Teluk Marudu

Teluk Marudu

Selasa, 19 Februari 2013

AKADEMIK CEMERLANG MAMPU BAWA PERUBAHAN



AKADEMIK CEMERLANG MAMPU BAWA PERUBAHAN


Tuaran : Pelajar harus belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah taraf hidup keluarga, kata Pengerusi PIBG SMK Badin, Tuan Haji Noorzain Hj. Tawi ketika merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang SMK Badin di sini kelmarin.

Hanya melalui kecemerlangan akademik pelajar-pelajar mampu membawa perubahan kehidupan keluarga masing-masing ke tahap yang lebih baik, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyeru semua ibubapa agar memberi kerjasama kepada pihak sekolah dengan berganding bahu melonjakkan pencapaian akademik para pelajar di sekolah ini.

Beliau percaya dengan kerjasama yang jitu pencapaian akademik pelajar akan melonjak ke tahap yang semua pihak inginkan.

Beliau turut mengingatkan semua pelajar agar mengambil kesempatan yang terhidang dengan tidak mensia-siakan usaha pihak sekolah yang menjalankan pelbagai aktiviti kecemerlangan akademik .

Seramai 75 orang pelajar dari tingakatan satu, dua,empat dan enam rendah menerima sijil dan piala masing-masing menerusi pencapaian mereka dalam peperiksaan akhir tahun 2012.

Turut hadir AJK PIBG SMK Badin, guru-guru serta 1780 orang pelajar.

Harian Express, 19 Feb. 2013. Hal.6

Selasa, 9 Oktober 2012

KURSUS HOT POTATOES UNTUK GURU

Tarikh : 09 Okt 2012
Masa : 08.00 - 2.00
Tempat : TSL, SMK Badin






Ahad, 19 Ogos 2012

SAMBUTAN ULANGTAHUN SMK BADIN KE 36,BULAN MERDEKA


SMK BADIN RAI ULANGTAHUN KE 36, BULAN MERDEKA

Tuaran : Majlis sambutan ulang tahun penubuhan SMK Badin kali ke 36 dan Sambutan Perasmian Bulan Kemerdekaan disambut sederhana tetapi meriah di perkarangan medan perhimpunan SMK Badin, di sini kelmarin.

Menurut Pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong , penganjuran majlis seumpama ini dapat mengimbau jerih perih perjuangan anak-anak SMK Badin menggapai kecemerlangan dalam pendidikan yang dulunya dikenali sebagai Government Junior Secondary School Tuaran (GJSS Tuaran).

Government Junior Secondary School Tuaran yang ditubuhkan pada tahun 1967 pada mulanya menumpang di bangunan SRK Pekan Tuaran. Menjelang tahun 1973 bangunan SRJK Chen Sin dipinjamkan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan satu dan kelas peralihan.

Pada tahun 1974 bangunan tetap SMK Badin siap dibina yang terdiri dari dua blok asrama dan tiga blok bangunan bilik darjah.

Pada tahun 1976, nama GSJJ Tuaran atau SMK Tuaran kemudiannya ditukar menjadi SMK Badin bagi mengenang jasa OKK Badin bin Bendara, Ketua Daerah Tuaran pada era sebelum kemerdekaan.

“Selain mengetahui sejarah perkembangan sekolah, aktiviti seumpama ini dapat mewujudkan rasa kecintaan terhadap sekolah serta dapat memupuk semangat nasionalisma apatah lagi apabila laksanakan bersama sambutan bulan kemerdekaan 2012”, tambah Lim.

Beberapa program yang dilaksanakan menceriakan lagi dwi sambutan ini antaranya persembahan Sketsa Pendidikan Dulu dan Sekarang dan Persembahan koir Satu Malaysia oleh pelajar-pelajar Pra U. Paluan Kompang Formasi oleh Pasukan Kompang Asrama SMK Badin, deklamasi sajak serta persembahan pidato oleh adik Ain Fatteni Rusli dan tayangan video berkaitan SMK Badin.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pengerusi PIBG, Haji Noorzain Hj. Tawi menyeru semua pelajar supaya mengambil peluang untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia pendidikan yang terbuka luas.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi PIBG sekolah berkenaan , Tuan Haji Noorzain Hj. Tawi turut dihadiri oleh ahli Alumni GSJJ Tuaran. Hadir sama Timbalan Pengerusi PIBG 1 Awang Bungsu Awang Matiasin dan Timbalan Penegrusi PIBG 2 Richard Daim serta ahli jawatan kuasa.

Seramai 1700 orang pelajar turut menyaksikan perlaksanaan program berkenaan.

Daily Express , 19 Ogos 2012
Utusan Borneo 23/8/2012








Selasa, 3 Julai 2012

2000 KUNJUNGI KARNIVAL BADIN








2000 KUNJUNGI KARNIVAL BADIN 2012

Tuaran : Siri kedua Karnival Kerjaya, Kokurikulum dan Tamu Badin mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar, guru serta ibubapa sekitar daerah Tuaran yang berlangsung selama sehari di sini kelmarin.

Penganjuran Karnival Kerjaya, Kokurikulum dan Tamu Badin merupakan medan untuk pelajar mendapat maklumat berkaitan laluan kerjaya yang mereka minati, kata Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong.

Sebanyak empat agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Institut Kemahiran Mara, Jabatan Tenaga Rakyat serta Inti Kolej mengambil bahagian dalam pameran kerjaya selama sehari bertempat di ruang legar Dewan Seri Andalas SMK Badin.

Selain pameran kerjaya dari institusi terpilih, program ini juga menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar menghayati serta mengalami sendiri amalan serta proses dalam dunia perniagaan melalui penyertaan mereka dalam aktiviti Tamu Badin.

Sebanyak 56 gerai jualan dengan beraneka macam makanan dan minuman dibuka kepada pengunjung. Beberapa galeri permainan turut menjalankan perniagaan masing-masing.

Seramai 2000 orang mengunjungi karnival berkenaan.

Daily Express 01/07/2012

Selasa, 8 Mei 2012

JUARA KOMPANG

BERI RUANG KEPADA PELAJAR UNTUK KEMBANG BAKAT

Tuaran : Beri ruang secukupnya kepada pelajar untuk mengembangkan bakat masing-masing kata Encik Yahya Mustafa,Penolong Kanan Kokurikulum SMK Badin, semasa menyampaikan ucapan dalam majlis penutupan pertandingan kompang antara sekolah-sekolah daerah Tuaran di Dataran Perhimpunan SMK Badin di sini kelmarin.

Melalui penyertaan pelajar dalam pelbagai pertandingan khususnya pertandingan paluan kompang formasi bukan sahaja dapat mengisi masa lapang pelajar-pelajar berkenaan malahan dapat pula mencungkil serta mengembangkan bakat pelajar-pelajar berkenaan dalam seni budaya tradisional, tegas beliau lagi.

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan di daerah Tuaran menampilkan SMK Badin dan SMK Tenghilan bagi kategori sekolah menengah . Sekolah rendah diwakili oleh SK Mengkabong, SK Tambalang dan SK Baru-Baru.

SMK Badin muncul sebagai johan bagi kategori sekolah menengah. Tempat kedua dimenangi oleh SMK Tenghilan.

SK Baru-Baru memenangi tempat pertama kategori sekolah rendah. Tempat kedua dimenangi oleh SK Tambalang manakala SK Mengkabong menduduki tempat ketiga.








Daily Express. 8 Mei 2012. Hal.9

Ahad, 29 April 2012

ATASI MASALAH PEMANASAN GLOBAL BERSUNGGUH-SUNGGUH



ATASI MASALAH PEMANASAN GLOBAL BERSUNGGUH-SUNGGUH

Tuaran: Ahli Pandu Puteri diseru sentiasa berusaha dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menangani pelbagai masalah antaranya seperti masalah pemanasan global.


Demikian kata Ketua Pesuruhjaya Cawangan, Puan Normah Datuk Jaafar ketika merasmikan program “Thinking Day” anjuran Persatuan Pandu Puteri Daerah Tuaran di perkarangan medan perhimpunan SMK Badin pada Sabtu.


“Selaras dengan tema program “Save Our Earth”, seseorang ahli Pandu Puteri boleh melakukan pelbagai perkara untuk merealisasikan saranan berkenaan antaranya dengan tidak membuang barangan plastik di merata tempat serta menggunakan aerosol secara berlebihan”, kata beliau lagi.


Beliau juga menyeru guru-guru penasihat Pandu Puteri supaya terus meningkatkan kemahiran seterusnya menduduki ujian untuk menjadi jurulatih bertauliah.


Beliau turut menanam pokok tanda sokongan terhadap langkah mengatasi masalah pemanasan global kemudian melawat gerai-gerai pameran yang dikelolakan oleh Pandu Puteri SMK Badin.


Seramai 100 orang ahli Pandu Puteri dari sekolah menengah dan sekolah rendah daerah Tuaran hadir dalam acara tahunan persatuan berkenaan. Turut hadir Penolong Pesuruhjaya Pandu Puteri daerah Tuaran, Puan Jeanny Ghani.


Utusan Borneo, 29.4.2012 Hal.B13





Sabtu, 28 April 2012

INOVASI DALAM PENGAJARAN LAHIR PELAJAR CEMERLANG

INOVASI DALAM PENGAJARAN LAHIR PELAJAR CEMERLANG

Tuaran : Inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat menzahirkan idea kreatif dalam kalangan guru malah mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik.

Demikian kata Penolong Kanan I, SMK Badin, Puan Farizaini Nordin semasa menyampaikan ucapan sempena Karnival Pendidikan Gabungan Kelab dan Persatuan Akademik 2012, di sini kelmarin.

Sebanyak enam bidang utama dan dua jabatan lain bersama 32 panitia mata pelajaran mengambil bahagian dalam pameran sehari di medan perhimpunan sekolah berkenaan.

Antara yang terlibat ialah Bidang Bahasa, Sains Matematik, Kemanusiaan, Vokasional, Pendidikan Tingkatan Enam serta Pendidikan Khas mempamerkan bahan inovasi dan kajian tindakan yang dihasilkan oleh guru-guru sekolah berkenaan.

Utusan Borneo. 28.4.2012. Hal. B7