Teluk Marudu

Teluk Marudu

Ahad, 29 April 2012

ATASI MASALAH PEMANASAN GLOBAL BERSUNGGUH-SUNGGUH



ATASI MASALAH PEMANASAN GLOBAL BERSUNGGUH-SUNGGUH

Tuaran: Ahli Pandu Puteri diseru sentiasa berusaha dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menangani pelbagai masalah antaranya seperti masalah pemanasan global.


Demikian kata Ketua Pesuruhjaya Cawangan, Puan Normah Datuk Jaafar ketika merasmikan program “Thinking Day” anjuran Persatuan Pandu Puteri Daerah Tuaran di perkarangan medan perhimpunan SMK Badin pada Sabtu.


“Selaras dengan tema program “Save Our Earth”, seseorang ahli Pandu Puteri boleh melakukan pelbagai perkara untuk merealisasikan saranan berkenaan antaranya dengan tidak membuang barangan plastik di merata tempat serta menggunakan aerosol secara berlebihan”, kata beliau lagi.


Beliau juga menyeru guru-guru penasihat Pandu Puteri supaya terus meningkatkan kemahiran seterusnya menduduki ujian untuk menjadi jurulatih bertauliah.


Beliau turut menanam pokok tanda sokongan terhadap langkah mengatasi masalah pemanasan global kemudian melawat gerai-gerai pameran yang dikelolakan oleh Pandu Puteri SMK Badin.


Seramai 100 orang ahli Pandu Puteri dari sekolah menengah dan sekolah rendah daerah Tuaran hadir dalam acara tahunan persatuan berkenaan. Turut hadir Penolong Pesuruhjaya Pandu Puteri daerah Tuaran, Puan Jeanny Ghani.


Utusan Borneo, 29.4.2012 Hal.B13





Sabtu, 28 April 2012

INOVASI DALAM PENGAJARAN LAHIR PELAJAR CEMERLANG

INOVASI DALAM PENGAJARAN LAHIR PELAJAR CEMERLANG

Tuaran : Inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat menzahirkan idea kreatif dalam kalangan guru malah mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik.

Demikian kata Penolong Kanan I, SMK Badin, Puan Farizaini Nordin semasa menyampaikan ucapan sempena Karnival Pendidikan Gabungan Kelab dan Persatuan Akademik 2012, di sini kelmarin.

Sebanyak enam bidang utama dan dua jabatan lain bersama 32 panitia mata pelajaran mengambil bahagian dalam pameran sehari di medan perhimpunan sekolah berkenaan.

Antara yang terlibat ialah Bidang Bahasa, Sains Matematik, Kemanusiaan, Vokasional, Pendidikan Tingkatan Enam serta Pendidikan Khas mempamerkan bahan inovasi dan kajian tindakan yang dihasilkan oleh guru-guru sekolah berkenaan.

Utusan Borneo. 28.4.2012. Hal. B7

Jumaat, 27 April 2012

PDRM,JABATAN PELAJARAN BEKERJASAMA BENTUK MODAL INSAN

Kota Belud: Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pelajaran Sabah saling bekerjasama membentuk modal insan dengan menggiatkan hubungan, saling berinteraksi, bersama menanamkan semangat patriotik khususnya dalam kalangan anggota kadet polis supaya menjadi ‘role model’ kepada masyarakat khususnya remaja.

Demikian kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamzah Taib ketika merasmikan majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat negeri Sabah di Padang SK Tambulion, Kota Belud kelmarin.

Beliau turut menyeru semua anggota Kor Kadet Polis supaya menjadi mata dan telinga PDRM dalam membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat melalui Rakan Cop atau melalui pegawai atau anggota PDRM di daerah masing-masing.

Seramai 275 anggota Kor kadet Polis dari enam zon terlibat dalam perkhemahan tahunan peringkat negeri Sabah pasukan berkenaan.

Zon Barat yang menggabungkan Tuaran, Ranau, Penampang dan Kota Kinabalu muncul sebagai johan keseluruhan dengan memenangi acara menembak , ronda pandu arah, mara lasak dan acara kebudayaan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Sarjan Kadet terbaik dimenangi oleh Sarjan Kadet Mahrup Nurjimar dari SMK Badin, Tuaran. Kategori wanita dimenangi oleh Sarjan Kadet Suhana Fung dari SM Stella Maris, Kota Kinabalu. Kedua-duanya mewakili zon Barat. Acara kawad kaki lelaki dimenangi oleh pasukan zon Sandakan manakala zon memenangi acara kawad kaki perempuan.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Hj. Yusin, Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah, SAC II Datuk Syed Ahmad Syed Hassan,Ketua Polis Daerah Kota Belud DSP Mohan A/L. Nadesan serta Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud Abd. Bakhrin Mohd. Yusof

Utusan Borneo. 28.4.2012. Hal.B6

Sabtu, 21 April 2012

32 PELAJAR CEMERLANG TERIMA SIJIL

TAJUK: 32 PELAJAR CEMERLANG TERIMA SIJIL Tuaran : Seramai 32 orang pelajar cemerlang menerima sijil penghargaan dalam satu majlis khas yang diberi nama Majlis Anugerah Kinabalu bagi menghargai pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan PMR,SPM,STPM 2011 di Dataran Perhimpunan SMK Badin, di sini kelmarin. Penerima sijil penghargaan terdiri dari calon PMR Masniati Mustafa (9A), Awangku Muiz Ag Mumin (8A), Nur Idayu Aldin (8A), Shahidah Masri (8A), Maryam Sarkauvi (8A), Wendy Chong May Shia (8A), Muhammad Nizam Nasip (8A), Mohd. Faiz Saibol (8A) dan Florisca Aldina Godulus (7A) serta 19 yang lain. Penerima anugerah bagi calon SPM 2011 terdiri dari Wan Nur Suhaida Wan Mahadi (9A), Mohd. Rezwan Rahman (7A,3B), Mohd. Hadshaari (6A,2B), Nur Faizurah dan Nur Rohateqah (7A,1B,1C), Nurfarahin (5A,1B,1C), Subaida (5A, 3C). Seorang pelajar pendidikan khas masalah penglihatan Mailin Mopinpin (6A,1C,1D) turut menerima anugerah yang sama. Calon STPM 2011 yang menerima sijil penghargaan ialah Norainey Joe (3.83), Mohd Rafizey Dalin (3.75), Erni Eliza Yunos (3.58) dan Noorliyana Jaapar (3.50). Terdahulu dalam majlis yang sama, yang YDP PIBG SMK Badin, Haji Norzain Hj Tawi semasa menyampaikan ucapan mengingatkan pelajar supaya sentiasa mengenang jasa yang dicurahkan oleh ibubapa serta guru-guru yang bertungkus-lumus memastikan anak-anak atau anak didik mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan. Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Puan Tah Nia Hj Jaman, Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong, Timbalan YDP PIBG Awang Bungsu Ag Matiasin, guru-guru serta ibubapa pelajar yang diraikan. Sumber : Daily Express (BM), 21/4/2012. Hal.6

Isnin, 16 April 2012

PERKHEMAHAN PENGAWAS

PERKHEMAHAN PENGAWAS

Seramai 72 orang pengawas sekolah SMK Badin menyertai perkhemahan pengawas yang adakan di Padang SMK Badin. Program tiga hari anjuran bersama Unit Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling itu bertujuan membentuk pengawas yang berilmu serta berkeyakinan tinggi dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai pengawas sekolah.

Pengetuanya ketika berucap dalam majlis penutupan perkhemahan itu pada Sabtu berkata, menguasai kemahiran komunikasi, mahir dalam penyelesaian masalah, bekerja berpasukan, minat pada tanggung jawab yang diberi serta disiplin kendiri yang tinggi antara aspek yang mampu membantu seseorang pemimpin seperti pengawas sekolah menjalankan tugas dengan berkesan.

Turut hadir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Noryusni Mohd. Yusop, Penolong Kanan Petang, Encik Malik Bin, serta guru-guru disiplin dan guru-guru kaunseling sekolah berkenaan.

Harian Express 16/4/2012. Hal.6






Isnin, 9 April 2012

SAMBUTAN HARI KOR KADET POLIS DAERAH TUARAN 2012

TAJUK : PENYERTAAN PELAJAR DALAM KOR KADET POLIS MENINGKAT

Tuaran, 08 April: Kor Kadet Polis semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar dengan keanggotaan mencecah 170 ribu orang di seluruh negara ketika ini kata Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Zaharuddin Rasip semasa menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Kor Kadet Polis kali ke-42 peringkat Daerah Tuaran di sini kelmarin.

Penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum seperti Kor Kadet Polis bukan sahaja dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap penularan fenomena sosial dalam kalangan remaja masa kini malah turut membantu pihak polis mencapai sasaran dalam mengurangkan jenayah jalanan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, kata beliau.

“Penyertaan yang begitu ramai membuktikan betapa pelajar-pelajar berminat dengan organisasi kepolisian yang sememangnya terkenal dengan tahap disiplin yang tinggi dalam menguatkuasakan undang-undang negara”, tambah beliau lagi.

Ketegasan dan tahap disiplin yang tinggi membolehkan PDRM mencapai sasaran dalam mengurangkan jenayah jalanan di negara ini seperti yang dinyatakan dalam laporan kajian oleh The World of Justice yang meletakkan Malaysia di tangga ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika, tempat pertama di Asia Tenggara dan tempat kedua di Asia. Pencapaian ini membolehkan Malaysia mendapat kepercayaan pelabur dengan menerima sebanyak RM 33 bilion pelaburan dari pelabur luar, jelas beliau.

Zaharudin turut mengingatkan anggota kadet agar terus mengekalkan tahap disiplin yang tinggi kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga PDRM serta boleh memainkan peranan sebagai mata dan telinga PDRM dengan penyaluran maklumat berguna dalam memerangi jenayah yang berlaku di persekitaran mereka.

Seramai 500 orang anggota kadet polis dari lapan buah sekolah menengah di daerah Tuaran terlibat dalam perhimpunan khas sempena sambutan hari ulang tahun badan beruniform berkenaan. Turut hadir pegawai-pegawai kanan PDRM , pegawai kanan Kor Kadet Polis, wakil Pegawai Pelajaran Daerah serta wakil Pengetua dari sekolah-sekolah menengah daerah Tuaran.

Daily Express, 10 April, pg.05

Utusan Borneo, 12 April 2012