Teluk Marudu

Teluk Marudu

Ahad, 19 Ogos 2012

SAMBUTAN ULANGTAHUN SMK BADIN KE 36,BULAN MERDEKA


SMK BADIN RAI ULANGTAHUN KE 36, BULAN MERDEKA

Tuaran : Majlis sambutan ulang tahun penubuhan SMK Badin kali ke 36 dan Sambutan Perasmian Bulan Kemerdekaan disambut sederhana tetapi meriah di perkarangan medan perhimpunan SMK Badin, di sini kelmarin.

Menurut Pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong , penganjuran majlis seumpama ini dapat mengimbau jerih perih perjuangan anak-anak SMK Badin menggapai kecemerlangan dalam pendidikan yang dulunya dikenali sebagai Government Junior Secondary School Tuaran (GJSS Tuaran).

Government Junior Secondary School Tuaran yang ditubuhkan pada tahun 1967 pada mulanya menumpang di bangunan SRK Pekan Tuaran. Menjelang tahun 1973 bangunan SRJK Chen Sin dipinjamkan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan satu dan kelas peralihan.

Pada tahun 1974 bangunan tetap SMK Badin siap dibina yang terdiri dari dua blok asrama dan tiga blok bangunan bilik darjah.

Pada tahun 1976, nama GSJJ Tuaran atau SMK Tuaran kemudiannya ditukar menjadi SMK Badin bagi mengenang jasa OKK Badin bin Bendara, Ketua Daerah Tuaran pada era sebelum kemerdekaan.

“Selain mengetahui sejarah perkembangan sekolah, aktiviti seumpama ini dapat mewujudkan rasa kecintaan terhadap sekolah serta dapat memupuk semangat nasionalisma apatah lagi apabila laksanakan bersama sambutan bulan kemerdekaan 2012”, tambah Lim.

Beberapa program yang dilaksanakan menceriakan lagi dwi sambutan ini antaranya persembahan Sketsa Pendidikan Dulu dan Sekarang dan Persembahan koir Satu Malaysia oleh pelajar-pelajar Pra U. Paluan Kompang Formasi oleh Pasukan Kompang Asrama SMK Badin, deklamasi sajak serta persembahan pidato oleh adik Ain Fatteni Rusli dan tayangan video berkaitan SMK Badin.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pengerusi PIBG, Haji Noorzain Hj. Tawi menyeru semua pelajar supaya mengambil peluang untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia pendidikan yang terbuka luas.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi PIBG sekolah berkenaan , Tuan Haji Noorzain Hj. Tawi turut dihadiri oleh ahli Alumni GSJJ Tuaran. Hadir sama Timbalan Pengerusi PIBG 1 Awang Bungsu Awang Matiasin dan Timbalan Penegrusi PIBG 2 Richard Daim serta ahli jawatan kuasa.

Seramai 1700 orang pelajar turut menyaksikan perlaksanaan program berkenaan.

Daily Express , 19 Ogos 2012
Utusan Borneo 23/8/2012