Teluk Marudu

Teluk Marudu

Khamis, 28 April 2011

PELAJAR CEMERLANG SMK BADIN TERIMA SIJIL

TAJUK : PELAJAR CEMERLANG SMK BADIN TERIMA SIJIL

Tuaran : Seramai 110 orang pelajar SMK Badin diberi pengiktirafan berupa sijil kecemerlangan dalam majlis Hari Anugerah Cemerlang tahun 2010 di dataran perhimpunan sekolah kelmarin.

Hadiah kecemerlangan berupa sijil dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang mendapat tiga tempat terbaik dalam setiap kelas disetiap tingkatan. Pelajar terbaik mata pelajaran turut menerima sijil penghargaan.

Mendahului senarai penerima sijil kecemerlangan ialah 12 orang pelajar tingkatan enam dari kelas ekonomi, sastera dan geografi. Seramai 27 pelajar tingkatan 5 serta masing-masing 27 dari tingkatan 3 dan 31 orang dari tingkatan 2 turut menerima sijil kecemerlangan. Turut menerima sijil kecemerlangan ialah 13 orang pelajar yang mencapai markah tertinggi dalam mata pelajaran yang diambil.

Unit beruniform , persatuan matapelajaran dan hobi serta kelab-kelab sukan turut diberikan pengiktirafan. Antara yang cemerlang pada tahun 2010 ialah Persatuan kadet Bersatu Malaysia (D), Kor Kadet Polis dan Kadet Bomba.

Persatuan Sains SMK Badin diiktiraf sebagai persatuan cemerlang pada 2010 bagi kategori kelab hobi dan rekreasi manakala Kelab Sepak Takraw pula memenangi kategori kelab sukan. Tempat kedua disandang oleh Kelab Bola Sepak manakala Kelab Bola Baling memenangi tempat ketiga.

Terdahulu semasa menyampaikan ucaptama perasmian, Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong mahu semua pelajar menjadikan majlis ini sebagai pembakar semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum. Beliau menggesa pelajar-pelajar yang belum berkesempatan naik ke pentas untuk menerima pengiktirafan supaya melipat gandakan usaha agar berpeluang menerima sijil yang sama pada tahun-tahun akan datang.

Seramai 1914 orang pelajar dan 140 orang guru menyaksikan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan 2010 di dataran perhimpunan SMK Badin.






Sumber: Daily Express, 28 April 2011
Utusan Borneo, 29 April 2011

Khamis, 21 April 2011

RAKAN MUDA UNIT UNIFORM GEMPUR AEDES

TAJUK: RAKAN MUDA, UNIT UNIFORM GEMPUR AEDES

Tuaran : Seramai 900 orang ahli Rakan Muda Tuaran dan anggota Unit Uniform SMK Badin bergabung tenaga menghapuskan sarang pembiakan nyamuk Aedes di sini kelmarin.

Aktiviti gotong-royong disertai oleh pasukan unit uniform seperti Kor Kadet Polis, Kadet Tentera Darat dan Laut, Kadet Bomba, Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John Ambulance, Pandu Puteri, Puteri Islam dan ahli Persatuan Pelajar Tingkatan Enam bertujuan menghapuskan sarang nyamuk aedes serta mengekang penularan demam denggi di daerah Tuaran.

Terdahulu, semasa menyampaikan taklimat, penolong Kanan Kokurikulum SMK Badin, Yahya Mustafa menyeru semua pelajar supaya menyedari kepentingan menjaga kebersihan persekitaran sekolah agar tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Menurut beliau lagi, langkah pencegahan merupakan cara paling berkesan mengekang penularan penyakit demam denggi.

Aktiviti ini turut disertai oleh guru-guru penasihat, jurulatih-jurulatih pasukan beruniform serta ahli PIBG sekolah.

Sumber : Utusan Borneo, 22 April 2011





Rabu, 20 April 2011

25 PELAJAR KRK TANDATANGANI SURAT AKU JANJI

TAJUK : 25 PELAJAR KRK TANDATANGANI SURAT AKU JANJI

Tuaran : Seramai 25 orang pelajar dari Kelas Rancangan Khas (KRK) SMK Badin menandatangani ‘Surat Aku Janji’ untuk mencapai kecemerlangan dengan mencapai 8A atau 9A dalam Penilaian Menengah Rendah 2011, di sini kelmarin.

Majlis menandatangani ‘Surat Aku Janji’ disaksikan oleh ibubapa pelajar-pelajar berkenaan turut dihadiri oleh Pengetua SMK Badin, Lim Lai Hong dan Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Tah Nia Haji Jaman, ibu bapa serta guru-guru mata pelajaran kelas KRK.

Menurut Lim Lai Hong, majlis itu dilaksanakan semata-mata untuk memastikan komitmen berterusan pelajar terhadap tanggung jawab mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah pada Oktober 2011.

Pelajar-pelajar dalam kelas KRK merupakan pelajar terpilih berdasarkan keputusan UPSR mereka dan sewajarnya mereka mampu mencapai 8A atau 9A dalam PMR kelak, kata Lim.

Mengimbas sejarah kewujudan kelas KRK, Lim menyatakan bahawa KRK merupakan Projek Jabatan Pelajaran Sabah yang dilancarkan pada 2009 dengan lapan buah sekolah sebagai perintis termasuk SMK Badin. Pengambilan pertama melibatkan 142 orang pelajar dengan 25 orang di tempatkan di SMK Badin.

Pelbagai program telah dirangka oleh pihak sekolah bagi memastikan pelajar-pelajar kelas KRK mampu mencapai keputusan seperti yang diharapkan oleh Jabatan Pelajaran, oleh itu tidak ada sebab mereka tidak boleh mengukir kejayaan, tegas Lim.

Dalam majlis yang sama Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Haji Jaman menyeru ibu bapa dan guru supaya menggembleng tenaga bagi mencapai visi dan misi kelas KRK seperti yang telah ditetapkan.

Beliau turut menyeru pelajar-pelajar mengamalkan empat teras utama untuk mencapai kejayaan iaitu menimba pengetahuan sebanyak mungkin, melakukan latihan berterusan, berusaha bersungguh-sungguh dan menggunakan segala kesempatan dan peluang yang ada untuk mencipta kegemilangan dalam PMR 2011.

Utusan Borneo, 20 April 2011. Hal. B4





Sabtu, 9 April 2011

BERITA - IBUBAPA SANJUNG KEIKHLASAN GURU

TAJUK: IBUBAPA SANJUNG KEIKHLASAN GURU

Tuaran, 09 April : Ibubapa amat menyanjung keikhlasan dan komitmen guru yang tidak berbelah-bahagi dalam membangunkan modal insan, kata Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru SMK Badin, Tuan Haji Norzain Haji Tawi semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Anugerah Gemilang Kinabalu, di Dataran SMK Badin, Tuaran kelmarin.

Tanpa mengira penat lelah dan masa guru-guru sanggup bersusah-payah malah sanggup pula mengeluarkan wang ringgit sendiri semata-mata untuk memastikan kejayaan anak murid yang merupakan aset negara yang tidak ternilai pada masa hadapan. Ini terbukti dengan perlaksanaan beberapa program seperti Perkampungan PMR,SPM dan STPM yang telah membuahkan hasil yang membanggakan, kata Norzain lagi.

“Selaku wakil kepada ibubapa, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima-kasih atas keikhlasan dan komitmen guru-guru yang tidak berbelah-bahagi dalam menyampaikan ilmu serta didikan yang sempurna kepada anak-anak kami”, tegas Haji Norzain.

Sambil mengucapkan tahniah kepada tiga orang penerima anugerah dari Unit Pendidikan Khas Masalah Penglihatan,Norzain turut mencabar pelajar-pelajar lain supaya membuktikan kemampuan sebenar mereka kerana dalam era globalisasi tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Beliau turut menyeru para ibubapa supaya tidak bersikap emosional jika mendapati anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin kerana itu merupakan suatu proses pendidikan yang perlu dilalui oleh pelajar yang tersasar dari landasan yang diharapkan. Beliau menegaskan bahawa tindakan disiplin merupakan salah satu cara untuk membantu pelajar membentuk nilai-nilai positif dalam diri.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pengetua SMK Badin Puan Lim Lai Hong menyatakan bahawa Majlis Anugerah Gemilang Kinabalu dilaksanakan semata-mata untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar SMK Badin dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM bagi tahu 2010 disamping menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh guru-guru dan anggota sokongan sekolah.

Lim turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih atas sumbangan PIBG, guru-guru serta anggota sokongan sekolah atas dedikasi mereka sehingga pelajar dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

“Anugerah yang disampaikan kepada pelajar merupakan bukti kemenjadian sahsiah dalam kalangan pelajar SMK Badin dan pencapaian cemerlang itu datangnya dari persefahaman yang jitu antara guru-guru dan ibubapa yang diterjemahkan oleh pelajar dalam bentuk pencapaian cemerlang dalam peperiksaan” kata Lim Lai Hong.

Seramai 26 orang pelajar menerima anugerah mengikut kategori masing-masing.
Adik Hizrahtul Edora Mokhtar mendahalui senarai penerima anugerah kategori PMR dengan pencapaian 8A dalam PMR 2010. Diikuti oleh adik Dzulfadlie Wasli (7A 1B), dan Mohd. Nashrul Ibrahim (6A,2B). Penerima lain Abi Zarin Habibullah, Norfatin Nabila, Yani Athirah Saidur, Mohd. Nasrul Hamdan, Fernilah Eviannie Aldrin, Rondy Azhar dan Anastasia Rasiah.

Dalam kategori SPM aliran sains adik Nur Ain Fatteni Rusli mendahului penerima anugerah dengan pencapaian 6A, 2B diikuti oleh Medin Mantedan, Fionalisa Evelin, Nur Rohazirah Roslan dan Siti Amalina Ibrahim. Aliran sastera diunguli oleh Hazirah Khalid Yunus yang merupakan pelajar penddikan khas dengan pencpaian 6A,1B,1C. Adik Rehan Ramlan 6A,1B, 1C dan Andrew Ronald Eden 5A,1B,1C.

Kategori STPM turut menampilkan penguasaan pelajar pendidikan khas masalah penglihatan apabila adik Mohd Aziz Abidin menggondol anugerah utama dengan pencapaian 3.58 CGPA. Diikuti oleh adik Eliza Mohd. Said 3.50 CGPA. Penerima lain Nuraida Kadir, Mohd. Radzwan Madjaim, Janecarr Yado, Deyffy David, Noraidah Amir dan Hafiyan Lali (pendidikan khas).

Harian Express, 09 April 2011





PUISI - BAYU PERPADUAN


BAYU PERPADUAN

Wahai kawan
kita pernah berganding tangan
menyemai senyum di taman impian
benih muafakat semangat kesetiaan
kau baja dengan keringat persaudaraan
kau pagari dengan kota kesepakatan
tiang-tiang yang kau pacak
utuh megah berdiri segak
teguh unggul tegak lasak
menunjangi taman hati.

Tiang yang kau namakan PASAK
kayu terpilih jati diri
tak lapuk dalam sehari
tak lekang walau berzaman
unggul menyahut cabaran.

Wahai kawan
taman indah setiakawan
pesonanya melimpasi awan
di cakrawala ia gemerlapan
subur rimbun bintang harapan
walau kilaunya mempersonakan
dongak ke langit terkehel perasaan
mengadu domba menyala permusuhan
tak mahu memijak bumi persahabatan.

Wahai kawan
kita di laman kedewasaan
pengalaman kematangan jadi pegangan
interaksi, komunikasi kita suburkan
mesej diteliti butiran diamati
perasaan diawasi, lisan dikuliti
kerana yang datang
perlu ditimbang-timbang
kadang betul senyum memantul
kadang curang mengundang berang
kadang mata lebih dipercayaai
walau tidak berkata-kata
lari bila dusta dicerna
tak mahu menganjur sengketa.

Wahai kawan
tabahlah menghadapi dugaan
kerana kita adalah bumbung harapan
pada anak-anak yang kehausan
yang giat mengumpul
bekal kehidupan.


Wahai kawan
cekallah menempuh cabaran
laluilah onak kehidupan
dengan mahabah
pada tiap insan
moga jalan mu lurus
ke arah tujuan
berselimut desiran
bayu perpaduan.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

Utusan Borneo, 20 Mac 2011.



PUISI - BUTA MATA HATI

BUTA MATA HATI

Butakah mata hati mereka
melihat dengan kaca mata sendiri sahaja
lensa tidak dilaras ubah
jurus hanya ke satu arah
di ketengah walau tiada nilai berita.

Butakah mata hati mereka
tayang derita dirinya sahaja
sedang susah kawan-kawan di sana
tidak pernah diambil kisah
walau hanya sesaat cerita.

Butakah mata hati mereka
sebar khabar yang ditambah olah
katanya hidup puak-puak itu susah
derita ditanggung berabad sudah
sedang rumah mereka penuh riak mewah
lantai aneka tiangnya gagah.

Butakah mata hati mereka
canggung menilai ketepatan data
rumah batu bertingkat katanya orang susah
rumah berlapik buluh warisan kaya
dibiar kekal buat menggamit pelancong buta
kononnya warisan berzaman yang perlu disapa.

Memang buta mata hati mereka
nilai berita berlandas agenda
fakta ditambah bumbuh bercambah
lensa kabur kanta serakah
etika pegangan bukan yang utama.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

New Sabah Times, 10 April 2011, hal.20

Ahad, 3 April 2011

RAGAM RIMBA

RAGAM RIMBA

Yang berakar
mencengkam ke dasar hidup
menyedut mineral hayat
di kolam syafaat
membiarkan rumput bergelut
menutup ranjau reput
sehingga mentari luput
dibalik awan mendung
hingga terukir lohong kosong
di dasar bumi
dan gempa pun berbondong-bondong
merentap jantung.

Yang menjalar
pada dahan dan batang
ramah bertanya khabar
menumpahkan kasih sayang
mencengkam penuh sabar
tak sedar diri menumpang
lalu merimbun di puncak
hingga dedaun resah terdesak
nafas tersedak-sedak
pabila senyum mentari
menyisih diri.

Yang melangit
melepaskan pucuk masing-masing
bersaing, sengit membingit
dunia sekeliling
dibiar hangus,hangit
tak ambil pusing
semak dan renek dibiar pening
hingga rentung ,kering dan garing
seperti melukut di tepi gantang
hanya mampu tersenyum sumbing.

Yang merimbun
mendongak ke langit
lantai bumi dibiar pegun
hidup tersepit

HANAFIAH MZ
SULAMAN
Utusan Borneo,03/04/2011. hal.B5

Sabtu, 2 April 2011

Sambutan Hari Peringatan Kor Kadet Polis ke-41


TAJUK : KERJASAMA POLIS , JABATAN PELAJARAN PENTING UNTUK BENDUNG GEJALA SOSIAL

Tuaran : Kerjasama antara Polis dan Jabatan Pelajaran amat penting untuk membendung
gejala sosial yang kian menular dalam kalangan remaja di negara ini , kata Supritenden Suhaimi Haji Wiro ketika merasmikan sambutan Hari Peringatan Kor Kadet Polis peringkat daerah Tuaran ke-41 kelmarin.

Kerjasama antara kedua jabatan menerusi penubuhan dan perlaksanaan aktiviti Pasukan Kor Kadet Polis membolehkan minda dan jati diri pelajar dapat dibentuk ke arah yang positif , tegas Suhaimi.

Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan teknologi komunikasi dan internet (ICT) yang begitu pesat membolehkan maklumat diakses tanpa tapisan menyebabkan remaja terdedah kepada gejala kurang sihat.

Penyebaran berita palsu dan hasutan merupakan antara jenayah yang sering dikesan tersebar secara meluas melalui ICT, manakala golongan remaja pula merupakan kumpulan yang terdedah kepada gejala tersebut kerana sifatnya yang masih mentah dan tidak dapat melakukan tapisan yang sewajarnya,tegas beliau lagi.

Beliau menyeru semua anggota Kor Kadet Polis supaya menghayati Rukun Negara bagi membentuk jati diri yang mantap. Manakala masyarakat, polis dan Jabatan Pelajaran perlu menjalinkan kerjasama secara holistik, sistematik dan terancang untuk membendung gejala negatif yang tersebar melalui kesan globalisasi seterusnya membentuk warganegara yang taat dan mantap.

Supt. Suhaimi menegaskan bahawa istilah menang-menang tidak boleh diguna pakai dalam memerangi jenayah. Jenayah mesti ditumpaskan dan kebenaran mesti ditegakkan, katanya.

Seramai 500 orang anggota Kor Kadet Polis daerah Tuaran mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Peringatan pasukan kali ke-41. Turut hadir Pegawai-pgawai Kanan Polis daerah Tuaran, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Muariffin Moechoeri serta pengetua SMK Sungai Damit, Haji Kusdi Ribut.

Sumber : Utusan Borneo, 02 April 2011





tusan Borneo, 02/04/2011