Teluk Marudu

Teluk Marudu

Isnin, 22 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan - Kasihan si Arud

Habis saja waktu persekolahan, pada sebelah petang biasanya ibu mengarahkan saya dan adik Sofian (Bito) mengutip buah kelapa. Caranya mudah saja. Si Arud (Kerbau betina kami) akan membantu. Buka ikatan si Arud. Tarik si Arud ke gayudan (alat khas untuk mengangkut buah kelapa), pasang gayudan dan kami dua beradik berganti-ganti menunggang si Arud. Jika saya yang menunggang si Arud, adik Sofian akan mengutip buah kelapa dan begitulah sebaliknya.

Banyak juga buah kelapa yang kami dapat. Setelah himpunan buah kelapa membukit, pada hujung minggu buah-buah kelapa itu akan dibelah dan dikeringkan. Jika musim kemarau kelapa itu hanya memerlukan tiga atau empat hari sahaja untuk kering. Jika pada musim hujan isi kelapa perlu dicungkil dan disalai. Terhasillah kopra (kelapa kering).

Kelapa kering itu akan dijual pada taukeh di pekan Tandek. Setelah dijual, saya dan adik tak dapat apa-apa gaji. Ibu sekadar membelikan kami roti. Itupun sudah memadai sebab setiap hari kami ke sekolah ibu tidak pernah lupa memberikan kami 30 sen sebagai belanja persekolahan. Si Arud pula dibenarkan berkubang di sungai Tingkalanon untuk menyejukkan badan.

Jasa si Arud begitu besar pada kami. Namun, ketika adik Sofian menduduki SPM, ibu terpaksa menjual si Arud kerana kekurangan wang untuk membayar yuran SPM adik. Kasihan si Arud.

JASA MU TETAP KAMI KENANG

Indahnya Zaman Persekolahan - Balak

Tahun 1979 ayahanda saya menghantar saya ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, KL untuk menyambung persekolahan di sana. Saya terus dibawa ke asrama sekolah tu dan berjumpa Ketua Pengawas Asrama, abang Zainal Abidin Dardi. Saya di tempatkan di Bilik 3. Abang Zainal menerangkan serba-serbi tentang peraturan-peraturan asrama.

Keesokan harinya saya mula bersekolah. Saya di tempatkan dalam kelas Tingkatan 2A. Sepatutnya saya di tingkatan 3, sebab tahun 1978 di Kota Marudu saya dalam tingkatan 2. tapi oleh kerana umur saya muda setahun, saya di tempatkan secara sementara di tingkatan 2.

Setelah seminggu, surat menyurat tentang persekolahan saya tiba dari Sabah. Saya dinaikkan ke tingkatan 3B. Saya berkenalan dengan ramai kenalan baru. Masing-masing mahu bercerita dengan saya kerana loghat saya seperti orang Indonesia.

Tiba waktu matapelajaran Geografi,maklumat tentang Sabah dihuraikan oleh guru matapelajaran.

"Sabah kaya dengan balak", kata Cikgu.

Saya tersenyum bangga.

Akhirnya kawan-kawan sekelas menggelar saya 'Balak' kerana saya dari Sabah yang kaya dengan balak.

Kawan-kawan yang agak nakal amat suka dengan nama baru saya. Tapi kawan-kawan yang lebih matang tidak begitu. Mereka tetap menyebut nama sebenar saya.

Rabu, 17 Mac 2010

Perjuangan Untuk Masyarakatku- Pertanian

Hujung minggu pulang ke kampung ziarah ayahanda saya yang sudah agak uzur. Walaupun tidak secergas dulu,ayahanda saya tidak betah duduk di rumah. Setiap hari beliau pasti sama ada ke Pekan Tandek atau Kota Marudu.Beliau tetap dengan rutinnya.

Dalam perjalanan menuju ke Tandek,sepekara yang menarik perhatian saya ialah perubahan sikap masyarakat saya terhadap tanah milik mereka. Di kiri dan kanan jalan tanah-tanah telah mula diusahakan. Ada yang menanam getah, kelapa sawit, padi, tebu malah ada juga yang menanam sayur-sayuran dalam skala besar.

Syukur atas perubahan minda masyarakat saya. Tanah-tanah tersebut seharusnya diushakan. Itulah tujuan kerajaan menghadiahkan tanah-tanah tersebut kepada masyarakat pribumi. Jika diusahakan bersungguh-sungguh, tanah-tanah tersebut akan memberikan pulangan yang lumayan.Pengusahanya pasti akan mendapat habuan setimpal dan dapat mengubah kehidupan mereka. Akhirnya mereka juga yang untung.

Cuba kita lihat rakan-rakan dari seberang, sama ada yang datang secara sah atau tidak. Mereka datang sehelai sepinggang. Mula-mula mereka menjadi tukang tombak sawit. Bila sudah ada sedikit modal, mereka mula menyewa tanah-tanah terbiar. Tanam cikui (tembikai), tanam sayur-sayuran dalam skala besar. Bukan setakat tanam dua tiga pokok di belakang rumah tapi besar-besaran.Dalam tempoh tiga bulan, cikui dan sayur-sayuran sudah boleh dipasarkan. Pendapatan mereka amat lumayan. Sekarang sudah ada yang berumah besar,kereta besar malah sudah sudah dua tiga kali menunaikan haji.

Kegigihan mereka seharusnya kita contohi.Usaha mereka sepatutnya kita buat sendiri sebab tanah ini tanah kita. Jika kita usahakan tanah tersebut, hasilnya pada kita juga. Jadi kenapa serahkan urusan mengusahakan tanah kepada mereka. Adakah kerana sewa tanah yang lebih kurang RM300 ke RM400 sebulan itu sudah memadai ?

Jabatan-jabatan kerajaan berkenaan seharusnya mengambil langkah proaktif. Ajarlah masyarakat saya bertani. Bukan setakat tanam sawit,tanam getah atau tanam padi. Tapi ajarlah mereka menanam apa juga jenis tanaman yang mendatangkan hasil. Ajarlah mereka dengan kaedah-kaedah tanaman moden. Didik mereka mengintergrasikan tanaman dalam kebun yang sama supaya masyarakat saya memperoleh pulangan yang lumayan.

Saya tidak kata masyarakat saya tidak pandai bertani. Mereka pandai bertani. Mereka memang petani. Mereka datang dari keluarga petani.Tetapi jika kita lihat betul-betul, cara bertani mereka ada perbezaan dengan cara bertani orang dari seberang.

Masyarakat saya tanam sayur lima enam batas sahaja sedangkan orang seberang tanam sayur berekar-ekar. Orang kita tanam cikui dua tiga pokok sahaja sedangkan orang seberang tanam berpuluh ribu. Sayur orang kita kurus-kurus belaka sedangkan sayur orang seberang gemuk-gemuk belaka.

Jadi, mahu tidak mahu kita harus berjuang.Masyarakat harus berjuang. Jabatan-jabatan kerajaan harus berjuang. Malahan kerajaan harus memperjuangkan nasib masyarakat. Didiklah masyarakat saya. Bantulah masyarakat saya. Bukalah mata masyarakat saya supaya mengusahakan tanah-tanah mereka semaksimum mungkin. Kita tidak mahu diketawakan oleh orang-orang dari seberang yang memandang sinis akan kemampuan kita sebagai petani. Barang diingat, orang-orang seberang sememangnya terlatih dalam pertanian sejak zaman berzaman. Sejak penjajahan Belanda yang mengamalkan Sistem Tanaman Paksa.

Ayuh masyarakat ku. Berjuanglah untuk mengubah kehidupan.

Isnin, 15 Mac 2010

Perjuangan Untuk Masyarakat ku- Pertanian 2

Agak menghairankan apabila orang kita tanam sayur, sayur yang dihasilkan kurus-kurus belaka. Kacang panjang kurus, timun kurus, terung kurus, sayur putih kurus, serba-serbi kurus. Akibatnya tanaman tersebut hanya layak dimakan sendiri. Tak boleh bersaing dengan sayur-sayuran yang ditanam oleh kawan-kawan dari seberang. Sayur-sayuran yang satu ni gemuk-gemuk belaka. Besar, panjang, malah colournya pun begitu mempersona mata yang memandang.Bila dipasarkan, yang gemuk-gemuklah menjadi pilihan pembeli.

Saya bertanya kepada orang-orang kita kenapa hal yang sedemikian boleh berlaku. Masing-masing menggeleng-gelengkan kepala. Masing-masing tidak faham. Tak tau kenapa. Mereka kata yang mereka bubuh baja juga. Baja yang sama jenis dengan yang digunakan oleh orang seberang.

"Mereka taruh baja organik, kamipun taruh. Mereka guna baja kimia, kamipun guna juga"
Kata seorang kawan tu.

"Tapi yang hairannya sayur kami kurus, sayur mereka gemuk" kata kawan tu lagi.

Saya ajukan masalah tersebut kepada seoang kawan yang berpengalaman tentang pertanian.

"Sayur-sayuran itu kena beri penjagaan yang lebih" kata si kawan.

"Bukan setakan membubuh baja saja" katanya lagi.

"Racun pun perlu juga" tambahnya lagi.

"Siang tengok, malam pun kena tengok juga. Sebab waktu malamlah banyak makhluk perosak keluar.Penyiraman pun perlu. Merumputpun perlu malah belaian pun perlu juga" katanya sambil ketawa-ketawa kecil.

Saya mula memahami maksud kawan saya. Tanam sayur bukan setakat tanam begitu sahaja. Prosesnya bermula dari A ke Z. Prosesnya perlu dipelajari. Perlu diikuti sepenuhnya. Dipraktikkan dan dilaksanakan mengikut kaedah-kaedah tertentu barulah hasilnya seperti yang dikehendaki. Betul kata Dr. Rusly, Tidak sama pencapaian orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu.

Ahad, 14 Mac 2010

Catatan sebagai guru 4- P. Ramlee n Dato K

"Siapa pernah menonton filem P. Ramlee?"

Semua anggota pangkat rendah kadet angkat tangan.

"Siapa pernah tonton Pendekar Bujang Lapuk?" tanya Tuan Komandan lagi.

Semua anggota mengangkat tangan lagi.

"Ok, apa yang kamu nampak dalam cerita itu?" Tuan Komandan cuba mencungkil.

Anggota-anggota kadet berpandang-pandangan. Malu untuk bersuara meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Ada yang berbisik-bisik sambil ketawa-ketawa kecil. Tiada yang cuba untuk menjawab soalan Tuan komandan.

"Kalau kamu nampak jenakanya, jenakalah kamu dapat. Tapi kalau kamu perhati betul-
betul, banyak mesej positif yang P. Ramlee bawa", tegas Tuan Komandan.

"Hei mambang api,mambang tanah, mambang air mambang angin, mambang segala mambang.
Berdampinglah dengan aku". Tuan Komandan mengulang kembali dialog P. Ramlee dalam filem itu.

Gelagat Tuan Komandan betul-betul macam P. Ramlee. Terkekeh-kekeh anggota kadet ketawa dibuatnya. Perwatakan Tuan Komandan yang tegas hilang seketika hanyut dibawa arus karisma seniman lagenda itu.

" Itu yang P. Ramlee kata. P. Ramlee tahu asal mula kita dari tanah dan tiga unsur lain. Keempat-empat unsur itu bergabung menjadi satu. Kita pun perlu macam tu. Kita perlu bersatu supaya menjadi kuat" seru Tuan Komandan.

"Ada yang kenal Dato K?", Tuan Komandan buka cerita baru.

Semua anggota kadet angkat tangan tanda mengenali Dato K.

Tuan Komandan beralih kepada anggota kadet perempuan lalu bertanya.

" Kamu suka Dato K ?" tanya Tuan Komandan.

Anggota kadet perempuan tersipu-sipu malu tanpa berkata apa-apa.

" Kita mesti suka 'k', tapi bukan Dato K suami Dato Siti Nurhaliza" tegas Tuan Komandan.

" 'K' bermaksud knowledge, kepimpinan, keupayaan , kerjasama, kepatuhan", Tuan Komandan menerangkan maksud 'K'.

Anggota-anggota kadet mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju. Terkebil-kebil mata para anggota kadet akan kebolehan Tun Komandan bersyarah. Mereka tidak menyangka bahawa Tuan Komandan bukan sahaja tegas malahan pandai berjenaka dalam syarahannya.

Audiens dan suasana berbeza, pendekatan dan kaedah penyampaian juga seharusnya berbeza.

Jumaat, 12 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan- Cili padi dan garam

Petang Jumaat,habis waktu persekolahan, matahari hampir melabuhkan tirai. Saya dan Fadilis Idaron rakan sebilik, stor Pejabat Yayasan Sabah (kami di tempatkan di situ buat sementara kerana asrama penuh)bercadang untuk pulang ke kampung masing-masing. Saya bercadang ke Tandek manakala Fadilis ke Kg Masolog.Malangnya kereta terakhir yang pulang ke kampung kami telahpun bertolak. Terpaksalah kami berpatah balik ke bilik sementara kami.

Sampai di bilik, tanpa berlengah kamipun mula menanak nasi. Sementara menunggu nasi masak Fadilis cadangkan saya tumis sayur. Saya tengok bekalan sayur kami dah kosong. Tiada apa-apa yang boleh dimasak. Hanya garam yang ada. Nak membeli sardin di pekan,duit tak cukup. Duit yang ada hanya cukup untuk tambang pulang sahaja.Fadilis teringat cili padi yang tumbuh di tepi Pejabat Yayasan Sabah. Fadilis bergegas memetik cili yang masih hijau. Malam tu kami makan berlaukkan garam dan cili padi hijau. Kenyang juga akhirnya.

Kata pepatah tiada rotan akarpun berguna.

Khamis, 11 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan- Nordin Ahmad

Tahun 1974 sungguh meriah bukan sahaja kepada kami adik beradik tapi kampung kami dan kampung-kampung berdekatan. Tahun ini ayah saya membeli sebuah televisyen hitam putih saiz 24 inci. Dengan bantuan generator sendiri, waktu malam kami diterangi oleh lampu pendafluor dan dihiasi oleh tayangan filem 50an, 60an dan Indonesia. Berduyun-duyun jiran-jiran sama-sama menyaksikan tayangan-tayngan filem yang menarik. Jarak rumah kami yang jauh dari rumah jiran terdekat dan kampung-kampung berhampiran tidak menghalang mereka berkunjung ke rumah kami.Malam-malam yang mendatang menjadi begitu meriah bila RTM menyiarkan tayangan yang dibintangi oleh Hero 'Nordin Ahmad' dalaman filem-filemnya seperti Seri Mersing, Tajul Ashikin, dan lain-lain. Filem-filem tersebut betul-betul menyemarakkan semangat saya dan kawan-kawan. Apa lagi, kamipun masing-masing membuat pedang, keris dari kayu. Kebetulan masa itu kami diajar mata pelajaran pertukangan oleh Cikgu Sina Pangayas. Setelah pedang dan keris kami siap, kami mempraktikkan apa yang kami tonton dalam TV. Tikam menikam menggunakan keris. Libas-melibas menggunakan pedang. Pada waktu rehat suasana sekolah hingar-bingar oleh keriuhan kami bertarung sesama sendiri. Melihat keadaan yang tidak terkawal, selepas waktu rehat kami dihimpunkan oleh cikgu Sina. Masing-masing dapat lima rotan di kedua belah tangan. Pedang dan keris kami turut dirampas. Betul kata pakar, Media Membawa pelbagai Pengaruh Kepada Pembaca atau Penontonnya.

Rabu, 10 Mac 2010

Indahnya zaman persekolahan- Gasing

Zaman persekolahan tidak akan lengkap kalau tidak dihiasi dengan aktiviti permainan kanak-kanak. Dalam kalangan kami murid-murid SK Pekan Tandek pada tahun 70an turut tidak terkecuali. main batu seremban, ting-ting, guli, serta main gasing. Bila tiba musim main gasing, masing-masing murid lelaki ada gasing dalam beg sekolah. Sebelum masuk kelas, waktu rehat serta selepas waktu persekolahan diisi dengan permainan gasing. Pelbagai cara pertandingan untuk permainan gasing. Pertandingan gasing mana paling lama berputar dan pertandingan memangkah gasing yang paling popular. Dalam bahasa kami, pertandingan paling lama berputar disebut 'mianggan' manakala pertandingan memangkah gasing dikenali sebagai 'mitimbag'. . Bila keadaan sudah agak melampau atau mungkin guru-guru kami rasa aktiviti itu patut dibendung, guru-guru kami akan merampas gasing-gasing tersebut lalu dicampak ke dalam lubang tandas (tandas kampung). Terencat seketika permainan gasing kami.
Anehnya selepas saya pula menjadi guru, Jabatan Pelajaran memanggil guru-guru sekolah rendah mengikuti kursus tentang permainan gasing.

Selasa, 9 Mac 2010

Indahnya Zaman Persekolahan- Buah Tarap

Tahun 1971 ( Isnin)-Hari tu saya teringin makan buah tarap. Tanpa berlengah saya singgah di tamu Pekan Tandek. Jumpa seorang nenek yang jual buah tarap dengan harga RM 0.50, terus beli. Bergegas ke sekolah kerana pembelajaran akan bermula tidak berapa lama lagi. Duduk di barisan belakang. Dinding kelas di belakang saya berlubang, maklumlah kelas kami berdindingkan 'kajang' beratapkan nipah.Walaupun begitu kami murid darjah satu tak kisahpun.Kami terus mentelaah pelajaran.

Buah tarap yang tengah ranum saya simpan dalam laci, takut baunya menerpa hidung guru mata pelajaran kami masa tu.

Tiba-tiba sekujur tangan manusia menjalar dari lubang dinding ke dalam laci lalu mencapai buah tarap saya. Saya biarkan saja, tapi mata saya terus mengawasi arah tuju buah tarap tu. Rupanya dua orang senior punya angkara. Mereka bawa pergi buah tarap saya lalu menyorok buah tu dalam semak.

"Alamak, kelaparanlah saya kali ni. Duit dah habis ni!!!!!!"

Sebaik keduanya berlalu pergi tanpa berlengah saya ambil balik buah tersebut. Terus makan. Sisanya saya sorok balik dalam semak yang sama.

"Baru kamu tau" kata hati saya.

Jangan ingat kehebatan hanya milik orang besar atau berpengaruh saja, orang-orang kecil pun ada kehebatannya

Isnin, 8 Mac 2010

Catatan Sebagai Guru 3 - Daftar Murid Baru

Bulan September 1991, kami diarah oleh Guru Besar untuk mendaftar murid baru tahun satu untuk tahun berikutnya. Saya, Cikgu Edwin Sadiwau dan Cikgu Egul Bakiah diletakkan dalam satu kumpulan. Sasaran kami ke Kampung Tandahawon. Van Cikgu Egul hanya sampai di tepi simpang masuk ke kampung tersebut. Jalan masuk ke kampung tak boleh dilalui kerana jalan tersebut hanya sesuai untuk pejalan kaki sahaja. Kami menuruni bukit. Turun....turun.....dan terus turun...... Tiada masalah apa-apa.
Tiba di perkampungan tersebut, hanya ada tiga empat buah rumah sahaja. Setelah memaklumkan tujuan kedatangan kami kepada wakil penduduk kampung, kamipun bertolak ke kampung bersebelahan. Selesai tugas, kamipun mula melangkah pulang. Kali ini laluan ke van Cikgu Egul yang kami lalui sebelumnya cukup mencabar. Kami terpaksa mendaki bukit. Naik.......naik......dan terus naik.
Saya tertinggal jauh di belakang. Cikgu Egul yang sudah berumur dan Cikgu Edwin yang berbadan gempal sama-sama di hadapan. Label ahli sukan dan pemain bolasepak kini terhakis. Tak boleh pakai.
Rupanya saya tidak cukup stamina, tidak kuat, tidak laju, tidak 'FIT', malunya saya!!!!!!

Ahad, 7 Mac 2010

Catatan sebagai Guru 2 - Guru Bahasa Inggeris(1986)

Tiba-tiba pengetua En. Masduki Sahari memanggil saya. Saya terkedu seketika. Pengetua kami ni terkenal dengan ketegasannya. Dia jarang senyum.
" Saya dengar cikgu Hanafiah mahu melanjutkan pelajaran, betul ke ?" Pengetua bertanya.
"Betul cikgu"
" Cikgu nak belajar di mana ?" tanyanya lagi
" USA, cikgu"
" Kalau macam tu cikgu mahir bahasa Inggeris lah ni" tanyanya.
" Belum mahir cikgu. Tapi tengah belajar lah ni" jawab saya.
" Saya nak membantu cikgu menguasai bahasa Inggeris, cikgu mau ke? soalnya.
" Tentulah mau cikgu" jawab saya agak kurang yakin.
" Begini cikgu, sekolah kita kekurangan guru bahasa inggeris. Jadi,sementara
belum ada
guru baru saya minta cikgu mengajar bahasa inggeris. 2 buah kelas saja.
Jadual waktuakan diberi pada cikgu. Kalau ada masalah jumpa terus pada
Ketua Panitia, Cikgu Paul Ribu" kata Pengetua memberi arahan.

Saya terpingga-pingga, membantah susah, menerima pun susah. Maklumlah guru sandaran.Saya gagahkan juga hati. Mujur kelas yang diberi pada saya kelas hujung. Dengan bantuan Cikgu Paul, saya mula mengajar. Mujur hanya seminggu sahaja. Guru baru Bahasa Inggeris ditempatkan di SMK Kota Marudu.

Catatan Sebagai Guru 1 - SK Marak Parak

Dapat surat penempatan di SK Marak Parak pada 30 Okt. 1990. Tak risau sangat. Selain dalam daerah sendiri, saya pernah ke sana bermain bola. Sehari sebelum sekolah dibuka,pada 31 Nov.1990 saya datang melaporkan diri. Disambut oleh Guru Besar Edward Lagadan yang ramah. Saya di tempatkan di sebuah rumah guru yang baru dikosongkan oleh seorang guru lain yang berpindah. Ok juga rumah tu, tapi bila mandi kena berjalan kaki sejauh sebatu. Maklumlah belum ada kenderaan sendiri. Guru-guru lain pun begitu. Istimewa sekolah ni kerana ada asrama yang menempatkan pelajar jauh dari tahun 1 hingga 6. Semuanya mandi sungai. Agak meriah bila masa mandi tiba. Yang saya terpegun, murid seusia 7 tahun hidup berdikari di asrama. Basuh baju, urusan katil, urusan seharian sendiri yang atur. Begitulah agaknya kehebatan budak kampung, biasa hidup berdikari. Agak bernasip baik, makan minum diurus oleh kontraktor bekalan makanan. Jika tidak,entah apa terjadi pada budak-budak kecil tu. Ada satu keistimewaan guru-guru di sekolah ni. Selain bertugas sebagai guru, mereka juga berperanan mengambil spesimen darah murid, guru atau ibubapa yang disyaki mengidap demam malaria. Semua guru mahir mencucuk jarum pada jari pesakit. Mereka juga dibenarkan membekalkan ubat kepada pesakit .Macam doktor.

Sabtu, 6 Mac 2010

Indahnya Zaman Persekolahan 3 - Idea Baru GB

Tahun 70an, sekolah-sekolah kerajaan tiada tukang kebun apatah lagi kontraktor pembersihan. Jadi urusan membersihkan kawasan sekolah menjadi tanggung jawab bersama antara guru, ibubapa dan murid. Kami di SK Tandek juga begitu. Setiap pagi sebelum memulakan sesi pembelajaran, kami akan bergotong-royong merumput membersihkan persekitaran sekolah. Semua murid diwajibkan membawa parang untuk tujuan tersebut. Bertahun-tahun kami melaksanakan tugasan pembersihan tersebut. Setiap pagi kami diperuntukkan kawasan seluas 5 depa kali 7 depa untuk dibersihkan. Murid lebih besar laksanakan tugas dengan cepat manakala kami yang bersaiz kecil agak lambat menyiapkan kerja. Jadi walaupun ramai yang bekerja padang sekolah tak juga bersih-bersih. Tahun 1975 datang Guru Besar baru. Cikgu Norjam Endingan namanya. GB baru ada idea baru. Dia bariskan kami merentangi padang. Kemudian kami serentak memotong rumput. Dalam tempoh satu jam sahaja, padang pun bersih. Hebat GB baru ini. Idea baru, inovasi positif.

Jumaat, 5 Mac 2010

Ikan Laut atau ikan sungai- SMK Kota Marudu

Tahun 1978,tinggal dalam asrama masak sendiri sungguh menyeronokkan. Puas makan berlaukkan sayur kangkung, teringin pula makan ikan. Saya bergegas ke pasar dan membeli beberapa ekor ikan tamban. Tanpa berlengah,saya masukkan ikan dalam periuk lalu memasaknya. Setelah masak saya pun makan.

"Ehhhhh....... tak sedap ikan tu. Tak sama dengan masakan ibu, ikan lontong lagi sedap, sisik pun boleh makan. Ikan yang satu ni, keras sisiknya".

Cuba-cuba tanya kawan kenapa boleh jadi begitu. Rupanya ikan laut perlu buang sisiknya dahulu, tak seperti ikan sungai,sisiknya boleh dimakan terus. Dari hari tu barulah saya tahu beza ikan laut dengan ikan sungai.

Khamis, 4 Mac 2010

Indahnya Zaman Persekolahan2- Asrama

Tamat darjah 6, saya melangkah ke Tg. 1 di SMK Kota Marudu ( Pekan lama) pada tahun 1977. Bermulalah kehidupan di asrama. Yang istimewanya, asrama kami ada dapur tapi pelajar-pelajarnya perlu masak sendiri. Setiap penghuni asrama dibekalkan sebuah kotak kayu bersaiz 2 1/2' x 3 kaki oleh ibu bapa masing. Periuk kecil,kuali kecil, dapur minyak tanah, pisau, pinggan mangkuk merupakan penghuni tetap kotak kayu tersebut. Bagi budak kampung,menanak nasi bukanlah perkara yang rumit, tetapi apabil sebut lauk-pauk, yang saya tahu hanya tumis kangkung atau kacang panjang saja. Setiap hari saya jeling-jeling kakak-kakak senior meniru cara mereka masak.Alhamdullilah, apapun yang dimasak tetap masuk ke dalam perut. Lima hari di asrama maknanya lima hari lah saya berlaukkan kangkung. Hari Sabtu dan Ahad barulah dapat merasa ikan pabila pulang ke rumah.

Asal usul Nama Kg. Tingkalanon,Tandek ,Kota Marudu

Suatu ketika dahulu, Kg. Tingkalanon, Tandek, Kota Marudu dikenali sebagai Kampung Lopungon. Nama ini diambil bersempena dengan sebuah kisah yang dialami oleh salah seorang penduduk kampung ini. Kisah bermula apabila seorang tua mahu berjumpa dengan salah seorang kawan yang tinggal di kawasan tersebut. Perjalanannya ke rumah kawan tersebut terhalang oleh sebatang pokok yang tumbang. Saiz pokok itu agak besar beliau tidak dapat melimpasinya. Melompat tidak boleh, apatah lagi untuk mengalihkan pokok tersebut. Akhirnya beliau membina tangga. Setelah berada di bahagian atas batang pokok, tiba-tiba batang tersebut bergerak. Alangkah terkejutnya orang tua tersebut,melihat pokok yang boleh bergerak. Rupa-rupanya pokok tersebut adalah seekor ular sawa gergasi yang telah ditumbuhi lumut dan tumbuhan menjalar. Akhirnya orang tua tersebut menamakan kampung tersebut sebagai kampung Lopungon bersempena jenis ular tersebut iaitu Lopung (ular sawa) dalam bahasa dusun kimaragang.
Ketika zaman penjajah, seorang lelaki inggeris datang ke Kampung Lopungan lalu bertanya siapa pemilik tanah di kawasan itu.Pengiringnya memberitahu bahawa tanah kawasan itu dimiliki oleh seorang lelaki bernama Tingkah.
" Tingkah land" kata si orang putih.
Akhirnya nama itu terus melekat hingga ke hari ini, iaitu " Kampung Tingkalanon". Kini generasi muda Kampung Tingkalanon hanya biasa dengan sebutan Kampung Tingkalanon. Kampung Lopungon telah dilupakan.

Hari Pertama Sebagai Guru.

Setelah menerima surat tawaran sebagai guru sandaran, saya melaporkan diri kepada Pengetua SMK Kota Marudu pada 14 Mac 1984. Pengetua pada masa tu, Tuan Hj. Zakaria Said menempatkan saya di sidang petang. Hari pertama saya belum mendapat jadual waktu mengajar.Seorang demi seorang guru-guru senior datang berbual-bual dengan saya sambil menghulurkan salam perkenalan.Ada yang memang saya kenal, ada bekas guru saya dan ada yang langsung saya tidak kenal. Seorang dua guru senior meminta saya mengambil alih kelas mereka dengan tujuan mahu mendedahkan saya dengan ilmu keguruan. Saya tidak menolak malah menyahut cabaran mereka. Bila masuk ke dalam kelas, alangkah terkejutnya saya, rupa-rupanya masih ada rakan-rakan sekolah saya dulu yang masih menuntut di Tingkatan 3, 4 dan 5. Saya buat-buat tidak kenal takut kawan-kawan tu rasa rendah diri dan sebagainya. Tiga bulan kemudian sya dapat gaji pertama saya. ketika tu gaji pokok saya hanya RM 370.00. Gaji bersih RM 463. Jika darab 3 lumayan juga. Seronok dapat gaji pertama. Duit sendiri.

Indahnya zaman persekolahan-Hari Pertama

Mula bersekolah di SK Tandek pada tahun 1971. Pada ketika itu tidak ramai kawan yang dikenali kerana baru sahaja berpindah ke Tandek. Seorang sepupu, Mailon Saiwah dalam darjah 4, banyak membantu menjelajah seluruh pelusuk sekolah.Setelah beberapa ketika mula dapat kawan baru. Antara yang saya masih ingat ialah Jolodon dan Jairus. Untuk ke sekolah terpaksa berjalan kaki sejauh 4 batu kerana rumah kami di Kg. Tingkalanon (Tongkungon). Walaupun begitu, ini tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang menimba ilmu pengetahuan. Malahan jarak sekolah yang agak jauh membolehkan saya dan kawan-kawan menjadi lebih tabah dan dapat melatih diri kami cekal menghadapi cabaran. Selepas waktu persekolahan, kami selalu singgah mandi-manda di Sungai Tandek. Ini amat melekakan dan kami sering pulang lewat. Akibatnya rotan ibu sering singgah di punggung saya. Ketika musim menanam padi, sawah lah tempat saya dan adik Bito berkubang bersama kerbau kesayangan kami si Arud. Lumpur dan lintah menjadi permainan. Sekali-sekala mencari ikan karuk dan sepat dijadikan juadah malam. Walaupun bapa seorang Pegawai yayasan Sabah, ini tidak membezakan kami dengan rakan-rakan sekampung. Kami dilatih untuk hidup dengan usaha sendiri, cari makan sendiri,cari kayu api sendiri,cari buah kelapa untuk dibelah,jemur untuk dijadikan kopra dan jual kepada Taukeh Olian atau Taukeh Angie. Ini membolehkan kami mahir dalam selok belok kehidupan di kampung, di hutan dan sebagainya.

Kami mahir buat jerat burung keruak,burung pimpid, burung tekukur. Kami mahir buat subol (jerat tupai). Kami juga mahir menangkap burung serindit.Walaupun bapa agak jarang menjenguk kami di rimba Tongkungon kerana sibuk dengan tugas-tugas sebagai Pegawai, kami tetap hidup seperti biasa malah gembira kerana aktiviti-aktiviti sedemikian yang dapat mengisi masa kami