Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 14 Oktober 2010

KENALI DAERAH ANDA : Kota Marudu Secara Ringkas

LOKASI

Daerah Kota Marudu terletak di utara Sabah.Ia bersempadan dengan daerah Kudat dan Pitas di utara, daerah Beluran di timur, daerah Ranau di selatan dan daerah Kota Belud di barat. Kedudukan daerah ini ialah 6’ 30” darjah utara garis lintang 116’ 45” darjah timur garis bujur.

Kota Marudu terletak kira-kira 120 km dari Kota Kinabalu, 70 km dari Kudat dan 67 km dari Pitas.

KELUASAN

Keluasan daerah ini ialah 1184 km persegi dan mempunyai 116 buah kampung yang terbahagi kepada 9 mukim.

RUPA BUMI

Mempunyai kawasan tanah rata dan bukit-bukau serta merupakan tanah yang subur untuk pertanian. Tiga batang sungai utama membekalkan sumber air kepada daerah ini iaitu sungai Bandau, Sungai Kanarom dan sungai Tandek. Bukit-bukau adalah lanjutan daripada banjaran James Brooke di sebelah barat dan banjaran Crocker di selatan.

Pantai di Kota Marudu terdapat di sepanjang kawasan selatan Teluk Marudu yang mengunjur dari Tigaman, Kuala Bongon hingga ke Tanjung Batu. Sebahagian besar kawasan pantai adalah merupakan tanah lumpur yang ditumbuhi oleh pokok bakau. Kawasan pantai di Marasinsim dan Tanjung Batu adalah pantai pasir. Satu lagi kawasan pantai laut berhadapan dengan Laut Cina Selatan, bertempat di kampung Teringai Laut, mempunyai pemandangan yang indah dan berpotensi dijadikan pusat pelancongan.

LATAR BELAKANG SEJARAH

Sebelum Sabah mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia, daerah ini dikenali sebagai Bandau. Nama ini kemudiannya ditukar kepada Kota Marudu pada tahun 1974 sebagai lambang kejayaan rakyat di daerah ini khususnya menuntut kebebasan dari kuasa penjajah.

Di muara sungai Marudu, tidak jauh dari situ, terletak Kubu Pertahanan Syarif Osman yang dilabel oleh penjajah sebagai pemberontak pada tahun 1845. Syarif Osman ditewaskan oleh satu angkatan perang Raja Sarawak, James Brooke dengan bantuan sebuah kapal Perang Inggeris , HMS Iris yang diketuai oleh Kapten Mundy.

Selasa, 12 Oktober 2010

Terkulai

TERKULAI
(New Sabah Times, 12.10.2010. hal.16)

Terkulai longlai perit membelai
rindu tersadai kasih terlerai
benci merantai luka terurai
sedih membuai duka dituai.

Awan berolak mimpi membuak
mendung berarak menyimpul muak
hati tersentak cuak mendesak
resah berkocak rindunya retak
kasih tercampak nafasnya sesak.

Manis hilang sepah dibuang
pedih berlinang sedih memanjang
hatinya walang remang bergenang
hidupnya gersang tenang menyimpang
ranjangnya pincang mimpi pun sumbang.


HANAFIAH MZ
TUARAN.

Isnin, 11 Oktober 2010

ZIKIR KASIH

ZIKIR KASIH
(Utusan Borneo, 10.10.2010)

Cinta sayang tersenyum
setia kasih menguntum
mesra rindu meranum
denyut kasih mengharum.

Debar jantung bergetar
mesra kasih ditebar
kasih mekar setakar
sayang segar berakar.

Manja ria bergenang
manis santun dikenang
hampar sayang dibentang
tasik kasih direnang.

Cangkir rindu diukir
desir kasih bersyair
sayang pasti mengalir
zikir kasih dizahir.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Kelapa,Komoditi Yang dipinggirkan










TAJUK : KELAPA , KOMODITI YANG DIPINGGIRKAN
OLEH : HANAFIAH MZ ZULKIFLY
(Utusan Borneo,11.10.2010)

Sebut sahaja kelapa, pasti tergambar jelas di ruang mata sejenis pokok yang menjulang tinggi ke langit, tanaman komoditi yang sinonim dengan utara negeri Sabah. Pada tahun 60an, 70an dan 80an buku-buku teks sekolah khususnya mata pelajaran Ilmu Alam, memaparkan tiga daerah di utara Sabah itu Semenanjung Kudat, Dataran Marudu dan Semenanjung Bengkoka merupakan antara pengeluar utama kelapa di Malaysia dan yang utama di Sabah. Ladang kelapa ketika itu luas terbentang dan tanaman pilihan pertama pekebun ketika itu.

Kelapa yang menjadi komoditi utama di tiga daerah pada era 60an, 70an dan awal 80an diktiraf sebagai pokok seribu guna. Buah kelapa boleh dikeringkan dan dijadikan minyak kelapa. Lidi sesuai dijadikan penyapu dan pencucuk satay. Sabut juga boleh dijadikan penyapu serta sesuai sebagai bahan pembuatan tilam. Batang kelapa yang matang boleh dijadikan papan dan beroti. Tidak hairanlah bahawa keistimewaan pokok kelapa tersebut meletakkannya sebagai tanaman utama pekebun ketika itu di utara Sabah.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa antara banyak-banyak bahagian,buah kelapa itu sendirilah yang menjadi nadi utama keistimewaan pokok kelapa. Buah kelapa yang matang boleh dibelah,dikeringkan dan dihantar ke kilang-kilang untuk diproses untuk dijadikan minyak masak. Oleh kerana minyak masak dari sumber lain belum ada atau belum popular, maka minyak masak berasaskan kelapa menjadi pilihan utama yang tidak disaingi oleh minyak masak yang lain.

Di kampung-kampung, proses menghasilkan minyak kelapa dilakukan oleh masyarakat itu sendiri. Berbekalkan 15 biji ke 20 biji buah kelapa, masyarakat kampung dapat menghasilkan antara empat ke lima botol minyak masak cukup untuk menampung keperluan selama tiga bulan. Proses menghasilkan minyak masak tersebut memakan masa yang agak lama, kira-kira tiga ke empat jam. Sisa santan kelapa yang dimasak kelihatan seperti gumpalan najis namun enak dimakan sehingga terhasillah teka-teki yang berbunyi;

“Sebanyak-banyak tahi, tahi apa yang paling sedap di makan?”. Jawapannya sudah tentu tahi kelapa.

Gadis-gadis kampung sering menggunakan santan kelapa sebagai bahan untuk cuci rambut ketika mandi. Rambut yang dicuci bersama santan kelihatan berkilau-kilau memancar dan dipercayaai dapat melebatkan pertumbuhan mahkota perempuan itu.

Masyarakat kampung juga menggunakan buah kelapa sebagai bahan makanan utama ternakan khususnya ayam. Sama ada kelapa dibelah dan dibiarkan begitu sahaja ataupun isinya dihiris-hiris kecil boleh menjadi sumber utama makanan ayam yang kaya dengan nutrien.

Bagi mereka yang berhasrat menjala ikan di sungai atau kolam, santan kelapa boleh dijadikan umpan kepada ikan-ikan. Sisa santan dicampak ke sungai beberapa minit sebelum menebarkan jala. Pasti ikan-ikan akan berkumpul untuk menikmati santan yang lemak dan si penjala ikan pasti tersenyum lebar apabila ikan tersangkut pada jala yang ditebarnya.

Pada tahun 70an, harga satu pikul kelapa kering pernah mencecah RM 70.00. Seseorang yang mempunyai lima ke sepuluh ekar kebun kelapa masa itu boleh tersenyum lebar dengan pendapatan antara RM 1700.00 ke RM 2500.00 setiap tiga bulan.Tidak keterlaluan dikatakan bahawa golongan yang mempunyai kebun kelapa pada masa itu merupakan golongan yang mampu.

Namun sejarah kegemilangan kelapa telah berlalu. Pokok yang mendominasi utara Sabah itu mula dipinggirkan. Pokok yang gah dengan gelaran “Pokok seribu guna”, mula dilupakan. Sama seperti manusia, apabila umur menjangkau 50 ke 60 tahun, peranannya semakin berkurangan malah ada ketikanya dipinggirkan terus. Begitu juga nasip yang menimpa pokok kelapa. Semakin lanjut usia, semakin tinggilah pokok kelapa tersebut. Sifatnya yang tinggi melangit dan membawa buahnya pada kedudukan yang tinggi, menyukarkan manusia untuk mencapai buah tersebut dan terpaksa menunggu buah itu gugur ke bumi. Betullah kata orang, adakalanya kedudukan yang terlalu tinggi kadang-kadang tidak membawa apa-apa makna malah merugikan diri sendiri.

Kini tempat kelapa mula diambil alih oleh saudara tirinya iaitu kelapa sawit yang dipercayaai berasal dari Afrika. Jika anda sampai ke Kota Marudu, mata anda akan dihidangkan dengan lautan kelapa sawit yang terbentang luas menghiasi Dataran Marudu.
Jika anda memutuskan untuk ke Kudat, sepanjang perjalanan anda dihiasi dengan pandangan pokok sawit yang tumbuh subur sepanjang jalan. Begitu juga halnya jika anda mahu ke Pitas. Beribu-ribu pokok sawit tumbuh menghijau menghiasi lanskap daerah Pitas. Sesekali anda akan melihat kelibat pokok kelapa yang hanya tinggal beberapa ratus pokok sahaja menjulang ke langit seolah-olah berperanan sebagai peninjau menjaga sawit dari ancaman musuh.

Namun seperti orang lama, kelapa tidak boleh dibuang begitu sahaja. Kelapa tetap dengan nilai-nilainya yang tersendiri. Ketika musim perayaan seperti sambutan Hari Raya, Deepavali ataupun Tahun Baru Cina, permintaan terhadap kelapa tua melonjak tinggi sehingga pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.Maklumlah semakin tua sebiji kelapa makin banyaklah santannya. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara jiran untuk memenuhi permintaan tempatan.Alangkah eloknya jika pekebun tempatan dapat memenuhi permintaan tersebut.Dengan itu wang kita tidak akan mengalir ke luar negara.

Keupayaan melihat dan mencipta peluang merupakan elemen penting yang saya percaya dapat mengembalikan kegemilangan kelapa. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan di Kampung Salut, Kota Kinabalu yang dipenuhi oleh gerai-gerai menjual kelapa. Kelapa muda, kelapa bakar dan puding kelapa dijual dengan begitu laris. Tidak kira pagi, petang atau malam gerai-gerai tersebut sentiasa dipenuhi oleh pengunjung yang berminat dengan kelazatan produk kelapa tersebut.

Sayang sekali, saya tidak melihat hal yang sama berlaku di utara Sabah yang pernah mendapat jolokan pengeluar utama kelapa Malaysia suatu ketika dahulu. Walaupun daerah Kudat gah dengan Pesta Kelapa, Kota Marudu dengan Pesta Jagung dan Pitas yang langsung tidak mengaitkan pestanya dengan sebarang tanaman, hanya Pesta Bengkoka sahaja seolah-olah daerah-daerah ini melupakan tanaman yang pernah menjadi identitinya suatu ketika dahulu.

Masih belum terlambat bagi ketiga-tiga daerah ini untuk mencipta semula kegemilangan kelapa seperti pada zaman tahun 70an dan 80an. Dengan meminjam idea peniaga-peniaga gerai kelapa bakar di tepi jalan Kampung Salut, Kota Kinabalu, hal yang sama boleh dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik antara Kota Marudu – Kudat dan Kota Marudu – Pitas.

Bantuan dari pihak-pihak yang berkenaan untuk merancang dan melaksanakan strategi pemasaran buah kelapa secara berkesan amat penting untuk menjana semula kegemilangan kelapa di utara Sabah.

Pengenalan klon kelapa yang rendang, berbuah lebat, harum , manis dan berupaya mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat selepas ditanam harus menjadi keutamaan kementerian berwajib bagi menyelamatkan kebun-kebun kelapa dari bertukar menjadi ladang sawit.

Sehingga ke hari ini saya percaya dan tetap percaya bahawa kelapa masih mendapat tempat dalam peta tanaman negeri Sabah kerana sifatnya yang masih diperlukan oleh masyarakat seperti ungkapan peribahasa yang berbunyi; “untung batu tenggelam, untuk sabut timbul”. Pasti sabut kelapa akan terus membantu kelapa timbul dalam kerancakan pertanian di negara kita. Sama-sama kita nantikan dan sama-sama kita nikmati kelazatan kelapa muda, kelapa bakar dan puding kelapa.

Ahad, 3 Oktober 2010

Gurindam Sahabat

GURINDAM SAHABAT
(Utusan Borneo. 03.10.2010. hal.B6)

Sahabat itu umpama ubat
Sedia merawat kawan melarat.

Sahabat setia amat bermakna
Jadi pendorong masa merana.

Sahabat sejati sukar dicari
Sehidup semati tak akan lari.

Sahabat baik tak akan tidur
Salah dan silap diakan tegur.

Sahabat ceria pengubat luka
Jadi penghibur kala berduka.

Sahabat berjenaka kita ceria
Hati gembira riang dan ria.

Sahabat pendengki patut dihalau
Singkir dia sebelum mengacau.

Sahabat mengumpat patut disekat
Beri nasihat setiap saat.

Sahabat rumahtangga suami isteri
Pupuklah kasih hingga berseri.

Sahabat sebenar Rabbulizzati
Maha penyayang maha mengasihi.


HANAFIAH MZ
TUARAN.

Rabu, 29 September 2010

TASIK BUYUT, LAGENDA YANG DILUPAKAN



TASIK BUYUT : LEGENDA YANG DILUPAKAN
Oleh : Hanafiah MZ,

Namanya tidak sehebat Tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga yang mendiami tasik tersebut.Jauh sekali jika dibandingkan dengan kehebatan Tasik Malaya atau Tangkuban Perahu di Indonesia. Malahan sebahagian penduduk negeri di bawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini. Namun Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita ketelanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia hingga menyimpang dari amalan hidup seharian.

Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui. Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.

Kisahnya bermula disebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Bogaya kira-kira 500 tahun lampau. Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani. Sudah menjadi kebiasan suku Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil yang berlipat ganda diraikan dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung. Secara kebetulan penduduk Kampung Bogaya tinggal dalam Rumah Panjang yang suku ini kenali sebagai “Binatang”.

Majlis keramaian yang dijalankan disulami dengan paluan gong dan kulintangan sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol dan mangandak.Acara minum tapai merancakkan lagi majlis tersebut. Akibat telalu banyak minum tapai, para penari semakin mabuk. Langkah tari semakin perlahan dan akhirnya terkulai layu menyembah lantai. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya.

Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari. Cadangan itu disetujui oleh yang lain. Lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun. Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat. Aksesori yang dipakai oleh kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenarnya

Tanpa membuang masa ,mereka memapah haiwan-haiwan tersebut menari. Pada mulanya agak susah juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol. Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing. Sememangnya haiwan itu telah dirasuk syaitan sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia. Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut menyemarak kemeriahan majlis itu. Manusia yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari tindakan tersebut mengundang kemurkaan yang maha pencipta.

Tasik Buyut : Pandangan dari puncak bukit perumahan kakitangan kerajaan.

Langit yang pada mulanya terang – benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum-dentum. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya seorang dua yang mula merasakan kelainan mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.

Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang mula bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria. Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa. Namun semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang. Setelah rumah panjang tersebut tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi. Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.

Tasik Buyut terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu. Namun kisah kewujudannya seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.

Alangkah eloknya jika kisah kewujudan tersebut diwar-warkan dan tasik itu sendiri ditambah nilai menjadi sebuah pusat pelancongan di utara Sabah. Jalan masuk ke tasik tersebut perlu dinaik taraf supaya memudahkan pelancong menjejaki Tasik Buyut. Kemudahan berehat, ruang memancing juga boleh disediakan untuk menarik minat golongan kaki pancing. Akhirnya masyarakat setempat akan mendapat manfaatnya jika Tasik Buyut diangkat menjadi pusat pelancongan.

Tersiar di : Utusan Borneo, Khamis 30.09.2010. Hal. B2

Isnin, 27 September 2010

HIJAU

HIJAU
(New Sabah Times. 28.9.2010. hal.16)

Hutan hijau luas terbentang
Mata memandang terasa lapang
Gundah gulana bertukar riang
Hati yang risau menjadi tenang.

Hutan hujan khatulistiwa
Hijau tenang istimewa
Oksigen dibekal tiada sewa
Senyum menghijau meresap ke jiwa.

Hutan hijau segar memayung
Di bawah pokok redup dan nyaman
Sinaran suria seperti murung
Di pagar daun warna kehijauan.

Hutan hijau membawa berkat
Setiap saat kekal manfaat
Manusia haiwan dapat syafaat
Bahagia hidup bertambah rahmat.

Hutan hijau warisan berzaman
Wajar dikekal menghiasi laman
Penjagaan hutan mesti diterapkan
Supaya warisan dapat dikekalkan.

Hutan hijau lambang kesetiaan
Tak pernah leka memayung kehidupan
Ditebang dibakar tidak dihiraukan
Kekal tumbuh ke akhir zaman.

Hutan hijau lambang kesempurnaan
Sumber rujukan dalam perubatan
Selalu diungkap dalam percintaan
Tiang harapan dalam kehidupan.

Hutan hijau lambang keikhlasan
Sedia memberi tanpa balasan
Ditebang dibakar penuh penyiksaan
Kekal berkhidmat memberi harapan.


HANAFIAH MZ
TONGKUNGON,TANDEK