku lipat penuh beradat
di penjuru yang empat
ku tiup kata makrifat
kemas,
walau tiada bersifat
tiada madah terpahat
makrifat kasih ku tersemat
kasihnya ku tambat
ku ikat
rapat.

Kunpayakun.

HANAFIAH MZ
SULAMAN
23 FEB. 2011




Isnin, 21 Februari 2011

PUISI- TAK KUNJUNG DAMAI


TAK KUNJUNG DAMAI

Tak akan runtuh gunung itu
wahai anjing
walau salak mu bertalu
bingit berdesing.

Tak akan jatuh musuh mu,
wahai anjing
kerana mahligai itu
di atas tiang ampuh
rumah utuh
keramat si kucing.

Tapi
aku kadang keliru
engkau lupa asal mu
haiwan terpelihara,
kelas dunia
di medan perang
engkau ternama
penjejak, pengintip utama
berjuang untuk negara
sedang si kucing
hanya tidur lena
di bantal selesa.

Tahukah engkau wahai anjing
tikus kadang tewaskan kucing
walau kecil,
akal ligat berpusing
menyusup dimalam hening
dari ranting ke ranting
tak tidur walau sepicing
tidak bising-bising
meniti gelegar,
di bawah tikar
mahligai diselongkar
sedang kucing
berdengkur,
berselimut gebar lena.

Tahukah engkau wahai anjing
anai-anai yang kecil
buat tiang musykil,
mahligai pasti menggigil
saat itu
kucing pasti tersingkir
jatuh ke bumi
dan engkau pasti mahu
melakukan
larian akhir.

Tak akan runtuh gunung itu
wahai anjing
walau salak mu bertalu
bingit berdesing.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

Sabtu, 12 Februari 2011

BIARKAN KAMI

BIARKAN KAMI

Jika sutera dusta
yang kau pilin
lalu kau biar mengalir
dalam rahim ingin
pasti lahir segumpal janin
yang kau cerakin
dari perca dingin.

Jika mahligai cerca
yang kau agungkan
lalu kau biar bernyawa
dalam bahtera dusta
pasti bercambah sengketa
pesona cinta binasa
tanah air rebah
hilang mahkota bangsa.

Bawalah dalam alir mu
dusta noda berlumpur
jangan simpan walau seteguk
atau sekerat ranting rajuk
mengusik tidur.

Bawalah dalam alir mu
belantara dusta hampa
jangan biar jeragat barah
atau sebutir sampah cerita
merampas janji setia
yang kita letak
di atas singahsana
persaudaraan.

Bawalah dalam alir mu
belulang dusta yang menyiksa
jangan biar koleksi lara
atau sekilas senyuman curiga
mengundang sengsara.

Biar dusta mu banjir di kota
jangan menjadi laut di desa
biar reput belantara dosa
biar noda lupus di muara
biarkan kami memadu cinta
di ranjang hidup bahagia.

HANAFIAH MZ
(New Sabah Times, 13/02/2011)





Ahad, 6 Februari 2011

SAAT MENGHULUR SALAM



SAAT MENGHULUR SALAM

Saat ini
bukan masa membuang pandang
bukan sakit mahu dikenang
bukan dendam mahu ditimang
bukan cemuh perlu dikarang
bukan meroboh jambatan usang.

Saat ini
masa untuk tegakkan azam
tiang muafakat padu ditanam
lantai sepakat baris disulam
dinding kerabat cantik diandam
tangan berjabat erat digenggam.

Saat ini
aman sentosa, tenang dicanang
berat dipikul sama dijulang
ringan dijinjing sama disandang
hasil dituai sama dibilang
rugi dikenang sama dipandang
susah bergunung sama dicincang
musuh datang sama diganyang.

Saat ini
masa untuk tegakkan azam
tiang muafakat padu ditanam
tangan berjabat menghulur salam.

HANAFIAH MZ
TUARAN.

Utusan Borneo
06/02/2011

Selasa, 1 Februari 2011

TEMASYA SUKAN MSS SMK BADIN KE 42, 2011






SUKAN MAMPU LAHIR MASYARAKAT CERGAS

Tuaran, 02 Mac: Sukan mampu lahir masyarakat cergas bagi memenuhi aspirasi negara mencapai wawasan 2020 , kata pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong sempena temasya sukan Majlis Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Badin kali ke 42 di sini kelmarin.

Menurut beliau lagi, pihak sekolah mempunyai tanggung jawab memastikan setiap murid menyertai aktiviti sukan selaras dengan Dasar Sukan Negara yang mewajibkan satu sukan untuk setiap murid.

“Dalam masa yang sama murid-murid haruslah menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam kegiatan sukan, bukan sahaja untuk menjana kesihatan juga untuk memenuhi aspirasi masyarakat dan negara yang mahu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek “, kata beliau lagi.

Dalam majlis yang sama Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Badin, Tuan Haji Norzain Haji Tawi meminta semua pelajar bersungguh-sungguh mengambil peluang yang disediakan oleh pihak sekolah untuk mencapai kecemerlangan yang terbuka luas dalam bidang sukan.

“Pihak ibu bapa akan sentiasa berdiri teguh di belakang menyokong aktiviti-aktiviti sukan dan kokurikulum yang dianjur oleh pihak sekolah demi untuk kebaikan pelajar”, tambah beliau.

Beliau turut memuji usaha bersungguh-sungguh pihak sekolah dalam melaksanakan aktiviti sukan, kokurikulum dan akademik yang memperlihatkan peningkatan yang drastik sejak akhir-akhir ini.

“Kesungguhan pihak sekolah terbukti dengan peningkatan 16 peratus dalam Penilaian Menengah Rendah bagi tahun 2010 lalu. Ini amat membanggakan ibu bapa pelajar SMK Badin. Kami ibu bapa turut mengharap peningkatan dalam bidang-bidang yang lain”, kata beliau lagi.

Dalam temasya sukan ini, rumah sukan Tun Mustapha menjadi johan dengan 212 mata. Naib johan disandang oleh rumah sukan Tun Hamdan dengan 176 mata. Rumah Tun Fuad Stephens menggondol tempat ketiga dengan 140 mata. Rumah sukan Tun Adnan Robert dan Tun Ahmad Rafaie masing-masing menggondol tempat keempat dan kelima.

Acara perbarisan Unit Beruniform diungguli oleh Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (D) dengan 83.8 peratus. Tempat kedua disandang oleh Pasukan Kor Kadet Polis dengan markah 83.4 peratus manakala Pasukan Kadet Bomba memenangi tempat ketiga dengan markah 83.1 peratus.

Bagi kategori Unit Beruniform (NGO), pasukan Pengakap muncul sebagai johan. Naib johan di sandang oleh Pandu Puteri manakala Puteri Islam menduduki tempat ketiga.
Acara perbarisan rumah-rumah sukan menampilkan rumah sukan Tun Fuad Stephens sebagai johan. Tempat kedua disandang oleh rumah Tun Ahmad Rafaie manakala tempat ketiga dimenangi oleh rumah Tun Mustapha.