Teluk Marudu

Teluk Marudu

Ahad, 27 Mac 2011

PUISI - SEPERTI KETAM


SEPERTI KETAM

Dengan rokok menyala
asap berkepul
si bapa mendabik dada
giat menaakul
pada si anak ia berkata,
“ berjalanlah ke arah yang betul,
elakkan sengketa”.

Lalu ia melangkah
menuju ke lembah hidup
mencari sesuap nafkah
supaya jantung terus berdegup.

Bukannya mudah
mencari sesuap nasi
tulang empat kerat dikerah
untuk secebis rezeki.

Sesekali hatinya diulit iri
lihat teman berbaris di lorong kiri
“Kalau aku cuba sekali,
mana tau nasip ku kali ini”,
Luahan hati berbau sangsi.

Nombor dipilih
kertas bertukar ganti
tercalit lumpur didahi
nasab seorang penjudi.

Tika jiran bersahut dengkur
isteri baru berkalih tidur
kaki melangkah menjengah dapur
hanya sepinggan bubur,sebiji telur
poket kosong rezeki kabur
wang habis dilabur
ke bursa berlumpur.

Pagi,
anak melangkah ke sekolah
si bapa giat mengusul bicara
“ nak, belajar betul-betul,
jadilah orang yang betul”.
Si ketam menyata usul
anjur anak berjalan betul.


HANAFIAH MZ
SULAMAN

New Sabah Times
27 Mac 2011, hal.8




Jumaat, 25 Mac 2011

KEJOHANAN OLAHRAGA MSS DAERAH TUARAN 2011

TAJUK : SUKAN DAPAT PUPUK SILATURRAHIM DAN MUHIBAH

Kota Kinabalu, 25 Mac: Sukan bukan sahaja penting untuk kecergasan dan kesihatan tetapi juga untuk memupuk silaturrahim dan muhibah yang selaras dengan slogan Satu Malaysia , kata Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Sabah semasa merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah daerah Tuaran, 2011 di sini kelmarin.

Masyarakat yang cergas dan sihat dapat menjamin pembentukan modal insan yang berkualiti serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan negara, kata Jahid lagi. Beliau juga menyeru agar guru dan pelajar sentiasa bersedia menerima arus perubahan yang bergerak terlalu pantas disebabkan oleh perkembangan pesat teknologi komunikasi dan internet.

Beliau turut mengingatkan semua pelajar supaya melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan kokurikulum kerana percaya aktiviti seperti itu dapat meningkatkan upaya pelajar dari segi kognitif, afektif dan psikomotor yang selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Encik Anie Mamud.

Terdahulu dalam majlis yang sama Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Hj. Jaman menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong selaku Pengerusi Pengelola Kejohanan kerana melaksanakan kejohanan tersebut dengan jayanya. Tah Nia menyifatkan kejayaan pengelolaan tersebut melambangkan kesepaduan dan permuafakatan yang jitu dalam kalangan masyarakat pendidikan di daerah Tuaran, dan percaya permuafakatan dalam apa jua tindakan mampu merealisasikan visi ‘Tuaran Nombor One’ menjelang tahun 2013.

SMK Tenghilan muncul sebagai johan keseluruhan bagi kategori sekolah menengah meninggalkan SMK Tamparuli juara 2010 di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh SMK Badin melonjak dua anak tangga berbanding 2010. Bagi kategori sekolah rendah, Zon Tenghilan muncul sebagai pemenang tempat pertama.

Bagi pertandingan perbarisan, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat) SMK Badin, menjadi johan dalam kategori unit beruniform. Pasukan perbarisan SMK Telipok pula memenangi kategori perbarisan sekolah menengah manakala pasukan Zon Mengkabong menjadi johan bagi kategori sekolah rendah.

Adik Jvan De Jvander Jhoas dari SMK Tenghilan diistyiharkan sebagai olahragawan Lelaki A dengan 3 emas sambil mencatat rekod baru MSS negeri Sabah dalam acara Lompat Kijang. Adik Anderinie Loungin dari SMK Tenghilan pula muncul sebagai olahragawati Perempuan A dengan 3 emas dan 1 gangsa.

Kejohanan Olahraga MSS Tuaran 2011 mencatatkan pencapaian cemerlang dengan memperbaharui rekod MSS Sabah dalam acara Lompat Kijang Lelaki A , manakala 37 rekod kejohanan turut diperbaharui. Oleh: Hanafiah MZ

Sumber: Utusan Borneo,26 Mac 2011




TUAN HAJI ZULKIFLEE MAJUN


TAJUK : KIMARAGANG PERTAMA KE SINGAPURA


Sesungguhnya tiada siapa menyangka, seorang pemuda berusia 17 tahun mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul sebagai insan pertama dari suku Dusun Kimaragang yang berjaya menjejakkan kaki ke Singapura pada tahun 1954. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Hj.Zulkifle Majun @Muralang yang kini menetap di pekan Tandek, Kota Marudu.
Semasa ditemui, beliau dengan tenang cuba mengingati jejak-jejak perjalanan lalu yang sudah semestinya begitu mempengaruhi kehidupan beliau pada hari-hari yang seterusnya. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengalaman luas pengetahuan, begitulah masyarakat beliau menyambut dan mengikhtiraf keupayaan beliau menjejakkan kaki ke wilayah jajahan Inggeris (1954) tersebut.

Menurut Tuan Hj.Zulkifle Majun, sebaik sahaja beliau pulang ke Sabah, beberapa orang Ketua Kampung (KK) di kawasan Tandek antaranya KK Pomintar dan KK Rumek serta beberapa orang tua-tua lain meminta beliau menceritakan pengalaman beliau semasa berada di Singapura.

Semasa di Singapura, beliau sempat melawat beberapa pusat permainan seperti Great World, dan beberapa tempat yang lain. Beliau turut mengelilingi pulau Singapura dengan ditemani oleh pemandu peribadi Ketua Polis Singapura ketika itu. Bangunan-bangunan di Singapura ketika itu kebanyakannya diperbuat daripada bahan-bahan berasaskan kayu.
Sesungguhnya kesempatan beliau melawat Singapura telah memberikan banyak impak ke atas diri beliau, betapa sukunya iaitu Dusun Kimaragang merupakan suku yang jauh ketinggalan dalam serba-serbi berbanding kaum-kaum lain yang beliau telah lihat dengan mata kepalanya sendiri semasa pelayaran beliau ke negara jajahanan tersebut.

Justeru itu, atas kesedaran akan kekurangan yang ada pada kaumnya, beliau muncul sebagai pemimpin yang memperjuangkan nasib kaumnya agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain di Sabah.

LATAR BELAKANG DIRI

Tuan Hj. Zulkifle Majun, dilahirkan pada 02 Jun 1937 di kampung Tingkalanon, Tandek, Kota Marudu. Beliau dari suku kaum Dusun Kimaragang. Bapa beliau Majun bin Lungkodon manakala ibu beliau ialah Saliha bt. Haruman. Pada mulanya, beliau dikenali sebagai Maralang Majun tetapi setelah memeluk agama Islam pada tahun 1972, beliau menukar namanya kepada Zulkifle Majun. Beliau menunaikan fardhu haji pada tahun 1973. Kini panggilan Tuan Hj. Zulkiflee sudah sinonim dengan beliau.

Menurut Tuan Hj. Zulkifle Majun, kehidupan zaman kanak-kanaknya tidaklah begitu menyeronokkan. Seawal usia lima tahun, beliau bersama kedua ibubapa, adik beradik serta sanak saudara lain terpaksa melarikan diri ke kampung Samparita (kampung yang terletak di pedalaman Tandek) demi untuk mengelak dari menjadi mangsa kekejaman Jepun yang menawan North Borneo ( Sabah ) di antara tahun 1942 hingga 1945.

“Saya masih ingat lagi, suatu hari saya dan ayah ke ladang untuk mengambil buah pisang. Tiba-tiba kami terserempak dengan tentera Jepun yang bertanyakan kedudukan tentera Inggeris. Ayah saya tergamam seketika, tetapi mujur ayah dapat menjawab dan menunjuk ke arah Tanjung Batu, walaupun sebenarnya beliau tidak tahu sama ada tentera Inggeris ada di situ. Akhirnya kami dilepaskan oleh tentera Jepun.” Jelas beliau, sambil mengimbas kenangan ngeri berhadapan dengan tentera Jepun.

Kehidupan sebagai pelarian perang selama tiga tahun di bumi sendiri sememangnya suatu pengalaman yang sukar dilupakan oleh beliau. Apatah lagi, selama menjadi pelarian, ubi menjadi makanan ruji bagi mereka. Kulit kayu yang mereka kenali sebagai pinakang menjadi alat penutup badan ( dijadikan pakaian untuk mengantikan kain). Kesengsaraan hidup bertambah-tambah apabila sekembalinya mereka ke kampung Tingkalanon, rumah, padi dan haiwan ternakan yang ditinggalkan sebelum ini lenyap begitu sahaja. Mereka terpaksa memulakan hidup baru walau dengan seribu kepayahan.

LATARBELAKANG PENDIDIKAN

Tuan Hj. Zulkifle Majun mendapat pendidikan awal di SRK Tandek bermula dari tahun 1947 hingga 1952 dan berjaya menamatkan pengajian rendah setakat darjah lima. Menurut beliau, pendidikan hingga darjah lima merupakan yang tertinggi pada ketika itu. Ini kerana kerajaan Inggeris tidak menyediakan sekolah menengah di kawasan Tandek ataupun Bandau ( kini Kota Marudu). Sekolah menengah yang paling dekat terletak di bandar Kudat, yang merupakan pusat pentadbiran wilayah utara Sabah ketika itu. Menurut Tuan Hj. Zulkifle, untuk ke Kudat pada masa itu, seseorang terpaksa menaiki bot nelayan dari Tandek dan memakan masa sehari suntuk untuk sampai ke bandar Kudat. Menurut beliau lagi, beberapa orang ibubapa dari Tandek telah memberanikan diri dengan menghantar anak-anak mereka belajar di Kudat. Tetapi oleh kerana kos perbelanjaan yang tinggi iaitu kira-kira RM 50.00 sebulan ( suatu nilai yang amat tinggi ketika itu ), anak-anak tersebut hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. Beliau sendiri tidak berpeluang menyambung pelajaran di peringkat menengah kerana ibu beliau tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan, apatah lagi ayah beliau telah meninggal dunia sebaik sahaja perang Jepun tamat.

LATARBELAKANG KERJAYA

Menurut Tuan Hj. Zulkifle Majun, beliau memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah di SRK Tandek sebaik sahaja berjaya menamatkan persekolahan pada tahun 1952. Menurut beliau, Guru Besar SRK Tandek ketika itu iaitu Tuan Hj. Kee Abdul Jalil Kee Abdullah (kini allahyarham) telah menawarkan jawatan tersebut kepadanya. Walaubagaimanapun, beliau hanya menjawat jawatan tersebut selama tiga bulan sahaja.

Pada tahun 1954, beliau menjawat jawatan sebagai ‘ofis boy’ (budak pejabat) di pejabat Pegawai Daerah Kudat yang dikenali sebagai J.P Ruthaford. Beliau menjawat jawatan tersebut sehingga tahun 1956 dengan gaji sebanyak RM 96.00 sebulan. Semasa bertugas di pejabat daerah Kudat, beliau diberi kesempatan melawat Singapura dengan mengikuti rombongan Pegawai Daerah ke Singapura selama dua minggu. Menurut beliau, rombongan tersebut belayar ke Singapura dengan sebuah kapal yang diberi nama Kapal Kajang. Selama dua minggu belayar, rombongan tersebut sempat singgah dibeberapa tempat iaitu seperti Jesselton (kini Kota Kinabalu), Labuan, Seria di Brunei dan seterusnya ke Singapura.

Dari tahun 1962 hingga 1965, beliau menjadi kapten bot Unit Kawalan Malaria, Jabatan Perubatan Sabah. Menurut Tuan Hj. Zulkifle Majun, unit ini diketuai oleh Stanislaus Tambakau. Sebagai kapten bot beliau diberi gaji sebanyak RM 105.00 sebulan.

Pada tahun 1966, Tuan Hj. Zulkifle Majun menceburi bidang politik dengan menyertai parti UPKO (United Pasok Kadazan Organization) yang diketuai oleh Donald Stephens ( Tun Fuad Stephens). Beliau merintis penubuhan UPKO di kawasan dewan undangan negeri N.6 Tandek ( kini N.5 Tandek). Sebagai perintis, beliau bersama-sama adiknya Tuan Hj. Omar Majun bertanggungjawab serta berusaha untuk menubuhkan cawangan-cawangan parti di seluruh Tandek.Walaubagaimanapun, dalam pilihanraya umum 1967, beliau ataupun adiknya Tuan Hj.Omar Majun selaku Ketua Bahagian UPKO tidak bertanding dalam pilihanraya tersebut. Calon UPKO bagi N.6 Tandek ialah Herman J. Luping.
Dalam pilihanraya umum tersebut, calon UPKO bagi N.6 Tandek telah memenangi pertandingan tersebut. Walaubagaimanapun, di peringkat negeri parti USNO telah memenangi pilihanraya negeri secara keseluruhannya. Berikutan dengan itu, di peringkat negeri parti USNO dan UPKO telah bergabung untuk membentuk kerajaan.

Berikutan dengan penyatuan USNO dan UPKO, pada tahun 1971 Tuan Hj. Zulkifle Majun telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Luar Yayasan Sabah bagi daerah Kota Marudu. Pada tahun 1973, beliau dilantik sebagai Pegawai Yayasan Sabah Kota Marudu. Dalam masa yang sama, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kudat Native Timber sebuah syarikat berasaskan kayu balak. Pada tahun 1980, beliau meletakkan jawatan sebagai Pegawai Yayasan Sabah untuk bertanding dalam pilihanraya negeri tahun tersebut. Walau bagaimanapun beliau tewas dalam pilihanraya tersebut.

Tuan Hj. Zulkifle Majun juga sempat memangku jawatan Ketua Bahagian USNO Kota Marudu pada tahun 1977 berikutan perletakan jawatan Ketua Bahagian ketika itu iaitu Tuan Hj. Awang Ali Osman.

Pada tahun 1983, kerajaan BERJAYA di bawah pimpinan Datuk Haris Mohd. Salleh telah melantik beliau sebagai Pegawai Dakwah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi daerah Kota Marudu.

Selepas tahun 1985, beliau bersara dari arena politik dan mula menceburi bidang perniagaan. Kini beliau merupakan antara suku Dusun Kimaragang yang bergiat secara aktif dalam dunia perniagaan di Tandek.

Menjadi Sumber Rujukan Masyarakat Dusun Kimaragang

Menurut Ahmat Ali Osman, Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu, ketokohan dan sumbangan Tuan Hj. Zulkifle Majun kepada suku Dusun Kimaragang boleh dilihat dari dua dimensi, iaitu zaman sebelum kemerdekaan Sabah melalui Malaysia dan zaman selepas kemerdekaan sehingga kini.

Sesuai dengan pepatah melayu yang berbunyi “Jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengalaman luas pengetahuan”, Tuan Hj. Zulkifle Majun begitu disegani oleh masyarakatnya kerana beliau merupakan orang pertama dari suku Dusun Kimaragang yang berjaya menjawat jawatan ‘ofis boy’ di pejabat Inggeris. Selaku ofis boy, beliau berkesempatan melawat Singapura pada tahun 1956. Dalam hal ini, hanya ada seorang tokoh lain yang pernah menjelajah hingga ke Pulau Labuan iaitu Aki Tumunda yang merupakan moyang kepada Tuan Hj. Zulkifle.

Justeru itu, beliau menjadi sumber rujukan kepada masyarakatnya khusus mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan permohonan tanah dan hal-hal yang berkaitan dengan mahkamah adat (Mahkamah Anak Negeri). Beliau juga menjadi tempat orang-orang kampung meminta bantuan mengisi segala jenis borang dan menjadi saluran untuk mengemukakan borang permohonan kepada pihak atasan kerana kedudukan beliau yang boleh berhubung secara terus dengan Inggeris.

Walaupun pernah berkhidmat dengan Inggeris, beliau tanpa rasa takut menentang dasar-dasar Inggeris yang memperlekehkan orang-orang kampung khususnya masyarakat Dusun Kimaragang. Pernah dalam suatu peristiwa pada tahun 1958, ketika sekumpulan orang Dusun seramai 60 orang sedang menunggang kerbau, mereka dihalang oleh Inggeris untuk menggunakan jalanraya menuju ke tamu kampung Ongkilan yang sedang dalam pembinaan sedangkan laluan alternatif tidak disediakan. Kaum Dusun yang terkenal dengan sikap suka mengalah terpaksa menghentikan perjalanan mereka. Mujur Tuan Hj. Zulkifle muncul yang juga sedang menunggang kerbau dan kemudiannya berunding dengan pihak Inggeris. Akhirnya mereka dibenarkan melalui jalanraya tersebut. Walaubagaimanapun, Inggeris menggelar Tuan Hj. Zulkifle sebagai ‘keras kepala’.

Menjadi Pemimpin Politik

Pada awal kemerdekaan, beliau telah memimpin masyarakat Dusun Kimaragang mengenali dunia politik berasaskan parti. Justeru itu, atas kepimpinan beliau, United Pasok Momogun Organization (UPKO) ditubuhkan di Tandek dengan adik beliau iaitu Tuan Hj. Omar Majun sebagai Ketua Bahagian yang pertama. Kedudukan beliau sebagai perintis penubuhan parti UPKO di Tandek membolehkan beliau mendidik masyarakat akan erti sebenar demokrasi sebagai salah satu kaedah dalam pembentukan kerajaan sesebuah negara. Di atas usaha-usaha beliau, pada pilihanraya negeri Sabah pada tahun 1967, calon UPKO bagi N. 6 Tandek, Herman J. Luping telah memenangi pilihanraya bagi kawasan itu.

Mengutamakan Pendidikan

Menyedari hakikat bahawa pendidikan merupakan satu cara unggul untuk membangunkan masyarakatnya. Semasa menjadi Pegawai Yayasan Sabah Kota Marudu, beliau menggunakan ruang tersebut untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada anak-anak masyarakat Tandek memperolehi ilmu sebanyak yang mereka mampu.

Antara bantuan yang diberikan oleh beliau ialah penempatan pelajar-pelajar dari Tandek ke asrama Yayasan Sabah di pekan Kota Marudu. Beliau juga turut berusaha agar pelajar-pelajar tersebut yang rata-rata datang dari keluarga tidak berkemampuan diberi bantuan biasiswa oleh Yayasan Sabah. Bagi anak-anak yang cemerlang, mereka dihantar ke semenanjung Malaysia untuk memperolehi pendidikan yang lebih bermutu.

Menurut Richard P. Intuwong, beliau masih dapat mengingati dengan jelas bagaimana Tuan Hj. Zulkifle membantunya semasa beliau di tingkatan satu pada tahun 1975. Kata beliau, “Seperti pelajar-pelajar yang lain, fikiran saya buntu untuk untuk mencari wang bagi menampung perbelanjaan persekolahan. Saya hampir-hampir berhenti sekolah. Mujur ada seorang kawan yang menasihati saya agar berjumpa dengan Tuan Hj. Zulkifle. Sayapun terus berjumpa beliau. Sebulan kemudian, saya dipanggil oleh Tuan Hj. Zulkifle dan menyerahkan wang biasiswa sebanyak RM 60.00. Wartawan Sabah Times turut ada dan mengambil gambar kami. Keesokan harinya,gambar saya terpampang di suratkhabar berkenaan. Heboh penduduk kampung saya bila melihat gambar saya dalam surat khabar.Dari situ saya terus bersemangat untuk belajar”.

Menurut Dzulfikar @ Dusikar Majiul, sewaktu naik ke tingkatan satu di SMK Kota Marudu pada tahun 1978, beliau menghadapi kesukaran kerana jarak antara kampungnya dengan pekan Kota Marudu agak jauh iaitu lebih kurang 35 kilometer. Ini ditambah lagi apabila jambatan sungai Rakit terputus akibat banjir besar. Pada ketika itu hanya ada sebuah kereta yang berulang-alik dari kampungnya ke pekan Kota Marudu.
“Apabila Tuan Hj. Zulkifle mengetahui perkara tersebut, saya termasuk rakan-rakan yang lain diluluskan untuk memasuki asrama Yayasan Sabah. Jika tidak sudah tentu saya tidak akan berjaya seperti hari ini”, ujar beliau.
Sesungguhnya Tuan Hj. Zulkifle menyedari bahawa masyarakatnya adalah masyarakat yang serba kekurangan atau dengan kata lain hidup dalam serba kemiskinan. Justeru itu, beliau merasa bertanggungjawab untuk memberi bantuan sedaya yang boleh untuk sekurang-kurangnya meringankan beban mereka dengan memberi bantuan persekolahan anak-anak tersebut. Pernah suatu ketika beliau bersama-sama dengan Pengetua SMK Kota Marudu, Encik Sabli Mohiddin dan guru-guru berusaha mengutip derma bagi menampung perbelanjaan pelajar-pelajar miskin berkenaan.

Anugerah Yang Diterima

Memandangkan sumbangan Tuan Hj. Zulkifle Majun yang begitu besar kepada masyarakatnya, beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran negeri Sabah iaitu Ahli Darjah Kinabalu (ADK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Fuad Stephens pada tahun 1973.

Sesungguhnya pengurniaan pingat kebesaran negeri Sabah tersebut membuktikan betapa Tuan Hj. Zulkifle Majun merupakan seorang tokoh yang berkarisma yang sewajarnya diingati oleh semua, khususnya masyarakat Tandek. Pemberian anugerah tersebut secara langsung mengangkat martabat Tuan Hj. Zulkifle Majun sebagai antara pemimpin terkemuka dan disegani.

RUMUSAN

Tuan Hj. Zulkifle Majun bukanlah tokoh yang menghiasi buku-buku sejarah ataupun buku-buku teks sekolah. Namun ini bukanlah bererti ketokohan serta kewibawaan beliau tidak setanding dengan tokoh-tokoh tempatan lain yang sezaman dengannya.

Ketokohan dan kewibawaannya adalah unik dan tersendiri. Beliau seorang yang penuh keyakinan diri, tegas, mengutamakan hal-hal kemasyarakatan berbanding kepentingan diri sendiri. Tidak hairanlah jika beliau menjadi rujukan masyarakatnya dari dahulu hingga sekarang.

Ketokohan beliau terserlah dalam bidang pembangunan masyarakat. Beliau bagaikan cahaya kepada masyarakatnya di Tandek pada awal kemerdekaan Sabah. Perjuangan beliau yang tertumpu kepada usaha-usaha menggalak serta membantu masyarakatnya memperolehi pendidikan merupakan suatu usaha yang sukar dipertikai oleh sesiapa jua.

Justeru itu, ketokohan serta perjuangan yang telah beliau rintis seharusnya diteruskan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat Tandek masa kini. Bagi generasi muda pula, kemampuan Tuan Hj. Zulkifle Majun muncul sebagai pemimpin yang disegani walaupun hanya memperolehi pendidikan di peringkat rendah sahaja sewajarnya dijadikan ikhtibar bahawa kegagalan memperolehi ilmu pengetahuan hingga ke menara gading bukanlah suatu alasan untuk memencilkan diri dari memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

RUJUKAN

Individu-Individu Yang Ditemuramah

01. En. Ahmat Ali Osman ( Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu).
02. En. Dzulfikar @ Dusikar Majiul ( Guru Besar SK Taritipan, Kota Marudu).
03. En. Richard P. Intuwong ( Ketua Pembantu Tadbir, SMK Sikuati, Kudat ).
04. Tuan Hj. Zulkifle Majun ( Pemimpin Masyarakat / Ahli Perniagaan Tandek ).
05. YBHG. Tuan Hj. Omar Majun ( Bekas ADUN N. 5, Tandek)

< ditulis oleh: Hanafiah Zulkifly >

Isnin, 21 Mac 2011

English in Camp for Feeder School






TAJUK : KERJASAMA GURU MENENGAH DAN RENDAH AMAT PENTING

Tuaran, 16 Mac: Kerjasama jitu antara guru sekolah menengah dan rendah boleh merealisasikan slogan ‘Tuaran nombor satu’ menjelang 2013 kata Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Hj. Jaman semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program ‘English in Camp for Feeder School’ di Dataran SMK Badin di sini hari ini.

Menurut Tah Nia, kerjasama boleh dibuat dalam bentuk penghasilan modul pembelajaran ,perkhemahan pendidikan , penganjuran kursus dan seminar serta perkongsian maklumat supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama mengenalpasti kelemahan atau masalah yang dihadapi yang menjejaskan pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan peringkat sekolah rendah ataupun sekolah menengah seterusnya dapat menjana program untuk mengatasi masalah tersebut.

Berdasarkan maklumat antara kedua belah pihak, suatu program dapat dikemukan dan yang paling penting program tersebut bersesuaian dan dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar kedua belah pihak. Ini dengan sendirinya membantu Pejabat Pelajaran Tuaran mencapai visi ‘Tuaran nombor Satu’, tambah TahNia.

Sambil memuji langkah proaktif SMK Badin dan ‘Feeder School’nya, beliau menyifatkan kerjasama tersebut sebagai situasi menang menang, yang menguntungkan pihak berkepentingan seperti sekolah rendah, menengah, murid juga ibubapa. Tah Nia menyifatkan langkah tersebut bersesuaian dengan Program Gemilang 13 yang diperkenalkan oleh Jabatan Pelajaran Tuaran untuk merealisasikan matlamat ‘Tuaran nombor Satu’ menjelang 2013.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana program yang diketuai oleh encik Pavindran A/L Krishnan, dibantu oleh guru-guru Bahasa Inggeris SMK Badin dan ‘Feeder School’ kerana dapat melaksanakan program tersebut dengan jayanya. Seramai 131 orang pelajar sekolah rendah menghadiri program berkenaan.


Sumber : Utusan Borneo, 17 Mac 2011
Daily Express, 18 Mac 2011

Selasa, 15 Mac 2011

PUISI - BIARKAN MEREKA


BIARKAN MEREKA

Mengapa harus memburu
di rimba keliru
sedang kompas
senyap membisu
hilang arah tuju
di langit nafsu.

Mengapa harus mentafsir
lilin mimpi yang cair
sedang belantara yang diteroka
masih luas untuk diusaha
hingga senja.

Wajarkah merayu
memohon suaka pilu
jika mas kahwin yang dipinta
laut cemburu semata
penuh berhelah
salah-sangka
mengundang sengketa
durjana.

Biarkan saja mereka lesu
dimamah keliru waktu
biarkan mereka jemu
mengejar hamparan madu
bisa cemburu
gejolak nafsu.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

New Sabah Times
15 Mac 2011, hal.16

Rabu, 2 Mac 2011

PERASMIAN BILIK OPERASI KOR KADET POLIS SMK BADIN








TAJUK : PENGHAYATAN AGAMA MAMPU BENTUK SAHSIAH CEMERLANG

Tuaran ,02 Mac: Penghayatan terhadap agama mampu membentuk sahsiah yang cemerlang, kata Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Haji Suhaimi Haji Wiro semasa merasmikan Bilik Operasi Pasukan Kor Kadet Polis SMK Badin, di sini kelmarin.
Remaja yang sentiasa terdedah kepada gejala sosial sama ada melalui pengaruh rakan sebaya ataupun persekitaran perlu dimantapkan melalui didikan dan penghayatan agama yang sempurna supaya mempunyai daya tahan dalam menghadapi penularan gejala tidak sihat tersebut, kata beliau lagi.
Beliau juga memberi ingatan bahawa penularan gejala tidak sihat itu bergerak dengan pantas pada zaman ini ekoran perkembangan pesat teknologi komunikasi yang menghakis sempadan geografi dan menyebabkan maklumat mudah diakses tanpa tapisan sewajarnya.
Sehubungan dengan itu, DSP Hj. Suhaimi menyeru supaya pihak sekolah dan Pasukan Polis menjalin hubungan erat bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja sekolah.
DSP Suhaimi turut menghargai inisiatif pentadbiran SMK Badin yang mewujudkan sebuah Bilik Operasi Pasukan Kor Kadet Polis sebagai langkah ke hadapan bagi memantapkan pasukan beruniform.
Terdahulu dalam majlis yang sama, Pengetua SMK Badin, Puan Lim Lai Hong menyeru kepada semua anggota Kor Kadet Polis supaya memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan supaya Kor Kadet Polis menjadi pasukan yang disegani bukan sahaja di daerah Tuaran malahan di negeri Sabah.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pengurusan IPD Tuaran, ASP Mohd. Firdaus Abdullah, Penolong-penolong Kanan SMK Badin, Pegawai Kanan Kor Kadet Polis daerah Tuaran serta pelajar. Oleh : Hanafiah MZ

Sumber : Utusan Borneo, 03 Mac 2011, hal. B7
Harian Express, 03 Mac 2011, hal. 03

Selasa, 1 Mac 2011

PUISI- SAPU TANGAN TANDA MATA

SAPU TANGAN TANDA MATA

Sapu tangan warna biru
ku sepuh kelarai rindu
pada puncak tiap bucu
ada baldu kasih ku.

Ku lipat sapu tangan
segi empat berpasangan
dua singahsana
putera gagah perkasa
puteri di anjung setia
mahligai indah bahagia.

Sapu tangan yang mekar
dalam senyap ku hantar
hatinya pasti bergetar
tanda tanya berhias debar.

Mata melirik manja
hati tertanya-tanya
siapa gerangan empunya
sapu tangan tanda mata.

Pabila mata bertemu
matanya terpaku ayu
lidah ku kelu membisu
terubat rindu terbuku
riang menggebu-gebu
manisnya
ku bawa beradu.


HANAFIAH MZ
SULAMAN

(New Sabah Times, 01 Mac 2011)