Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 30 Disember 2010

PIALA MILIK KAMI

PIALA MILIK KAMI

Letusan Merapi
menjulang bebola api
merah putih
menyambut kami.

Gegak gempita
di sana sini
hancur kerusi
lebur jeriji besi
bung karno
bagai tiada erti
direnyuk seperti kami
dipersenda
dianak tiri.

Namun
kami tetap kami
setahun jagung
hingus meleleh
mengerti budi pekerti
bukan amarah menjajah hati
sopan santun tulus budi
musyawarah, satu hati
berpadu sejati
itu kami.

Kalah sekali
piala tetap milik kami.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Isnin, 27 Disember 2010

ABADI

ABADI

Detik ini
telah terhenti kembara mu
di pelabuhan duniawi
bertaut di serambi mimpi
menanti hari abadi
hanya garis-garis takwa
dan luhur budi
membalut diri.

Jejak yang kau tinggalkan
kini tinggal kenangan
senyuman yang pernah terukir
bertaut dari bibir ke bibir
hanya nama mu yang berdiri
untuk kami warisi
jasad bukan lagi milik kami
untuk kami bersandar kasih
hanya dalam ilusi
dapat kami jamah erti
tegak berdiri seorang ayah
daulah yang abadi
yang gagah membela
jati diri kami.

Bersemadilah dengan aman
di alam barzah persinggahan
legasi yang kau tinggalkan
akan kami teruskan
menjamah seberkas harapan
jamak kekeluargaan
erat perpaduan
yang telah kau simpulkan.

Sesekali
jamahlah kami
walau hanya dalam mimpi

HANAFIAH MZ
TANDEK
(New Sabah Times, 28/12/2010)

Sabtu, 25 Disember 2010

Khamis, 23 Disember 2010

DAULAT CINTA KITA

DAULAT CINTA KITA
(New Sabah Times, 21/12/2010)

Jika kau ingat
kita bersama memanjat
tugu percintaan
penat lelah kita semat
sebagai lembar keyakinan
pahit maung kita sirat
menjadi sumbu persefahaman
tawa ria menjadi azimat
penyimpul ikatan.

Jika kau ingat
cincin yang ku semat
di jari manis mu
adalah ketulusan
senyum yang ku tanam
di jantung mu
adalah keikhlasan
tangan mu ku genggam
erat di hati ku
adalah kepastian
taat setia kita pahat
di menara kesetiaan
adalah daulat
sebuah ikatan
yang kita perjuangkan.

Jika kau ingat
lafaz yang kita nobat
masih tersemat
utuh
di tugu keramat
cinta kita.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Isnin, 13 Disember 2010

PUISI - RESAM SEMALU

Resam semalu

Resam semalu
mudah tersentuh
walau selembut bayu
menyentuh, ia tak mahu
sapa dipandang sayu.

Apakah
kita harus begitu
ke depan tersipu malu,
tak mahu
di belakang
kita menggerutu
konon dibiar layu
dibiar rapuh.

Sahabat melangkah maju
sedang kita tertinggal jauh
rumah buluh jalan berdebu
kita biar berdiri utuh
bandar mereka hutan batu
bandar kita duri semalu
kita ditakuk itu.

Kita masih tersipu-sipu
malu-malu
tidak mahu disentuh
tidak mahu merayu
takut terhakis ayu
dan kita terus begitu
seperti semalu
menguncup layu
di hujung sayu
bila disentuh..

HANAFIAH MZ
(New Sabah Times, 14/12/2010)

Ahad, 12 Disember 2010

SELOKA BADIN – JANGAN DILUPA-LUPAKAN

Dato Badin namanya masyhur
Tokoh pejuang zaman berzaman
Daerah Tuaran kaya dan makmur
Sekolah terbilang penuh kecemerlangan.

SMK Badin nama terpahat
Tempat menimba ilmu yang berkat
Murid guru serta kerabat
Kerja dibuat penuh muafakat.

Muridnya ramai melimpah ruah
Kelas penuh sampai ke bawah
Guru mengajar tak pernah lelah
Walau penat tak pernah kisah.

Pagi bermula murid berhimpun
Medan bicara menyampai ilmu
Ucap kata penuh bersantun
Sampaikan pedoman tiada jemu.

Sidang petang tidak ketinggalan
Perhimpunan tenang walaupun hangat
Ilmu dan panduan turut disampaikan
Walau kekadang berperingkat-peringkat.

Waktu belajar pelbagai ragam
Murid mendengar guru bersyarah
Ilmu disampai tak pernah kelam
Murid terima penuh berhemah.

Taman indah dipacu bersama
Hasil tangan semua warga
Bantuan swasta tak pernah diterima
Bila menang terasa bangga .

Pendidikan khas unit rahsia
Mata tak nampak hatinya celik
Sukan dan kokum peringkat Asia
Ha…itu yang kami rasa pelik!

Intergriti amalan kami
Cogan kata terpilih tersemat di hati
Kadet polis gagah sentiasa berani
Peringkat Malaysia selalu disertai.

Kadet bomba pasukan kesukaan
Berkawad mantap siap sedia
Latihan kebakaran tak pernah dilupakan
Nama terukir di dalam media.

Bermulut kepoh tapi tak gopoh
Ketua bidang seakan sepakat
Kerja dipandu tak mungkin roboh
Tugas dijaya hasilnya berkat.

Rumah dibina tiangnya lasak
Kayu terpilih kukuh buatan
Teguh pegangan namanya ‘PASAK’
Misi dicipta jadi panduan.

Langkah dipacu capai kecemerlangan
PASAK dibenam mantapkan pedoman
Cemerlang 2009 jadi sasaran
Hasrat tercapai tanda kejayaan.

Wajahnya manis awan gemawan
Mantan pengetua Tah Nia Jeman
Hatinya keras kekadang rawan
Halus bicara manis senyuman.

Hari berganti tahun berlalu
PASAK utama perlu diganti
Idea dijana bertalu-talu
PASAK disepuh sekeras meranti.

I-PASAK nama diberi
Tanda ICT di hujung jari
Rakyat jelata juga menteri
Semua setuju semua selari.

2014 sasaran baru
Capai kecemerlangan terus diburu
Murid bersungguh termasuk guru
Gembleng tenaga semangat menderu.

Sedang asyik mengorak langkah
Berita diterima semua hibah
Nakhoda kita beralih arah
Memimpin bangsa penentu sejarah.

Tah Nia nama mu diberi
Semerbak harum aroma wangi-wangian
Pergimu biar berseri-seri
Kami di sini jangan dilupa-lupakan…………


HANAFIAH MZ
TUARAN
06/05/2010
9.30PM




Selasa, 7 Disember 2010

PUISI - PASRAH BERSELIMUT RINDU

PASRAH BERSELIMUT RINDU
(dedikasi buat Cikgu NorYusni Mohd. Yusop)

Jauh melangkah melewati waktu
jejak ditinggal teriring restu
jelas di mata arah dituju
benua asing yang dahaga ilmu
serangkai tugas tergalas di bahu.

Lambaian kampung kian menghilang
sekelumit bebayang rindu bergenang
pada kicau reriang berdendang
pada ramah taulan bersembang
pada ayah ibu yang resah bimbang.

Di benua baru
di situ dicurahnya ilmu
pada anak-anak bangsa ku
yang matanya kuncup
mindanya tertutup
di bukanya satu persatu
benih ilmu disemai utuh
hingga bangsaku berdiri teguh
kukuh dipersada waktu.

Sedekad masa berlalu
dia kekal di situ
membina rumah tangga utuh
tempatnya mencurah rindu
tempatnya berpayung berteduh
akad diikat ditambat teguh.

Kini usianya usai utuh
tegak berdiri membimbing generasi baru
lambaian Gunung Jerai semakin jauh
di pandang tanpa jemu
ia pasrah berselimut rindu.


HANAFIAH MZ
TUARAN
(New Sabah Times,07/12/2010)




Sabtu, 4 Disember 2010

KITA 1 MALAYSIA MULIA BUDI BAHASA


KITA 1 MALAYSIA MULIA BUDI BAHASA
(Utusan Borneo, 05/12/2010.hal.B6)

Sejak dahulu perang dicanang
entah kalah entahkan menang
saudara sedarah tiada tenang
bercakar sesama pagi dan petang.

Kata periuk, “ belanga hitam,
duduk di dapur siang dan malam
sudahlah hitam teramat legam
siapa memandang pasti pitam”.

Belanga bingkas cuba menentang,
“sehitam-hitam aku terus berjuang,
berkhidmat kepada tuan seorang,
walau seharian terus dipanggang,
rela legam seperti arang”.

Periuk menyahut,
“Setakat api apa nak takut,
akupun dipanggang sehingga semput,
aku juga pejuang dan belum luput,
apa tuan arah aku ikut,
tanak nasi,rebus ubi aku turut.

“kalau aku dipanggang,engkaupun sama
kalau aku hitam, engkau apa kurangnya”.
kenapa perlu bertelagah sesama
tugas kita serupa berkhidmat pada bangsa
lagipun kita sedarah, saudara adanya,
kita asyik berbalah,
periuk letrik dah bermaharajalela”.
Belanga hambur nasihat berguna.

Periuk terpingga-pingga
kata belanga ada benarnya
jika bergaduh tak sudah-sudah
si putih, periuk letrik pasti menyanyi
seantero dunia manusia menyanyangi.

Bagai terhantuk baru terngadah
periuk sedar silap dan salahnya
menghina sesama tiada faedah
menjatuhkan air muka sendiri sahaja
lagipun kita Satu Malaysia
bangsa bertamadun mulia budi bahasa
bangsa pemaaf penuh timbang rasa.

HANAFIAH MZ


PAPAN MAKLUMAT PEMBINAAN JAMBATAN SUNGAI MANTANAU


Hanya kenderaan Timur saja yang boleh lalu di bahagian atas !!!!!!

Jumaat, 3 Disember 2010

TAJUK : BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00

TAJUK : BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00


Pada tahun 1977 atau 33 tahun yang lalu saya dan seorang sahabat bersama-sama mengunjungi pasar pekan lama Kota Marudu untuk membeli keperluan makan minum selama lima hari. Ketika itu harga seikat kacang panjang hanya Rm 0.10. Begitu juga dengan kangkung. Masing-masing memilih seikat kacang panjang. Faktor utama pemilihan sayur berkenaan ialah kerana harganya yang murah,jumlah yang banyak dan tahan untuk dua atau tiga hari. Jadi dalam seminggu, kami hanya memerlukan dua ikat kacang panjang untuk dijadikan sayur selama 5 hari. Ini sudah memadai untuk mengalas perut kami di asrama Yayasan Sabah Kota Marudu.

Pada tahun 90an, harga kacang panjang menjangkau Rm 1.00 seikat. Namun baru-baru ini, saya dikejutkan dengan kenaikan harga kacang panjang yang meningkat sebanyak 200 peratus berbanding tahun 1977 iaitu RM 2.00 seikat di beberapa pekan di Sabah. Ini bermakna, sebuah keluarga kecil memerlukan sekurang-kurangnya Rm 14.00 untuk menampung keperluan keluarga selama seminggu. Itupun jika keluarga berkenaan memutuskan untuk makan satu jenis sayuran sahaja dalam satu hidangan.

Jika kita tinjau pasar-pasar ikan, tiada satupun pasar yang meletakkan harga ikan kelas 1 di bawah Rm 12.00 sekilo. Rata-rata harga ikan dalam kategori ini di antara Rm 12.00 hingga Rm 25.00. Mahu tidak mahu pengguna terpaksa memilih ikan basung yang lingkungan harganya antara Rm 5.00 hingga Rm 6.00 sekilo.

Bila persoalan kenaikan harga barangan tersebut dikemukakan kepada peniaga, masing-masing menuding jari kepada faktor peningkatan kos pengendalian. Mereka kata harga minyak naik. Jadi harga baja,racun dan upahpun naik. Begitu juga dengan nelayan yang menjadi pengguna utama minyak. Jadi beban kenaikan harga minyak memberi impak kepada kenaikan barangan pengguna dan akhirnya kita sebagai pengguna menanggung beban kenaikan harga barangan tersebut.

Mungkin golongan berpendapatan sederhana tidak seberapa merasai kesan kenaikan harga barangan keperluan tersebut. Tetapi lain ceritanya dengan masyarakat desa atau kota yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau yang tergolong dalam kategori miskin tegar. Tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, tidak ada ruang untuk berniaga malah kekurangan dalam serba-serbi. Tentulah mereka akan merasai bahang dan keperitan akibat kenaikan harga barang tersebut.

Baru-baru ini KYRO menulis tentang seorang peniaga yang hanya menjual serai di Jalan Gaya, Kota Kinabalu dan berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan. Beliau juga ada mengulas sebuah buku yang terbitan Indonesia yang membongkar rahsia kejayaan peniaga gerai tepi jalan. Tulisan-tulisan beliau disiarkan dalam blog SAM. Saya juga mengutarakan sifat rajin dan tidak mudah putus asa golongan peniaga tepi jalan di Langkon dan kampung Mengaris, Kota Marudu.

Saya turut menyarankan agar masyarakat mencontohi sikap rajin dan gigih penduduk Kampung Langkon dan Kampung Mengaris dalam menjana ekonomi keluarga walaupun ada dalam kalangan pengunjung blog SAM melabelkan perniagaan tepi jalan sebagai melucukan. Sekurang-kurangnya pendapatan sebanyak Rm 7.00 ke Rm 20.00 sehari dapat meringankan beban sesebuah keluarga. Ada yang mengatakan bahawa tanpa kita sedari pendapatan golongan peniaga tepi jalan sebenarnya boleh menjangkau Rm 50.00 sehari. Namun ada sumber yang boleh dipercayaai menyatakan bahawa pendapatan golongan berkenaan boleh menjangkau Rm 200.00 sehari. Bayangkan berapa yang mereka boleh perolehi dalam sebulan.

Sepanjang kehidupan selama 45 tahun ini saya telah banyak melihat warga asing yang datang ke negeri Sabah yang kita cintai ini telah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Pada tahun 1991, sekumpulan pemuda berketurunan Jawa berasal dari negara jiran berjaya menjadi subkontraktor untuk pemasangan jambatan besi yang merentangi sungai Marak Parak. Ketika saya berpindah ke SMK Badin, seorang pekerja pengusaha kantin telah memberanikan diri dengan meletakkan jawatannya itu dan berniaga goreng pisang secara sepenuh masa di tamu pekan Tuaran. Pada hari ini beliau mampu menyewa sebuah restoran dan menjalankan perniagaan makan minum. Walaupun sudah mempunyai ruang niaga yang selesa, beliau masih berniaga goreng pisang di tamu Tuaran kerjaya yang mencetuskan inspirasi kejayaannya pada hari ini.

Dalam bidang pertanian, rata-rata hasil pertanian yang mendominasi tamu-tamu di seluruh Sabah dikuasai oleh golongan petani yang kita semua sendiri tahu asal-usulnya. Justeru itu, tidak menjadi kesalahan untuk kita sama-sama bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung keperluan harian kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut dapatlah kita menjimatkan perbelanjaan harian sambil menjaga kesihatan dengan menggerakan seluruh otot berbanding hanya duduk bersantai sepanjang masa. Juga tidak salah untuk kita memulakan aktiviti berniaga di tepi jalan atau mana-mana ruang perniagaan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menampung keperluan seharian.

Dengan berniaga kecil-kecilan, kita sebenarnya telah memulakan langkah ke arah kejayaan yang lebih besar. Hari ini kita memulakan langkah pertama, esok lusa anak-anak yang membantu kita menjalankan aktiviti berkenaan memerhati ,menilai dan mungkin juga mendapat inspirasi baru bagaimana memengembangkan perniagaan yang kita mulakan itu.

Boon Siew bukanlah orang kaya ketika mula-mula masuk ke Tanah Melayu 70 tahun yang lalu. Beliau hanya seorang kanak-kanak yang rajin memerhati dan berhati cekal. Berkat kerajinannya beliau mempelajari bagaimana membaiki basikal. Kemudian membaiki motorsikal. Akhirnya, berkat sabar dan usaha berterusan beliau berjaya memperoleh kontrak mengedar motorsikal jenama Honda di Malaysia. Hari ini, ramai penduduk Malaysia menunggang motorsikal Boon Siew Honda.

Kerajaan tidak selama-lamanya mampu menangung kos subsidi yang diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Pada suatu ketika, subsidi-subsidi berkenaan lambat-laun akan dikurangkan atau dihapuskan terus. Jadi, kita perlu memulakan langkah hari ini untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang

PANORAMA KINABALU




Selasa, 30 November 2010

Dia Anasari





Dia Anasari

Dia Anasari
akur menyusur alur
kerana dia tahu
bisanya
tidak akan luntur
di tengah rotan bertabur.

Dia Anasari
kerdipan bintang timur
sebuah sumur makmur
di manapun dia bergaul
sinarnya
tidak akan luntur
tidak akan kabur
walau dicelur.

Dia Anasari
di tanah Sulaman
ia mengukir senyuman
taman hatinya ditawan
oleh wahyu cinta
jejaka tampan
seperguruan.

Dia Anasari
suci cintanya nyaman
kerana dia kerdipan intan
menyinar kehidupan
anak-anak Tuaran.

HANAFIAH MZ

Isnin, 29 November 2010

GURINDAM KASIH

GURINDAM KASIH

Hormati ibu dan bapa
Dari mereka kita bermula.

Sayangi ibu dan bapa
Lebih dari emas permata.

Kasihi ibu dan bapa
Bagai menatang bayi tercinta.

Senyumlah pada ibu bapa
Supaya hidup mereka ceria.

Belailah ibu dan bapa
Agar mereka tidur lena.

Lawatilah ibu dan bapa
Supaya mereka tidak tersiksa.

Damaikan hati ibu dan bapa
Supaya mereka rasa bahagia.

Cintailah ibu dan bapa
Hidup kita akan bahagia.

Taatilah ibu dan bapa
Allah akan merahmati kita.

Uruslah ibu bapa mu
Bila mereka dihujung waktu.


HANAFIAH MZ

Ahad, 28 November 2010

PUISI

BILA ALAM MULA MENYALAI
(Harian Express 28/11/2010)

Bila alam mula menyalai
enau pasti terkapai-kapai
tumbuhnya menyusut longlai
bahtera hijau luruh tersadai
laksana dihentam gelora badai.

Bila alam mula menyalai
pontianak pasti tak lalu mengilai
terbungkam sendiri sedih menyeringai
senyumanpun turut terburai
rambut kusut tidak terurai.

Bila alam mula menyalai
kuntum ditangkai jatuh terlerai
aur dan tebing turut bercerai
ikan di sungai hilang sorak-sorai
burung-burung terkapai-kapai.

Bila alam mula menyalai
salji mencair mendaki pantai
gempa alam tiada terbengkalai
tsunami berkunjung berangkai-rangkai
berkepul sedih tidak terungkai
selautan sampah segunung bangkai.


HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU

Khamis, 25 November 2010

Terus bersuara YB Anita Baranting


Jalan raya telah dikemukakan
paip jangan dilupakan
debu telah lesap
air ke dalam tanah meresap....

kitorang juga yang tak mandi.....

Teruskan perjuangan YB Anita

Selasa, 23 November 2010

Kampung ku






Kampung ku

Rindu ku kian merintih
wajah mu di ufuk hati
hijau mu mengungkap kasih
wangi mu membelai seri.

Di sini tempat ku bertatih
di sini tempat ku berdiri
di sini tempat ku berlari
di sini tempat ku berkubang
di sini aku mula membilang
di sini aku mula bersembang
di sini aku mula berjuang

Kampung ku hutan berbilang
sawah hijau terbentang
padi saujana pandang
di sini rindu ku bergenang
di sini rindu ku berlinang.

Kampung ku tak pernah hilang
Kampung ku tetap ku kenang
Kampung ku tetap ku pandang
Kampung ku , ku peluk sayang.

Hanafiah MZ
Kg. Tingkalanon-Kg.Longob,
Kota Marudu.

SAJAK- SECEBIS HARAP SETANGKAI RACUN

SECEBIS HARAP SETANGKAI RACUN
(New Sabah Times , 23/11/2010. hal. 16)

Menjerit mengenang sakit ,
merimbun perit
bertahun sedih merintih,
berguni pedih
berdekad hati bernanah,
parah menjarah
kumat-kamit mentera dijana,
menghimpun daya
beralun harap dihimpun,
tersusun rimbun
berkepal derap digarap,
menggunung harap.

Bagai tiada mengerti,
tiada peduli
bagai batang buruk tersingkir,
terus dipinggir
bagai penyapu lama,
terbuang tercela
bagai besi terperuk,
menjeruk buruk
tiada siapa bertandang,
mencanang terang.

Inikah gebar kasih kau bentang,
suram bergenang
inikah pekat janji kau laung,
kosong dan murung
inikah belas ehsan kau jajan,
merekah harapan
rupanya cinta tersusun rimbun,
cuma setangkai racun.

Berjela kenang bergenang,
mengungkap remang
bagai hilang arah berkurun,
meruntuh santun
bercucuran airmata tumpah,
menyingkir tenang
pedih meruntun-runtun,
merangkai lamun
kami kekal di sini
bertongkat sedih.

Tunggulah sangkakala ditiup
dihari penutup
pintu maaf pasti tertutup
di hujung huruf
koma pertama
noktah menjunjung taup
kasih mu akan ku renyuk,
pujukmu tidak ku hirup
sauh pasti terlepas ,
sampan terbabas bebas
resah pasti terhempas
dan kami kemas bernafas.

HANAFIAH MZ

Sabtu, 20 November 2010

INGIN

INGIN
(Utusan Borneo, 21/11/2010. hal. B7)

Ingin ku kucup haruman seri
sebelum kuncup di taman hati
ingin ku capai jambangan kasih
sebelum duka menyulam rintih

Ingin ku buang sakit dan pedih
sebelum nanah menghambat hati.
Ingin ku peluk wangian kasih
sebelum renyuk dilanda benci

Ingin ku garap nukilan janji
sebelum lena diulit mimpi
ingin ku nyata hasrat di hati
sebelum lesu dibuai caci.

Ingin ku bina mahligai abadi
sebelum gempa melanda janji
ingin ku ikat cinta yang suci
sebelum nafas mengundur diri.

Ingin ku renjis hujan asmara
sebelum layu dimamah usia
ingin ku bina kubu takwa
sebelum janji menjemput jiwa.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Jumaat, 19 November 2010

MAJLIS KONVOKESYEN SPM, STPM SMK BADIN 2010




PERSEFAHAMAN IBUBAPA DAN GURU BANTU PENCAPAIAN
CEMERLANG PELAJAR DALAM AKADEMIK.

Tuaran – Persefahaman antara ibu bapa dan guru-guru merupakan ramuan utama yang boleh membantu para pelajar cemerlang dalam akademik.Demikian kata Pengetua SMK Badin,Lim Lai Hong dalam Majlis Konvokesyen Pelajar-Pelajar SPM dan STPM di Dataran Perhimpunan SMK Badin kelmarin.
“Dengan persefahaman itu, guru-guru dapat memantapkan persiapan pelajar menghadapi peperiksaan SPM dan STPM yang bakal menjelang mulai minggu hadapan manakala ibubapa pula berperanan mengukuhkan persiapan anak-anak di rumah”. Kata beliau lagi.
Majlis Konvokesyen ini dilaksanakan khusus untuk calon-calon peperiksaan SPM dan STPM tahun 2010 bagi menyemarakkan persiapan calon-calon berkenaan menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada minggu hadapan.. Seramai 278 calon SPM dan 99 calon STPM terlibat dalam Majlis Konvokesyen ini.
Menurut Limlagi, pihak sekolah telah melancarkan pelbagai program peningkatan akademik bagi memastikan kejayaan pelajar-pelajar dalam kedua-dua peperiksaan awam berkenaan. Antaranya ialah Program Pecutan SPM dan STPM yang dijalan selama hampir sebulan bagi mengukuhkan persiapan pelajar-pelajar.
Beliau juga menyeru supaya semua pelajar memanfaatkan masa yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh dan mengisi masa dengan pelbagai aktiviti akademik untuk melengkapkan diri mereka menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.
“ Masa tidak akan menunggu kita dan peluang keemasan bukan selalunya menjadi milik kita”, tambah beliau lagi.
Seterusnya beliau menyarankan agar pelajar-pelajar menjadikan majlis itu sebagai
platform untuk menyemarakkan hasrat mereka untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Dalam majlis yang sama Pengerusi Persatuan Ibubapa PIBG SMK Badin, Tuan Haji Norzain Haji Tawi, menyeru ibubapa supaya memberi komitmen berterusan agar setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak sekolah akan mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau turut menegur sikap ibubapa yang mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak yang beliau takrifkan sebagai tidak bertempat .
“Ada ibubapa yang terlalu sayangkan anak-anak sehingga tidak sanggup berpisah dengan anak untuk mengikuti program akademik yang dijalankan oleh pihak sekolah. Anak-anak yang sepatutnya berkampung di asrama untuk mengikuti program akademik supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap program berkenaan tidak dilepaskan atau tidak dibenarkan semata-mata atas alasan tidak serasi dengan kehidupan di asrama”, tambah beliau.
Pengerusi PIBG SMK Badin menyeru semua ibubapa supaya sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bukan sahaja untuk mendapat maklumat perkembangan akademik anak-anak mereka tetapi juga sebagai satu cara menjalinkan komunikasi dua hala yang bersifat positif.
Majlis yang julung-julung kali diadakan khusus untuk pelajar SPM dan STPM turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi PIBG SMK Badin, Encik Awang Bungsu Awang Matiasin bersama lebih kurang seratus orang ibubapa. Oleh : Hanafiah Zulkifly

UTUSAN BORNEO, 20/11/2010. HAL B2

Malam Tanpa Pelita

MALAM TANPA PELITA

Malam tertanya-tanya
ke mana perginya pelita
yang menemaninya berabad lama
menyulam cerita
peradaban manusia.

Di kota-kota
pelita telah dilupa
lampu neon bermaharajalela
terangi malam hingga ke pagi
malam terpinggir sepi
dilupa oleh manusia
kerana manusia kota pentingkan cahaya
terang dan nyata
tidak perlu teraba-raba
sedang hakikatnya dosa yang tercipta.

Walau kota menyingkirnya
pada desa malam bermanja
pelita masih ada di sana
setia menemani malam bercanda
yang dibalut redup suasana
diimpi manusia desa
kerana redup pelita
manusia bahagia
bercerita tentang cinta.

HANAFIAH MZ

Keceriaan



Cikgu Malakin dan pasukannya gigih menceriakan ruang depan Bilik Pendidikan Khas

Isnin, 15 November 2010

SEPERTI LAUT


SEPERTI LAUT

Seperti laut
setia pada pantai
walau berkali surut
pantai tetap dibelai
walau hatinya kusut
simpul mampu diurai
walau dilanda ribut
kasih tak akan dilerai
telah berkurun kasihnya bertaut
tak pernah lalai
indahnya cinta laut
begitu juga pantai.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Ahad, 14 November 2010



RUMAH BERTIANG KAPAS

Rumah beratap nipah
Lantai buluh dibelah
Murung sayu merendah
Miskin tegar terserlah.

Rumah bertiang kapas
Rapuh tiada berasas
Dapur kayu penghias
Daif tidak terlepas.

Rumah berdinding kajang
Duka lara memanjang
Pedih pilu sebendang
Pembangunan menyimpang.

Rumah bertingkap kain
Renyuk dibalut dingin
Longlai dihempas angin
Kukuh mendakap miskin.


HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU
28 JUN 2010

Selasa, 9 November 2010

DAMAI

DAMAI
(New Sabah Times. 9.11.2010.hal 16)

Selembut mentari pagi
menyapa busana bumi
rerumput riang menyanyi
dijamah cahaya sakti.

Nurkasih sulam menyulam
bening menghulur salam
hening mekar menyiram
damai alam bersemayam

ombak melambai permai
mengucup jejari pantai
mengalun irama santai
menyiram debunga damai.

Dedaun tulus melambai
disapa bayu gemalai
beburung menyanyi permai
irama senandung damai.

Damai alam membuai
damai kasih membelai
damai jiwa dicanai
damai rindu mengintai
damai hati disemai
damai hidup dituai.

HANAFIAH MZ
KG. DAMAI, KOTA MARUDU.

Selasa, 2 November 2010

GURINDAM KASIH SAYANG

GURINDAM KASIH SAYANG
(New Sabah Times. 02.11.2010. hal.16)

Kasih Adam kepada Hawa
Tinggalkan syurga turun ke dunia.

Kasih bermula dari mata
Turun ke hati sayang berbunga.

Kasih uda kepada dara
Sayang dara tiada dua.

Kasih bertaut di dalam hati
Sayang bercambah tambah berseri.

Kasih bersimpul begitu erat
Sayang bertaut cinta tersemat.

Kasih merimbun cinta tersemat
Sayang dicantum janji diikat.

Kasih diikat tersimpan tekad
Sayang ditambat di dalam akad.

Kasih diikat sepanjang hayat
Sayang disemat hubungan berkat.

Kasih diikat merimbun rahmat
Sayang disemat bersulam adat.

Kasih nabi kepada umat
Sayang Allah turunkan rahmat.

HANAFIAH MZ
TUARAN.

Ahad, 31 Oktober 2010

BUSANA BUMI

BUSANA BUMI
(Utusan Borneo, 31.10.2010. hal.6)

Hijau membalut rapi
tenang memancar seni
nyaman saujana wangi
rimbun memayung bumi

Redup tenang ditatang
senang lapang cemerlang
riang menghias ruang
gersang mengalih pandang

Walau benci menjemput
taatnya tiada surut
kasihnya tiada reput
sayangnya tenang bertaut
cintanya kukuh berpaut
sebenua dialah selimut
rerumput cintanya lembut.

Jasanya nyata di mata
menghias alam semesta
pasrah sentiasa di jiwa
busana bumi tercinta
manja menganyam cinta.

HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU

Isnin, 25 Oktober 2010

GURINDAM SETULUS HATI

GURINDAM SETULUS HATI
(New Sabah Times. 26.10.2010. hal. 16)

Hendak berkata-kata
takut tak tersusun bahasa

Hendak berpantun
takut tak bersopan santun

Hendak berseloka
takut ada yang terluka

Hendak bergurindam
takut ada yang dendam

Hendak menegur
takut tersalah tutur.

Hendak membisu
takut dikata kaku.

Baik bermadah
yang sopan dan indah.

Baik berkata-kata
yang tulus dan nyata.

Baik bercerita
yang jelas dan beretika.

Baik berceramah
yang jujur dan berhemah.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Sabtu, 23 Oktober 2010

MAHU

MAHU
(New Sabah Times, 24.10.2010. hal.16)

Aku mahu membawa mu
ke dunia ku.

Aku mahu membelai mu
selembut bayu.

Aku mahu memeluk mu
setulus rindu.

Aku mahu mendodoi mu
sebening syahdu.

Aku mahu membuang lesu
di mata mu

Aku mahu membuang sayu
di wajah mu

Aku mahu menyayang mu
ayah ibu.

Aku mahu bersama mu
selalu.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Khamis, 21 Oktober 2010

KENALI DAERAH ANDA

TAJUK : PEJUANG BANGSA


Seperti daerah-daerah lain di Sabah, Kota Marudu turut melahirkan pejuang-pejuang yang berjuang untuk menegakkan keadilan serta menghalau kedatangan penjajah yang cuba untuk menguasai daerah ini sambil mengaut keuntungan hasil bumi kita yang tidak ternilai banyaknya. Mereka sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk memastikan daerah ini tidak jatuh ke tangan penjajah dan memporak-porandakan kehidupan masyarakat pribumi.

Syarif Osman merupakan antara tokoh terawal yang berjuang untuk menentang penjajah. Beliau dikatakan sebagai wakil kepada Kesultanan Sulu yang mentadbir wilayah Teluk Marudu. Kehadiran penjajah di Borneo Utara khususnya di Teluk Marudu telah mengganggu-gugat amalan kehidupan masyarakat setempat di daerah ini. Perbuatan penjajah tersebut menyebabkan timbul rasa tidak senang di hati Syarif Osman lantas melakukan beberapa serangan ke atas kapal dagang penjajah. Siri serangan yang dilakukan oleh beliau menimbulkan kemarahan penjajah lantas melakukan tindak balas dengan bantuan Rajah Putih Sarawak, James Brooke.

Penjajah telah mencatatkan dalam sejarah bahawa Syarif Osman adalah seorang ketua lanun dan pemberontak di Teluk Marudu sekitar 1890-1895. Catatan itu membuat penduduk yang tinggal di daerah Kota Marudu tidak berpuas hati kerana setelah negara ini merdeka, mereka menyedari bahawa penentangan Syarif Osman itu sesuatu yang murni, yang tidak difahami oleh masyarakat setempat masa itu. Perjuangan beliau telah menjadi dorongan ke arah kelahiran semangat kebangsaan ia itu inginkan kebebasan dari kuasa kulit putih, penjajah Inggeris.

Syarif Osman yang berkubu di muara sungai Marudu telah diserang oleh satu angkatan kapal perang Inggeris yang diketuai oleh Kapten Mundy. Pertempuran itu menyaksikan kehancuran kubu pertahanan Sharif Osman, sekaligus beliau turut terbunuh. Pengikut-pengikut Sharif Osman yang berundur dari kubu itu sempat membawa jenazah Syarif Osman untuk dikebumikan di luar dari kawasan kubu itu. Kini, kawasan kubu dan tanah perkuburan Syarif Osman itu telah menjadi satu tanda sejarah di daerah Kota Marudu. Manakala isteri Syarif Osman, Dayang Cahaya dan beberapa orang pengikut setia dikatakan melarikan diri ke Sugud menggunakan jalan darat melalui beberapa perkampungan iaitu kampung Tandek dan kampung Botition.

Kejatuhan Syarif Osman di Teluk Marudu dalam usahanya menentang kuasa Penjajah tidak berakhir di situ sahaja.. Selepas itu muncul beberapa lagi pejuang tempatan dalam kalangan kaum Dusun seperti Si Gunting, Rindongon dan Kulindod dan lain-lain untuk menentang kuasa Inggeris. Bagaimanapun, kesemuanya mereka gugur sebagai bunga bangsa , kecuali Si Gunting yang telah berdamai dengan Inggeris.

Isnin, 18 Oktober 2010

AKAD

AKAD
(New Sabah Times, 19.10.2010. hal.16)

Saat akad ku laung
engkau tersenyum
pasrah mu menguntum
rela meredah ombak bergulung
rela merentas gurun murung
tekad menggalas beban menggunung

Sepinggan makan bersama
sebantal tidur berdua
sama dihirup sama dirasa
susah dipikul senang bersyukur

Bersama menganyam duka
berdua mencanai ria
sederap mengatur langkah
sekata ke hujung usia.

HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU

Khamis, 14 Oktober 2010

KENALI DAERAH ANDA : Kota Marudu Secara Ringkas

LOKASI

Daerah Kota Marudu terletak di utara Sabah.Ia bersempadan dengan daerah Kudat dan Pitas di utara, daerah Beluran di timur, daerah Ranau di selatan dan daerah Kota Belud di barat. Kedudukan daerah ini ialah 6’ 30” darjah utara garis lintang 116’ 45” darjah timur garis bujur.

Kota Marudu terletak kira-kira 120 km dari Kota Kinabalu, 70 km dari Kudat dan 67 km dari Pitas.

KELUASAN

Keluasan daerah ini ialah 1184 km persegi dan mempunyai 116 buah kampung yang terbahagi kepada 9 mukim.

RUPA BUMI

Mempunyai kawasan tanah rata dan bukit-bukau serta merupakan tanah yang subur untuk pertanian. Tiga batang sungai utama membekalkan sumber air kepada daerah ini iaitu sungai Bandau, Sungai Kanarom dan sungai Tandek. Bukit-bukau adalah lanjutan daripada banjaran James Brooke di sebelah barat dan banjaran Crocker di selatan.

Pantai di Kota Marudu terdapat di sepanjang kawasan selatan Teluk Marudu yang mengunjur dari Tigaman, Kuala Bongon hingga ke Tanjung Batu. Sebahagian besar kawasan pantai adalah merupakan tanah lumpur yang ditumbuhi oleh pokok bakau. Kawasan pantai di Marasinsim dan Tanjung Batu adalah pantai pasir. Satu lagi kawasan pantai laut berhadapan dengan Laut Cina Selatan, bertempat di kampung Teringai Laut, mempunyai pemandangan yang indah dan berpotensi dijadikan pusat pelancongan.

LATAR BELAKANG SEJARAH

Sebelum Sabah mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia, daerah ini dikenali sebagai Bandau. Nama ini kemudiannya ditukar kepada Kota Marudu pada tahun 1974 sebagai lambang kejayaan rakyat di daerah ini khususnya menuntut kebebasan dari kuasa penjajah.

Di muara sungai Marudu, tidak jauh dari situ, terletak Kubu Pertahanan Syarif Osman yang dilabel oleh penjajah sebagai pemberontak pada tahun 1845. Syarif Osman ditewaskan oleh satu angkatan perang Raja Sarawak, James Brooke dengan bantuan sebuah kapal Perang Inggeris , HMS Iris yang diketuai oleh Kapten Mundy.

Selasa, 12 Oktober 2010

Terkulai

TERKULAI
(New Sabah Times, 12.10.2010. hal.16)

Terkulai longlai perit membelai
rindu tersadai kasih terlerai
benci merantai luka terurai
sedih membuai duka dituai.

Awan berolak mimpi membuak
mendung berarak menyimpul muak
hati tersentak cuak mendesak
resah berkocak rindunya retak
kasih tercampak nafasnya sesak.

Manis hilang sepah dibuang
pedih berlinang sedih memanjang
hatinya walang remang bergenang
hidupnya gersang tenang menyimpang
ranjangnya pincang mimpi pun sumbang.


HANAFIAH MZ
TUARAN.

Isnin, 11 Oktober 2010

ZIKIR KASIH

ZIKIR KASIH
(Utusan Borneo, 10.10.2010)

Cinta sayang tersenyum
setia kasih menguntum
mesra rindu meranum
denyut kasih mengharum.

Debar jantung bergetar
mesra kasih ditebar
kasih mekar setakar
sayang segar berakar.

Manja ria bergenang
manis santun dikenang
hampar sayang dibentang
tasik kasih direnang.

Cangkir rindu diukir
desir kasih bersyair
sayang pasti mengalir
zikir kasih dizahir.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Kelapa,Komoditi Yang dipinggirkan










TAJUK : KELAPA , KOMODITI YANG DIPINGGIRKAN
OLEH : HANAFIAH MZ ZULKIFLY
(Utusan Borneo,11.10.2010)

Sebut sahaja kelapa, pasti tergambar jelas di ruang mata sejenis pokok yang menjulang tinggi ke langit, tanaman komoditi yang sinonim dengan utara negeri Sabah. Pada tahun 60an, 70an dan 80an buku-buku teks sekolah khususnya mata pelajaran Ilmu Alam, memaparkan tiga daerah di utara Sabah itu Semenanjung Kudat, Dataran Marudu dan Semenanjung Bengkoka merupakan antara pengeluar utama kelapa di Malaysia dan yang utama di Sabah. Ladang kelapa ketika itu luas terbentang dan tanaman pilihan pertama pekebun ketika itu.

Kelapa yang menjadi komoditi utama di tiga daerah pada era 60an, 70an dan awal 80an diktiraf sebagai pokok seribu guna. Buah kelapa boleh dikeringkan dan dijadikan minyak kelapa. Lidi sesuai dijadikan penyapu dan pencucuk satay. Sabut juga boleh dijadikan penyapu serta sesuai sebagai bahan pembuatan tilam. Batang kelapa yang matang boleh dijadikan papan dan beroti. Tidak hairanlah bahawa keistimewaan pokok kelapa tersebut meletakkannya sebagai tanaman utama pekebun ketika itu di utara Sabah.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa antara banyak-banyak bahagian,buah kelapa itu sendirilah yang menjadi nadi utama keistimewaan pokok kelapa. Buah kelapa yang matang boleh dibelah,dikeringkan dan dihantar ke kilang-kilang untuk diproses untuk dijadikan minyak masak. Oleh kerana minyak masak dari sumber lain belum ada atau belum popular, maka minyak masak berasaskan kelapa menjadi pilihan utama yang tidak disaingi oleh minyak masak yang lain.

Di kampung-kampung, proses menghasilkan minyak kelapa dilakukan oleh masyarakat itu sendiri. Berbekalkan 15 biji ke 20 biji buah kelapa, masyarakat kampung dapat menghasilkan antara empat ke lima botol minyak masak cukup untuk menampung keperluan selama tiga bulan. Proses menghasilkan minyak masak tersebut memakan masa yang agak lama, kira-kira tiga ke empat jam. Sisa santan kelapa yang dimasak kelihatan seperti gumpalan najis namun enak dimakan sehingga terhasillah teka-teki yang berbunyi;

“Sebanyak-banyak tahi, tahi apa yang paling sedap di makan?”. Jawapannya sudah tentu tahi kelapa.

Gadis-gadis kampung sering menggunakan santan kelapa sebagai bahan untuk cuci rambut ketika mandi. Rambut yang dicuci bersama santan kelihatan berkilau-kilau memancar dan dipercayaai dapat melebatkan pertumbuhan mahkota perempuan itu.

Masyarakat kampung juga menggunakan buah kelapa sebagai bahan makanan utama ternakan khususnya ayam. Sama ada kelapa dibelah dan dibiarkan begitu sahaja ataupun isinya dihiris-hiris kecil boleh menjadi sumber utama makanan ayam yang kaya dengan nutrien.

Bagi mereka yang berhasrat menjala ikan di sungai atau kolam, santan kelapa boleh dijadikan umpan kepada ikan-ikan. Sisa santan dicampak ke sungai beberapa minit sebelum menebarkan jala. Pasti ikan-ikan akan berkumpul untuk menikmati santan yang lemak dan si penjala ikan pasti tersenyum lebar apabila ikan tersangkut pada jala yang ditebarnya.

Pada tahun 70an, harga satu pikul kelapa kering pernah mencecah RM 70.00. Seseorang yang mempunyai lima ke sepuluh ekar kebun kelapa masa itu boleh tersenyum lebar dengan pendapatan antara RM 1700.00 ke RM 2500.00 setiap tiga bulan.Tidak keterlaluan dikatakan bahawa golongan yang mempunyai kebun kelapa pada masa itu merupakan golongan yang mampu.

Namun sejarah kegemilangan kelapa telah berlalu. Pokok yang mendominasi utara Sabah itu mula dipinggirkan. Pokok yang gah dengan gelaran “Pokok seribu guna”, mula dilupakan. Sama seperti manusia, apabila umur menjangkau 50 ke 60 tahun, peranannya semakin berkurangan malah ada ketikanya dipinggirkan terus. Begitu juga nasip yang menimpa pokok kelapa. Semakin lanjut usia, semakin tinggilah pokok kelapa tersebut. Sifatnya yang tinggi melangit dan membawa buahnya pada kedudukan yang tinggi, menyukarkan manusia untuk mencapai buah tersebut dan terpaksa menunggu buah itu gugur ke bumi. Betullah kata orang, adakalanya kedudukan yang terlalu tinggi kadang-kadang tidak membawa apa-apa makna malah merugikan diri sendiri.

Kini tempat kelapa mula diambil alih oleh saudara tirinya iaitu kelapa sawit yang dipercayaai berasal dari Afrika. Jika anda sampai ke Kota Marudu, mata anda akan dihidangkan dengan lautan kelapa sawit yang terbentang luas menghiasi Dataran Marudu.
Jika anda memutuskan untuk ke Kudat, sepanjang perjalanan anda dihiasi dengan pandangan pokok sawit yang tumbuh subur sepanjang jalan. Begitu juga halnya jika anda mahu ke Pitas. Beribu-ribu pokok sawit tumbuh menghijau menghiasi lanskap daerah Pitas. Sesekali anda akan melihat kelibat pokok kelapa yang hanya tinggal beberapa ratus pokok sahaja menjulang ke langit seolah-olah berperanan sebagai peninjau menjaga sawit dari ancaman musuh.

Namun seperti orang lama, kelapa tidak boleh dibuang begitu sahaja. Kelapa tetap dengan nilai-nilainya yang tersendiri. Ketika musim perayaan seperti sambutan Hari Raya, Deepavali ataupun Tahun Baru Cina, permintaan terhadap kelapa tua melonjak tinggi sehingga pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.Maklumlah semakin tua sebiji kelapa makin banyaklah santannya. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara jiran untuk memenuhi permintaan tempatan.Alangkah eloknya jika pekebun tempatan dapat memenuhi permintaan tersebut.Dengan itu wang kita tidak akan mengalir ke luar negara.

Keupayaan melihat dan mencipta peluang merupakan elemen penting yang saya percaya dapat mengembalikan kegemilangan kelapa. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan di Kampung Salut, Kota Kinabalu yang dipenuhi oleh gerai-gerai menjual kelapa. Kelapa muda, kelapa bakar dan puding kelapa dijual dengan begitu laris. Tidak kira pagi, petang atau malam gerai-gerai tersebut sentiasa dipenuhi oleh pengunjung yang berminat dengan kelazatan produk kelapa tersebut.

Sayang sekali, saya tidak melihat hal yang sama berlaku di utara Sabah yang pernah mendapat jolokan pengeluar utama kelapa Malaysia suatu ketika dahulu. Walaupun daerah Kudat gah dengan Pesta Kelapa, Kota Marudu dengan Pesta Jagung dan Pitas yang langsung tidak mengaitkan pestanya dengan sebarang tanaman, hanya Pesta Bengkoka sahaja seolah-olah daerah-daerah ini melupakan tanaman yang pernah menjadi identitinya suatu ketika dahulu.

Masih belum terlambat bagi ketiga-tiga daerah ini untuk mencipta semula kegemilangan kelapa seperti pada zaman tahun 70an dan 80an. Dengan meminjam idea peniaga-peniaga gerai kelapa bakar di tepi jalan Kampung Salut, Kota Kinabalu, hal yang sama boleh dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik antara Kota Marudu – Kudat dan Kota Marudu – Pitas.

Bantuan dari pihak-pihak yang berkenaan untuk merancang dan melaksanakan strategi pemasaran buah kelapa secara berkesan amat penting untuk menjana semula kegemilangan kelapa di utara Sabah.

Pengenalan klon kelapa yang rendang, berbuah lebat, harum , manis dan berupaya mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat selepas ditanam harus menjadi keutamaan kementerian berwajib bagi menyelamatkan kebun-kebun kelapa dari bertukar menjadi ladang sawit.

Sehingga ke hari ini saya percaya dan tetap percaya bahawa kelapa masih mendapat tempat dalam peta tanaman negeri Sabah kerana sifatnya yang masih diperlukan oleh masyarakat seperti ungkapan peribahasa yang berbunyi; “untung batu tenggelam, untuk sabut timbul”. Pasti sabut kelapa akan terus membantu kelapa timbul dalam kerancakan pertanian di negara kita. Sama-sama kita nantikan dan sama-sama kita nikmati kelazatan kelapa muda, kelapa bakar dan puding kelapa.

Ahad, 3 Oktober 2010

Gurindam Sahabat

GURINDAM SAHABAT
(Utusan Borneo. 03.10.2010. hal.B6)

Sahabat itu umpama ubat
Sedia merawat kawan melarat.

Sahabat setia amat bermakna
Jadi pendorong masa merana.

Sahabat sejati sukar dicari
Sehidup semati tak akan lari.

Sahabat baik tak akan tidur
Salah dan silap diakan tegur.

Sahabat ceria pengubat luka
Jadi penghibur kala berduka.

Sahabat berjenaka kita ceria
Hati gembira riang dan ria.

Sahabat pendengki patut dihalau
Singkir dia sebelum mengacau.

Sahabat mengumpat patut disekat
Beri nasihat setiap saat.

Sahabat rumahtangga suami isteri
Pupuklah kasih hingga berseri.

Sahabat sebenar Rabbulizzati
Maha penyayang maha mengasihi.


HANAFIAH MZ
TUARAN.

Rabu, 29 September 2010

TASIK BUYUT, LAGENDA YANG DILUPAKAN



TASIK BUYUT : LEGENDA YANG DILUPAKAN
Oleh : Hanafiah MZ,

Namanya tidak sehebat Tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga yang mendiami tasik tersebut.Jauh sekali jika dibandingkan dengan kehebatan Tasik Malaya atau Tangkuban Perahu di Indonesia. Malahan sebahagian penduduk negeri di bawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini. Namun Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita ketelanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia hingga menyimpang dari amalan hidup seharian.

Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui. Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.

Kisahnya bermula disebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Bogaya kira-kira 500 tahun lampau. Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani. Sudah menjadi kebiasan suku Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil yang berlipat ganda diraikan dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung. Secara kebetulan penduduk Kampung Bogaya tinggal dalam Rumah Panjang yang suku ini kenali sebagai “Binatang”.

Majlis keramaian yang dijalankan disulami dengan paluan gong dan kulintangan sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol dan mangandak.Acara minum tapai merancakkan lagi majlis tersebut. Akibat telalu banyak minum tapai, para penari semakin mabuk. Langkah tari semakin perlahan dan akhirnya terkulai layu menyembah lantai. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya.

Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari. Cadangan itu disetujui oleh yang lain. Lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun. Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat. Aksesori yang dipakai oleh kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenarnya

Tanpa membuang masa ,mereka memapah haiwan-haiwan tersebut menari. Pada mulanya agak susah juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol. Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing. Sememangnya haiwan itu telah dirasuk syaitan sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia. Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut menyemarak kemeriahan majlis itu. Manusia yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari tindakan tersebut mengundang kemurkaan yang maha pencipta.

Tasik Buyut : Pandangan dari puncak bukit perumahan kakitangan kerajaan.

Langit yang pada mulanya terang – benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum-dentum. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya seorang dua yang mula merasakan kelainan mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.

Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang mula bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria. Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa. Namun semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang. Setelah rumah panjang tersebut tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi. Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.

Tasik Buyut terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu. Namun kisah kewujudannya seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.

Alangkah eloknya jika kisah kewujudan tersebut diwar-warkan dan tasik itu sendiri ditambah nilai menjadi sebuah pusat pelancongan di utara Sabah. Jalan masuk ke tasik tersebut perlu dinaik taraf supaya memudahkan pelancong menjejaki Tasik Buyut. Kemudahan berehat, ruang memancing juga boleh disediakan untuk menarik minat golongan kaki pancing. Akhirnya masyarakat setempat akan mendapat manfaatnya jika Tasik Buyut diangkat menjadi pusat pelancongan.

Tersiar di : Utusan Borneo, Khamis 30.09.2010. Hal. B2

Isnin, 27 September 2010

HIJAU

HIJAU
(New Sabah Times. 28.9.2010. hal.16)

Hutan hijau luas terbentang
Mata memandang terasa lapang
Gundah gulana bertukar riang
Hati yang risau menjadi tenang.

Hutan hujan khatulistiwa
Hijau tenang istimewa
Oksigen dibekal tiada sewa
Senyum menghijau meresap ke jiwa.

Hutan hijau segar memayung
Di bawah pokok redup dan nyaman
Sinaran suria seperti murung
Di pagar daun warna kehijauan.

Hutan hijau membawa berkat
Setiap saat kekal manfaat
Manusia haiwan dapat syafaat
Bahagia hidup bertambah rahmat.

Hutan hijau warisan berzaman
Wajar dikekal menghiasi laman
Penjagaan hutan mesti diterapkan
Supaya warisan dapat dikekalkan.

Hutan hijau lambang kesetiaan
Tak pernah leka memayung kehidupan
Ditebang dibakar tidak dihiraukan
Kekal tumbuh ke akhir zaman.

Hutan hijau lambang kesempurnaan
Sumber rujukan dalam perubatan
Selalu diungkap dalam percintaan
Tiang harapan dalam kehidupan.

Hutan hijau lambang keikhlasan
Sedia memberi tanpa balasan
Ditebang dibakar penuh penyiksaan
Kekal berkhidmat memberi harapan.


HANAFIAH MZ
TONGKUNGON,TANDEK

Ahad, 26 September 2010

GURINDAM RINDU


GURINDAM RINDU
(Utusan Borneo,26.9.2010. hal. B8)

Rindu ku tak akan layu
dibakar bahang jemu.

Rindu ku tak akan derita
dihimpit rintihan cinta.

Rindu ku tak akan luntur
disiram cerca tutur.

Rindu ku tak akan tersungkur
dipalit racun lumpur.

Rindu ku tak akan kelu
dimamah keliru pilu.

Rindu ku tak akan kaku
dilontar dusta sendu.

Rindu ku utuh bertasbih
menyirami jerami kasih.

Rindu ku kukuh berdiri
mentaati janji mewangi.



HANAFIAH MZ
TUARAN.

Rahmat

RAHMAT
(New Sabah Times,26.9.2010. hal.16)

Awan memintal harapan
mendung menyimpul tangisan
air mata tumpah bercucuran
menyirami gersang halaman
petani menguntum senyuman
rerumput bersorakan
tanda kesyukuran
pada rahmat Tuhan
yang syumul dan nyaman
menitis zaman berzaman.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Ahad, 19 September 2010

LAUTAN SEPI

LAUTAN SEPI
(New Sabah Times. 19.9.2010. hal 16)

Terpancar unggun kasih membara di ubun hati
nyalanya menjulang tinggi tak pernah pudar walau sehari
mata merunduk layu penuh garis-garis ngeri
sayu dan syahdu mengalun di lautan sepi

gelora jiwa tak terperi melerai bahagia insani
berkocak dayung kasih menampar dada samudera berduri
berkabung murung melamun tanpa henti
bergunung rindu merantai sedih menyendiri

cahaya di hati menyepi menyisih diri
kibar kasih si anak terpaku mati
hati seorang tua remuk berkecai pedih
air matapun jatuh berderai tiada henti

bagai tiada pernah berjasa pada daging sendiri
dilontar jauh ke gaung penyisihan penuh api
entah bila datang sapaan kasih
dari anak-anak yang tak pernah mengenal erti budi.


HANAFIAH MZ
TUARAN
11 JUN 2010

MEMINTAL HARAPAN

MEMINTAL HARAPAN
(Utusan Borneo 19.9.2010. hal.B9)

Sawah nadi kehidupan
tempat petani memintal harapan
berkubang lumpur seharian
menganyam citra impian
peluh menitik bercucuran
gugur ke bumi menjadi intan
hatinya tak pernah rawan
mentaati rutin seharian.

Sebaik subuh berlabuh
petani melangkah ke baruh
matahari tempatnya berteduh
selut tempatnya bersimpuh
lintah dan sepat teman bercumbu
memintal semangat utuh
menunjangi hidup yang rapuh
menggapai cita beras sebaruh.

Bila senja mulai longlai
anak isteri melambai-lambai
terkenang kasih teringat ilai
tangan si ayah lembut membelai
cinta suami mesra mengintai
petani pun menyusuri denai
menuju teratak damai.

Padi menghijau sebendang
riang menyelimuti ruang
pipit tekukur menoleh pandang
mengharap ehsan datang bertandang
peluh petani padi terbentang
kudrat dicurah hasil ditimang
padi setahun kini terhidang
lapar dahaga dapat dibuang.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Isnin, 13 September 2010

RAYA 2010


RAYA 2010

Sept. 11 : Sekitar jam 8 raya kedua, kami sekeluarga memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, Kampung Tandek, Kota Marudu. Tepat 9.30 pagi tiba I pekan Kota Marudu dan terus menuju ke rumah adik Suriannie Zulkifli di Kampung Asin-Asin, Tandek. Adik beradik lain telah ada di situ. Jam 11 majlis doa selamat / kenduri kesyukuran sempena hari raya dimulakan.

Ramai juga sanak saudara dan jiran sekampung datang memeriahkan majlis. Keluarga dari kampung Nolotan juga datang. Jam 4 petang, saya pula menziarahi kaum kerabat yang lain. Hanya dua buah rumah yang saya sempat lawat. Pada waktu malam saya sekali lagi ke rumah adik menunggu ketibaan tetamu VIP Datuk Dr. Maximus Ongkili. Datuk yang masih di Ranau,memaklumkan bahawa dia dan rombongan lewat sampai kerana jalan Ranau - Kota kinabalu terputus di Bundu Tuhan kerana tanah runtuh. Rombongan tersebut terpaksa berpatah balik ke Ranau dan menuju ke Beluran dan memilih lebuhraya baru di Sapi Nangoh menuju ke Kota Marudu. Sekitar jam 11.30pm, rombongan Datuk Dr. Maximus sampai. Setelah satu jam beramah mesra, rombongan Datuk meneruskan perjalanan.

Keesokan hari saya dan adik Suriannie dan adik Mariana sepakat menziarahi seorang lagi adik iaitu Sofian di Kampung Telaga Pitas. Seawal 7 pagi, kami memulakan perjalanan ke sana dengan 4 buah kereta. Perjalanan hanya mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Berbanding lima tahun lalu, kini jalan menuju ke Kg. Telaga telah jauh berubah. Sebahagian jalan telah diturap. Sebahagian lagi telah dibubuh batu kelikir. Perubahan ini melancarkan perjalanan kami menuju ke Kg. Telaga. Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ternyata mengeratkan silaturrahim antara kami adik-beradik.

Sabtu, 4 September 2010

PERTEMUAN 1





PERTEMUAN



Julai 19: Hari ini amat bermakna bagi aku. Apa tidaknya, setelah 30 tahun terpisah saya ditemukan semula dengan rakan se asrama saya Halim Samin. Kami berdua antara berpuluh-puluh pelajar yang mendiami asrama Sekolah Menengah Aminuddin Baki,Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur sekitar tahun 1979 hingga 1981.

Halim yang bertugas sebagai Pegawai Kementerian Pelajaran di Putra Jaya dalam rangka tugasan ke Sabah.Beberapa minggu sebelum Halim ke Sabah, saya dapat berhubung dengan salah seorang rakan se asrama iaitu Nakla Othman (Nurulnakla) melalui Facebook. Melalui beliau, kami dapat menjejaki rakan-rakan lain seperti Ishak Kiplin, Azman Shah, abang aji Juwahir Ali dan Halim Samin.

Melalui Facebook, kami mengimbau kenangan lama sewaktu menjadi penghuni asrama SABKL. Dalam kerancakan mengenang peristiwa lama, Halim menyatakan harapan untuk berjumpa saya di Kota Kinabalu sempena lawatan beliau ke negeri Sabah. Pucuk dicita ulam yang datang,saya amat mengalu-alukan perkhabaran tersebut lantas menyatakan kesediaan saya bertemu beliau.

Malam 19 Julai 2010, saya dan Halim minum bersama di Restoran Seri Melaka, Kota Kinabalu setelah 30 tahun terpisah. Semestinya perbualan kami berkisar kepada kisah-kisah lalu kemudian beransur-ansur membicarakan perjalanan hidup masing-masing. Syukur alhamdulillah, kami berdua duduk sebumbung dalam naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tahun 1979, saya dalam tingkatan 3B di SABKL manakala Halim dalam Tingkatan 4 Moden. Saya di tempatkan di bilik 1 manakala Halim di bilik 4. Selang beberapa bulan ada rombakan penghuni bilik.Saya di tempatkan di bilik 4.Tak pasti pula Halim di tempat di bilik mana. Halim tamat tingkatan 5 pada tahun 1980. Pada tahun 1981 saya menduduki SPM. Selepas itu kami terputus hubungan sehinggalah pada 19 Julai 2010 suatu pertemuan semula terukir. Mungkinkah ada lagi pertemuan dengan rakan-rakan se asrama selepas ini….. InsyaAllah.

ZUHUD RAMADAN

ZUHUD RAMADAN

Ku tadah sepasang tangan setulus hati
ketika malam kelam berteman sunyi
terpancar doa suci disulam rapi
memohon restu Ilahi menyelimut diri
menghalau dosa-dosa manusiawi menjajah hati
mengharap kelopak rahmat harum mewangi
menyiram rimbunan taubat yang suci murni
menyulam tafakur dalam malam tarawih
zuhud Ramadan membasuh diri.

HANAFIAH MZ
TUARAN
15 OGOS 2010

Jumaat, 27 Ogos 2010

MALU

MALU
(New Sabah Times , 24 Ogos 2010. hal.16)

Bila berjauhan
hati di cuit rawan
bagai bertahun
tak bersapaan
sepi mejadi teman.

Bila bertemu
senyum tak jemu
tersipu-sipu
malu-malu
debar tidak menentu
hanya hati yang bersentuh.

Bila bicara
hilang suara
lidah terpaku kelu
tersipu-sipu
malu-malu
hanya mata yang bertemu
sampaikan rindu,

HANAFIAH MZ
TUARAN


PUISI RINDU

PUISI RINDU
(Utusan Borneo. 22 Ogos 2010)

Puisi mu yang sayu
merdu lunak mendayu
bila ku baca selalu
berulang-ulang tak jemu
bergetar denyut nadi ku
berkembanglah kelopak rindu
berlagu puisi merdu.

Puisi rindu mendesah
meresap ke lubuk jiwa
resahpun berlari pergi
tak mahu mengusik lagi
kasih pun berbisik
menyampai salam risik
mencari rima janji
yang lama dibiar sendiri
melamun di pantai sepi.

Datanglah kekasih
mari sama menyanyi
lagu-lagu puisi
isinya ranum bertasbih
melodinya wangi
harum melambai janji.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Isnin, 16 Ogos 2010

DIBALUT RINDU

DIBALUT RINDU
(Utusan Borneo, 15 Ogos 2010. hal. 16)

Ku dibalut rindu
oleh kasih ibu
ku disapa selalu
dalam mimpi syahdu
belainya mendakapku
sayangnya memelukku
rindunya mendodoiku
mekar di kalbu
sehalus baldu
selembut bayu.

Ku dibalut rindu
oleh kasih ibu
harum dimindaku
basah dijiwaku
pesannya beribu
semanis madu
hidupku dipandu
halaku direstu
berakar padu
jasadnya bersatu
dalam diriku.

Ku dibalut rindu
selalu.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Selasa, 10 Ogos 2010

PANDANG

PANDANG
(New Sabah Times,10.08.2010,hal.16)

Pandanglah….
kala aku disamping
jangan berpaling.

Pandanglah….
senyum ku yang manis
jangan diguris.

Pandanglah….
wajah ku yang ayu
jangan berlalu.

Pandanglah….
mata ku yang pemalu
jangan dicemuh.

Pandanglah….
lidah ku yang berkata
jangan dinista.

Pandanglah aku
semahu-mahu mu
janganlah jemu.

Esok mungkin kita
tak bertemu
seperti selalu.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Rabu, 4 Ogos 2010

PAHLAWAN

PAHLAWAN
(New Sabah Times, 3 Ogos 2010)

Engkaulah pahlawan terbilang
menyahut seruan ke medan juang
darah mu menjadi lambang
nyawa mu sedia dihidang
tunjang menentang petualang curang
membenteng nusa di medan perang.

Engkaulah pahlawan tersohor
semangat gigih tak pernah luntur
musuh durjana pasti digempur
menjejak musuh sedia bertempur
nyawa gugur kau tetap akur
tak akan undur rela berkubur.

Engkaulah pahlawan bangsa
rela berkorban membela nusa
jasa mu harum setiap masa
pahlawan bangsa pahlawan negara
wangi harum menyirami arena
abadi selama-lama.

HANAFIAH MZ
TUARAN
31 JULAI 2010 (HARI PAHLAWAN)

Selasa, 27 Julai 2010

KEPULANGAN


KEPULANGAN
(New Sabah Times 25.7.2010 hal.B16)

Teluk Marudu
ombak mu menyapa selalu
tidak jemu mengalun rindu
membisik penuh syahdu
mendodoi kenangan lalu
mengharap kepulangan
perantau
seperti aku.

Redup kasih mu
ranum diubun rindu
sering mengucup mimpiku
menangis penuh sayu
membuat ku menilik waktu
menetap tarikh keramat
berangkat ke riba mu
bersatu dalam perjuangan mu
membangun kehidupan jitu.


HANAFIAH MZ
TELUK MARUDU

Rabu, 21 Julai 2010

RINDU

RINDU
(New Sabah Times 20.7.2010 hal.B16)

Bila rindu
ku anyam kata hati
menjadi madah berbunga wangi
supaya aku lupa
bermanja pada sepi.

Bila rindu
ku tenun bahasa kasih
menjadi gurindam abadi
supaya mata ku beralih
pada lenggok seni
pena yang menari .

Bila rindu
ku jalin kelarai kasih
menjadi wacana janji
supaya tekad ku gigih
menggalas pedih di hati.

Bila rindu
ku lumur diri
dengan wangian sunyi
supaya dapat ku amati
nikmat sepi menyendiri.


HANAFIAH MZ
TUARAN
12 JULAI 2010

Sabtu, 10 Julai 2010

BENCI

BENCI
(New Sabah Times, 6 Julai 2010 Hal.16)

Ku pahat kasihmu
di tepian janji
kerana jiwa ku kelu
mendakap wajah lesi.

Ku jerang janjimu
di serambi hati
kerana aku masih silu
mengusung cinta basi.

Ku simpan pasrahmu
di lembar benang sepi
kerana minda sedarku jemu
merawat janji mati.

Ku lontar cintamu
di lereng gaung benci
kerana aku tahu
sumpahmu bersulam caci.


HANAFIAH MZ
TUARAN
23 JUN 2010

SESAK TAK KUNJUNG HABIS)

SESAK TAK KUNJUNG HABIS
(Utusan Borneo 11 Julai 2010, B9)

Sesak berlapis-lapis
baris panjang ke hujung garis
hawa rimas berdesis
sejuk tak mampu merembes
semangat mengempis nipis
pesakit meroyan tangis
jenuh menunggu hati terguris
amarah mengaum bengis
hati menyimpul krisis
darah melonjak tragis
senyum berbau hamis.

Sumpah semakin laris
salam kasih ditepis
sesak tak kunjung habis
putih garis hati dibentes
berlagu tangis sadis
irama rentak gerimis
berlonggok bagai pengemis
doktor tetap tersenyum manis
data dianalisis
sakit rakyat mahu dikikis
hingga habis.



HANAFIAH MZ
HOSPITAL RATU ELIZABETH
23 JUN 2010

TERAJU PEMBINA BANGSA

TERAJU PEMBINA BANGSA

Lembut tutur kata lunak bicara
Madah syahdu berbunga lembut suara
Senyum ranum menguntum terpancar cahaya
Redup sinar mata penyeri rupa
Gaya sederhana menghias agenda.

Anggun tertib teratur amat tersusun
Tingkah lembut bersopan jadi amalan
Duduk bersimpuh yakin tenang bersantun
Manis senyum merenjis penyeri laman
Yakin berdiri sendiri tidak melantun.

Teraju Pembina bangsa jadi pegangan
Tenang memacu jaya cetus keyakinan
Langkah silat dicipta kukuh panduan
Tuaran tempat pertama jadi sasaran
Gaya kepimpinan bersama teras perjuangan
Menggalas leluhur jaya pembela watan.

Nilai dipegang kukuh seteguh kubu
Limpah rahmat dipohon setiap waktu
Anak dijamu ilmu bertalu-talu
Berjuang bersungguh-sungguh tiada jemu
Amanah dipegang kukuh kekal bersatu.

Tah Nia namamu wangi harum semerbak
Pencetus ilham perjuangan pembelah ombak
Gelombang merintang menghalang tidak berganjak
Kesabaran kesungguhan ketekunan kukuh bertapak
Perpaduan persefahaman persahabatan sepanjang jejak.


HANAFIAH MZ
SMK BADIN

Isnin, 5 Julai 2010

Hujan

HUJAN
(New Sabah Times 29 Jun 2010)

Butir-butir bening berguguran
membasahi hamparan halaman
menyirami benih-benih tanaman
tunas pun berputik segar nyaman
mekar mengharum kehijauan
menunjangi bahtera kehidupan
senyum menguntum berkilauan
tanda kesyukuran
pada rahmat-Nya yang tiada batasan.

HANAFIAH MZ
TUARAN
16 JUN 2010

Ahad, 27 Jun 2010

CAHAYA KEHIDUPAN

CAHAYA KEHIDUPAN
(Utusan Borneo 27 Jun 2010)

Sekalipun engkau terperosok jatuh
di neraka kesengsaraan...
Sekalipun engkau tersembam pilu
di lubang kedaifan...
Sekalipun engkau tersungkur malu
di lembah penghinaan...
Sekalipun engkau terkulai layu
di teratak kekecewaan...
Sekalipun engkau menangis sendu
di makam kepahitan...
Sekalipun engkau terdampar kaku
di lautan penyingkiran.....

Carilah oleh mu kebahagiaanNya
Kerana di situ pasti ada cahaya kehidupan.


HANAFIAH MZ
TUARAN
25 MEI 2010

Ahad, 20 Jun 2010

RESAM KATAK MELOMPAT II

RESAM KATAK MELOMPAT II
(Utusan Borneo 20 Jun 2010)

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
itu kewajipan bukan sunat
rasuah itu hakikat
untungnya berlipat-lipat
kursus di penjara bukan penamat
kadang hidup di sana lebih nikmat
jika bertilam wang seribu hikmat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
entah bila lompatnya tersekat
mungkin bila sakit perlu dirawat
masuk hospital untuk bedah siasat
jantung tersumbat dada disiat-siat
urat penuh lemak berselirat
sembur saja ubat jeragat
pasti jari sebatang tak mampu diangkat
tersungkur layu sekujur mayat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
itulah sebenar-benar hakikat
yang tersurat dan tersirat
hingga ke akhir hayat
walau tak diberi mandat
dia tetap bersemangat
kadang langkahnya ralat
terus dipacu sehingga larat
tak kenal penat
giat memasang jerat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
janji pada rakyat tak mampu diingat
benci rakyat melarat-larat
hingga busuk bersulam ulat
dagingnya berketuat liat
pasti rakyat terus merempat
jenuh menunggu katak akhiri hayat
hingga akhirat.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Isnin, 14 Jun 2010

RESAM KATAK MELOMPAT

RESAM KATAK MELOMPAT
(Utusan Borneo 13 Jun 2010)

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
boleh jarang boleh rapat-rapat
yang penting sempat
semua mesti dimuat
setinggi-tinggi pangkat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
biar orang kata khurafat
yang penting ada tempat
semua mesti dimuat
hasilnya yang terhormat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
biar orang meluat
tak mahu sokong tak mahu lihat
yang penting dapat manfaat
jadi pengarah syarikat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
biar dilabel pengkhianat
hilang segala peminat
yang penting semua dirembat
batu,balak,pasir,jelawat disembat
tak boleh lambat walau sesaat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
biar dibangkang rakyat
walau disumpah seribu laknat
yang penting tercapai matlamat
emas seribu karat.

Resam katak melompat
sejauh yang dapat
fikiran mesti ligat
capai anugerah sepenuh kudrat
langgar saja segala syarat
curi rahsia terperingkat
dosa boleh basuh dengan ibadat
jika sempat!



HANAFIAH MZ
TUARAN

Selasa, 8 Jun 2010

PENGISIAN CUTI PERTENGAHAN TAHUN - 1000 RANGKAP PANTUN

Tuaran 8 Jun.2010 : Cuti pertengahan tahun kali ini agak panjang. Beberapa tugasan penting perlu dilaksanakan. Menanda kertas peperiksaan,menyambut pelancong dari SAR Pucong, Selangor pada 7 Jun dan pelancong dari sebuah sekolah menengah dari negeri Pahang pada 16 Jun. Pelancong-pelancong tersebut menjadikan SMK Badin sebagai salah satu lokasi yang perlu mereka lawati semasa berada di Sabah negeri di bawah bayu pada cuti ini.

Satu tugasan peribadi juga perlu dilaksanakan. Atas saranan rakan seperjuangan juga sepupu Pn. Ony Latifah Osman dan ingatan dari sepupu Pn. Hamidah Jarimal, sepupu KAYRO, Illie Lugu, Sangguru Androd ; saya perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 1000 rangkap pantun berkisar tentang kisah sejarah,adat budaya,lagenda dan kisah-kisah dongeng masyarakat Dusun Kimaragang,Tandek untuk dibukukan.

Mampukah saya melaksanakan tugasan ini sebelum cuti berakhir ? Hanya masa yang menentukan. Tentunya doa dari rakan-rakan amat diharapkan..... Sekarang sudah ada 500 rangkap pantun yang disiapkan.500 LAGI........

Sabtu, 5 Jun 2010

BUMI KAMI TERUS MERACAU

BUMI KAMI TERUS MERACAU

Burung sedih tak lalu berkicau
Hutan yang indah telah musnah
Nyanyian haiwan menjadi parau
Kampung halaman habis punah.

Monyet siamang dan orang utan
Berpatah arang berkerat rotan
Kini mereka dipaksa berkorban
Demi manusia bernafsu syaitan.

Pokok buahan habis tumbang
Pembalak haram punya angkara
Pokok renek juga bimbang
Bila besar pasti sengsara

Hutan kami habis ditebang
Yang tinggal pokok renek
Tadahan air kian kurang
Sungaipun semakin cetek.

Dulu dalam boleh berenang
Dari hulu hingga muara
Sekarang airnya kurang
Ikanpun tak lalu berasmara.

Dulu air mengalir deras
Kini air mengalir murung
Dulu hutan menyerap panas
Kini hutan turut dipayung

Kayu meranti kayu belian
Manusia tebang begitu rakus
Gelojoh tamak tiada ehsan
Pokok ini pasti pupus.

Kunang-kunang tak lagi berkelip
Unggas tak mahu bergurau
Ikan-ikan hilang sirip
Pasir kehilangan kilau.

Burung-burung semakin risau
Hutan yang tinggal bertambah kacau
Haiwan yang ada menjadi sasau
Bumi kami turut meracau

HANAFIAH MZ
TUARAN
24 MEI 2010

Tersiar di Utusan Borneo 6/62010

Ahad, 30 Mei 2010

PANCARAN KASIH SEORANG AYAH

PANCARAN KASIH SEORANG AYAH

Ayahku
kerut di dahi mu
adalah pancaran rindumu
pada kami anak-anak mu.

Ayahku
kerak di tangan mu
adalah lakaran sayang mu
pada kami anak-anak mu.

Ayahku
rekah di telapak kaki mu
adalah nukilan perjuangan mu
membesarkan kami anak-anak mu.

Ayahku
goresan di wajah mu
adalah garapan kasih mu
yang tak terhitung pada kami anak-anak mu.

Ayahku
bening di mata mu
adalah coretan pasrah mu
pada Ilahi terhadap kami anak-anak mu.

Ayahku
himpunkanlah desir harapan mu
gumpallah segala doa mujarab mu
hembuskan pada ubun-ubun kasih mu
agar redup rahmat mu
memayungi bahtera perjuangan
kami anak-anak mu.



HANAFIAH MZ
TUARAN.

UTUSAN BORNEO 30 MEI 2010

BIARKU NYANYIKAN LAGU UNTUKMU

BIARKU NYANYIKAN LAGU UNTUKMU

Biarku nyanyikan lagu syahdu
Buat pendodoi rindumu ibuku
Agar dapat kau lelapkan matamu
Walau sepicing waktu.

Biarku nyanyikan lagu rindu
Buat melenakan sendumu ibuku
Agar dapat kau lepaskan keluhmu
Walau sebening waktu

Biarku nyanyikan lagu sayu
Buat melelapkan duka lara mu ibuku
Agar dapat kau leraikan deritamu
Walau sesaat waktu.

Biarku nyanyikan lagu merdu
Buat membangkit riang hati mu ibuku
Agar dapat kau rasa nikmat cintamu
Walau sekilas waktu.

Biarku nyanyikan lagu untukmu ibuku.


HANAFIAH MZ
TUARAN

HARIAN EXPRESS 30 MEI 2010

Sabtu, 22 Mei 2010

JAMBANGAN KASIH IBU YANG KU RINDU

JAMBANGAN KASIH IBU YANG KU RINDU

Jambangan kasih ibu
Masih di situ
Tidak pernah lari
walau beribu hari.

Jambangan kasih ibu
masih mekar
tidak pernah kaku
walau hilang akar.

Jambangan kasih ibu
Masih segar
Tidak pernah layu
Walau terbakar.

Jambangan kasih ibu
Masih ranum
Tidak pernah sendu
Malah sentiasa senyum.

Jambangan kasih ibu
Masih utuh
Tidak pernah jemu
Walau lama tak bertemu.

Jambangan kasih ibu
Masih tetap milikku
Tak pernah ragu
Walau lama ditelan waktu

Jambangan kasih ibu
Masih ku rindu
Tidak ada bandingnya
Walau di alam baru

Jambangan kasih ibu
Masih memelukku
Tak pernah jemu
Walau berdekad berlalu.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Diterbitkan di Utusan Borneo 23 Mei 2010

SELOKA HARAPAN DARI PERKAMPUNGAN

SELOKA HARAPAN DARI PERKAMPUNGAN KIMARAGANG
(Buat saudara-saudaraku di balik Banjaran Crocker Utara)

Kampung Gana di balik bukit
Tempat terpencil penduduk sikit
Walau hidup serba perit
Terus berusaha walaupun sakit.

Penduduk sekeliling mula disatu
Rumah terancang turut dibina
Taraf kehidupan mula bermutu
Rakyat gembira tidurpun lena.

Jalan ke Gana memang sengsara
Jalan berliku selutnya tebal
Datang kerajaan mula menyelanggara
Jalan berliku hendak diaspal.

Kampung Magandai amatlah jauh
Kalau ke situ mesti berpeluh
Gigih berusaha tak jenuh- jenuh
Biar susah tidak mengeluh.

Sekolah dibuka hilanglah duka
Anak belajar semua bangga
Ibu dan bapa amatlah suka
Ilmu ditimba di muka tangga.

Jauh terpencil di pedalaman
Guru datang sampaikan ilmu
Gigih berusaha cari pedoman
Murid belajar tak jemu-jemu.

Bombong Satu, Dua dan Tiga
Nama cantik jauh terpencil
Banyak buahan tiada harga
Susah keluar rakyat mengucil.

Sonsogon Paliu Sonsogon Suyad
Kampung Makatol juga saudara
Hidup bagai di liang lahad
Pedih pilu duka dan lara.

Hidup berbakti kepada bumi
Semua tumbuhan pasti ditanam
Tumbuhan inilah makanan kami
Celur sahaja tak payah garam.

Haiwan ternakan tiada kelihatan
Maklumlah tanah kami berbukit tinggi
Hanya ayam sahaja yang bersahutan
Bertenggek pilu tepi perigi.

Langsat, mangga, bulunu,tarap
Santapan keluang ketika gelap
Sayang hasilnya tak dapat digarap
Maklumlah jalan kami bagai getah skrap.

Pokok tinggi helang bersarang
Saiznya besar tiga pemeluk
Kini hutan kami terang benderang
Kerja pembalak semua ditakluk.

Pembalak gila tak kenal pokok
Asal besar semua dirodok
Mustahil kami semua disogok
Dengan hanya sebatang rokok.

Hutan tua telah dimamah
Hutan dara kini menjelma
Harta kami telah musnah
Hilang upaya selama-lama.

Haiwan membisu unggas menangis
Hutan rumahku dihiris-hiris
Hati yang tenang kini terguris
Wajarkah kami terus bermuka manis?

Dari Gana ke Samparita
Tanah subur terbentang luas
Muncul syarikat gila harta
Tanah kami cuba dirampas.

Raksaksa besar berwajah syarikat
Hendak merampas tanah beradat
Pelesitnya disuruh menyukat
Pasti rezeki kami tersekat.

Sejarah lama seakan berulang
Waktu inggeris datang bertualang
Tak mampukah ia dihalang
Oleh pemimpin yang ada sekarang?

Kimaragang bangunlah tuan
Jangan asyik merenung diri
Lama bercermin tiada tujuan
Kita akan kehilangan seri.

Kimaragang bangunlah tuan
Carilah ilmu cari pedoman
Pulanglah dengan sejuta harapan
Taburlah bunga cinta pembangunan.

HANAFIAH MZ

Jumaat, 14 Mei 2010

SYAIR TELUK MARUDU

SYAIR TELUK MARUDU

Tersebut kisah sebuah cerita
Sebuah daerah utara negara
Teluk Marudu diberi nama
Terbentang indah hujung benua.

Lautnya cantik mengalun ke tepi
Tak buat onar walau sehari
Setiap waktu rezeki diberi
Sekalian nelayan senyum sendiri.

Tiga daerah ada di tepi
Bandar Kudat sebelah kiri
Pitas megah utara sekali
Kota Marudu di tengah bumi.

Syarif Osman pembesar dahulu
Memerintah wilayah tanpa diganggu
Datang penjajah bertalu-talu
Mahu merebut wilayah itu.

Semangat juang tak pernah kurang
Pahlawan dikerah menghunus parang
Musuh yang datang pasti ditentang
Walau tentera serba kurang.

Pahlawan kita tidak berlengah
Walau terdesak dan hampar kalah
Rela mati dari menyerah
Teluk Marudu bermandi darah.

Berjuang gagah tak takut mati
Syarif Osman tidak terkecuali
Tak mahu menyerah tak mahu lari
Rela gugur di bumi sendiri.

Telah tersurat sejak azali
Perjuangan suci berakhir begini
Pahlawan gagah tersungkur mati
Dibunuh musuh ganas tak terperi.

Tanda didiri sebagai ingatan
Untuk panduan sekalian watan
Kubur berpagar berbatu nisan
Tanda gugurnya seorang insan.

Dayang Cahaya isteri disayangi
Meredah hutan selamatkan diri
Timur Marudu jalan dicari
Bersama rakyat juga menteri.

Rakyat jelata di kaki gunung
Aman dan damai hidup berkampung
Setiap hari bergotong-royong
Semua kerja sekali harung.

Hidup aman penuh beradat
Nasihat dan pesan pasti dibuat
Segala teguran pasti diingat
Janji diikat janji disemat.

Datang penjajah membuat onar
Hukum dan adat semua dilanggar
Benda terlarang semua dibenar
Jantung rakyat semua bergegar.

Raja zalim tak boleh berkuasa
Pegangan si Gunting pahlawan perkasa
Langkah diatur membuang dosa
Singkir penjajah segenap nusa.

Markas Sorinsim terus dibina
Kubu,senjata terus dijana
Rakyat diingat agar tak lena
Supaya hidup tidak merana.

Helah si Gunting bijak sekali
Musuh dihalang berkali-kali
Hasrat tercapai musuhpun lari
Rakyat bahagia hidup sendiri.


Aki Rindongon juga begitu
Menentang musuh yang tak tahu malu
Melanggar adat bertalu-talu
segala hukum buat tak tahu.

Marudu kini punyai kota
Bandar kecil deretan kereta
Kedai dibina merata-rata
Rakyat makmur hilang derita.

Pekan Kudat juga meningkat
Rakyat berjaya serata peringkat
Musuh durjana telah diikat
Segala kemajuan pasti diangkat.

Tun Mustapha kelahiran Kudat
Pahlawan gagah pemimpin berbakat
Menjana idea dan juga kudrat
Bebaskan Sabah dari penghianat.

Pitas di hujung agak terpencil
Banyak rusa dan juga kancil
Daerah besar pekannya kecil
Bangunlah pemimpin jangan mengucil.

Walau pelbagai bantuan tiba
Teluk Marudu masih berhiba
Berbagai janji tak kunjung tiba
Rakyat bingung teraba-raba.

Terasa kosong di dalam jiwa
Bantuan tiba bagai tak bernyawa
Rakyat murung rasa kecewa
Bagai semuanya masih disewa.


Tambuyukan gunung yang tinggi
Tempat si Gunting sehari-hari
Pelancong datang jika di promosi
Jauh dan dekat pasti kemari.

Kimaragang suku yang ramah
Pandai bertani juga bersembang
Tandek dan Pitas membina rumah
Kaum yang hebat tapi tiada lambang.

Pekan Tandek seakan lesu
Bagai si kecil tak minum susu
Sudahlah kecil dan nampak lusuh
Bagai berdekad tidak dibasuh.

Wahai pemimpin datanglah bertandang
Tanyalah rakyat hilangkan bimbang
Kami juga jemu kalau lama tak dipandang
Carilah jalan binalah lambang.


Para pemimpin janganlah marah
Kalau marah kan cepat tua
Nukilan ini tandanya pasrah
Cinta kami tiada dua.

Kaum Rungus hebat berkarya
Anak-anak juga berjaya
Adat budaya terus dijaja
Semenanjung Kudat dialah raja.

Sungai Potogor mengalir lesu
Kuala Bongon tempat dituju
Monyet Belanda ada di situ
Pelancong suka kalau diberitahu.

Masyarakat muda wajib belajar
mencari ilmu hingga ke menara
YB Anita harus berkejar
Menjana kemajuan walau di mana.

Mendandan diri biarlah kemas
Supaya rakan tidaklah rimas
Dr. Maximus harus bergegas
membebaskan kami yang hampir lemas.

Sungai Bengkoka mengalir gagah
Tempat berkampung masyarakat Sungai
Pinggan-pinggan di tengah-tengah
Pesat membangun tak lagi bersantai.

Pinggan-pinggan tanahnya lapang
Dataran Bengkoka diberi nama
Pesta Bengkoka terus berkumandang
Datuk Bolkiah punya jenama.

Kampung Rosob dia datang
Wajah tampan mesra bersembang
Rahim Bakri pemimpin matang
Timbalan Menteri yang kita sayang.

Angin menyapa di Kampung Malubang
Pantainya landai luas terbentang
Pulaunya cantik seakan Tanggang
Alun ombaknya berlagu riang

Haji Jaafar pendekar gagah
Kampung Telaga dia berasal
Sahabat karib Tun Mustapah
Menentang Jepun amatlah handal.

Muara Telaga Kuala Tengah
Tempat nelayan mencari nafkah
Muda-mudinya hebat main bola
Walau terpencil di hujung rimba.

Awal tahun pasti bah datang
Sungai Kinarom berwajah garang
Setiap tahun dia menyerang
Rumah rakyat habis tumbang.

Kinarom garang perlu ditentang
Jika tidak rakyatkan bimbang
Sungai ganas perlu dikekang
Biar tenang rakyatpun senang.

Piso,Banggi dan Kanibongan
Tiga wilayah sentuhan Pak Lah
Warga hidup dengan senyuman
Tanah yang subur ditanam getah.

Tasik Buyut punya lagenda
Kampung terbenam ditelan bumi
Ikannya cantik berganda-ganda
Pastinya ia kebanggaan kami.

Jauh terpencil kampung Samparita
Hendak ke sana naiklah kereta
Ada jalan tapi tak rata
Ini yang buat orang kampung derita.

Masyarakat ku ramai harus sepakat
Hubungan akrab perlu diikat
Carilah pedoman mohonlah berkat
Agar kita terus muafakat.

Syair ini hanya nukilan
Buat hiburan rakan dan taulan
Salah dan silap harap dimaafkan
Apa yang baik jadikan teladan.


HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU
14 Mei 2010